Friday, May 25, 2018

KEPUASAN PENUMPANG UNTUK PENGANGKUTAN AWAM DARAT TERUS MENINGKAT


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah memaklumkan yang Indeks kepuasan pelanggan keseluruhan (customer satisfaction index - CSI) untuk pengangkutan awam pada tahun lepas telah meningkat hingga enam peratus kepada 90 peratus berbanding 2016. Ini adalah kerana, penumpang yang memilih pengangkutan awam memandangkan ia lebih efisen dan jimat untuk mereka bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Lebih memberangsangkan apabila responden yang menilai pengangkutan awam sebagai 'sangat berpuas hati' telah meningkat sebanyak 17 peratus kepada 31 peratus tahun lepas berbanding 14 peratus pada tahun 2016. Kebarangkalian bagi pengguna yang terus-menerus menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan juga telah meningkat sebanyak tiga peratus daripada 78 peratus (2016) kepada 81 peratus tahun lepas.

Manakala, purata penumpang rel dan bas harian di Lembah Kuala Lumpur / Lembah Klang tahun lepas telah mencatatkan trend menaik sebanyak 3.7 peratus iaitu seramai 1,206,111 di tahun 2017 berbanding 1,162,717 pada tahun 2016. Purata hariannya pula telah meningkat sehingga 7.5 peratus bersamaan 694,057 dari 645,601 pada tahun 2016.

Peningkatan yang menggalakkan ini adalah apabila Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang telah beroperasi sepenuhnya pada Julai 17 tahun lalu. Di antara peningkatan penumpang yang tertinggi adalah LRT Kelana Jaya dengan peningkatan sebanyak 7% atau 272,684 penumpang harian berbanding dengan 254,854 dalam tahun 2016.

Pada masa yang sama, perkhidmatan KTM Komuter mencatatkan penurunan penumpang ke 14.5 peratus memandangkan kerja-kerja pemulihan landasan berkembar di sekitar Lembah Klang yang mempunyai peratus penumpang yang agak tinggi. Manakala, perkhidmatan Monorail juga telah mengalamai peratus yang merosot pada tahun lalu sehingga 23.5 peratus kerana lima gerabak telah tiada dan pihak SPAD telah pun mengarahkan pihak Prasarana untuk mengatasinya.

Walaubagaimanapun, penumpang bas di sekitar Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang turut terjejas dengan penurunan sebanyak 1 peratus disebabkan MRT Line 1 telah mula beroperasi dan kebanyakan penumpang lebih menggemari untuk memilih perkhidmatan e-hailing. KTM ETS dan Intercity Rail pula telah menampakkan peningkatan 14.2 peratus iaitu dari 17,367 penumpang pada tahun 2016 ke 19,835 di 2017. 

Pihak SPAD juga telah memaklumkan yang KTM ETS adalah mod yang sangat popular untuk pengangkutan di antara bandar sehingga menunjukkan peningkatan 16.7 peratus pada tahun lepas.

Beberapa rangkaian rel masih lagi di dalam proses untuk disiapkan dan bayangkan apabila semua rangkaian yang mampu bersambung di antara satu sama lain telah lengkap, pasti peningkatan ini akan berterusan dan akhirnya kesesakan lalulintas di sekitar Lembah Klang nanti akan dapat diatasi dengan jayanya.

Thursday, May 17, 2018

SPAD : APLIKASI BERBEZA UNTUK KEPERLUAN DAN FUNGSI BERLAINAN


Pihak SPAD masih terus memperluaskan lagi penggunaan teknologi bagi mencapai sasaran 40% perjalanan kenderaan awam menjelang 2030 berbanding hanya 20% telah tercapai pada ketika ini. Oleh itu, pendekatan yang diambil SPAD adalah mewujudkan pelbagai aplikasi untuk keperluan dan fungsi yang berlainan.

Di antara yang telah dikenalpasti adalah aplikasi 'Journey Planner' yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Aplikasi ini akan membantu pengguna kenderaan awam menentukan pilihan mereka dari satu destinasi ke tempat tujuan mereka.

Pengguna juga akan diberi panduan untuk memilih pengangkutanawam yang tepat dengan tambang yang sangat murah untuk sampai ke destinasi mereka nanti. Di dalam aplikasi 'Journey Planner' ini, untuk perkhidmatan bas pula akan menunjukkan jarak sebenar perjalanan dan waktu ketibaan ke destinasi.

Pada tahun lepas, SPAD telah melancarkan aplikasi MeterOn, iaitu satu aplikasi di telefon bimbit untuk memudahkan pengguna membuat aduan terus ke pihak SPAD ke atas kesalahan pemandu teksi dan bas ekspres terutamanya aduan berkenaan hadlaju dan tingkah laku buruk pemandu.

Hanya dengan memberikan maklumat nombor pendaftaran kenderaan, penumpang boleh semak pengesahan pemandu dan juga kesalahan mereka terkini. Penumpang juga boleh melihat maklumbalas dan pengalaman dari pengadu lain.

Pada masa yang sama, pihak SPAD telah pun melaksanakan satu sistem hab pemantauan prestasi (PMHS) di mana semua bas SPAD dipantau melalui satu sistem berpusat untuk menentukan perkhidmatan bas yang sediada, pematuhan perjalanan dan jadual.

Pihak SPAD telah pun memperkenalkan Integrated Common Payment System (ICPS) iaitu satu sistem bayaran mengguna satu kad untuk semua jenis pengangkutan awam. Dengan mengguna ICPS, kita boleh membuat pengiraan tambang untuk satu haluan walaupun bertukar kepada kenderaan awam lain seperti dari KTM ke LRT.


 
Kesemua ini adalah untuk mempermudahkan perjalanan yang mengguna kenderaan awam di man pada tahun 2030 nanti, di kawasan bandar-bandar utama, peratus kepadatan penduduk akan meningkat hingga 75% dan ini akan menyebabkan peningkatan kenderaan persendirian sehingga 93% di mana Malaysia adalah ketiga tertinggi di dunia.

Oleh yang demikian, untuk mengelak daripada terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian, usaha SPAD memperkenalkan aplikasi melalui telefon pintar bukan saja dapat meningkatkan peratus penggunaan kenderaan awam malahan ini adalah arah tujuan yang tepat untuk hala tuju kehidupan yang mampan pada masa depan.

Friday, May 11, 2018

MyCAR SAMBUT BAIK USAHA SPAD KAWALSELIA MAKLUMAT KENDERAAN DAN PEMANDU


Di dalam menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam darat terutamanya dalam industri teksi yang mengguna perkhidmatan e-hailing, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memperkenalkan sistem e-card kepada semua pemandu untuk untuk mengesahkan setiap pemandu telah didaftarkan dan layak untuk memandu kenderaan e-hailing.

Akta SPAD 2017 ini akan dipinda dan akan dikuatkuasakan berperingkat-peringkat mulai Mei 15 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal-selia syarikat perkhidmatan e-hailing seperti MyCar dan Grab.

Salah satu aspek penting di dalam pindaan Akta SPAD 2017 ini adalah mewajibkan setiap kenderaan dan pemandu di bawah syarikat-syarikat perkhidmatan e-hailing telah didaftarkan. Semua maklumat tersebut akan ditapis oleh pihak SPAD, JPJ dan PDRM bagi memastikan keselamatan pengguna dan penumpang terus terjamin.

Satu sistem juga akan diperkenalkan untuk mengesahkan yang setiap pemandu ini telah berdaftar dan lebih mustahak mereka layak memandu kenderaan e-hailing.

Ketika sesi penerangan oleh pihak SPAD kepada syarikat-syarikat dan pemandu e-hailing, mereka mengalu-alukan Akta baru ini kerana mampu dimanfaatkan oleh semua pihak.

Malaysia adalah negara pertama di dunia yang menguatkuasakan peraturan e-hailing dan menjadikan kenderaan e-hailing sebagai pengangkutan awam.

Ia adalah satu tindakan bijak yang telah diambil untuk memastikan keselamatan pengguna e-hailing di Malaysia. Justeru, MyCar mengambil langkah menyeru agar semua pemandunya kemaskini maklumat mereka agar tiada tindakan dan masalah akan dialami di masa hadapan.
 

Tuesday, May 08, 2018

ECRL : MRL DAN CCCC PASTIKAN 70 PERATUS DARI 30,000 PEKERJA ADALAH RAKYAT MALAYSIA


Pada 4 Mei lalu, pemilik projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama-sama dengan kontraktor utama projek, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah mengadakan kempen pengambilan pekerja di Bentong, Pahang. Sasaran dan komitmen mereka adalah untuk  mengambil kira-kira 70 peratus pekerja Malaysia dalam pembinaan infrastruktur kereta api berimpak tinggi tersebut.

Ia telah diadakan sehari di Dewan Perbandaran Cina Bentong mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Kempen pengambilan pekerja di Bentong adalah sebahagian daripada jelajah di seluruh negara yang bermula pada Mac tahun ini yang melibatkan Kuala Lumpur, Kota Bharu, Dungun dan Kuantan. MRL dan CCCC juga merancang untuk mengadakan kempen pengambilan pekerja secara aktif di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak untuk terlibat dalam projek infra rakyat berkenaan.

Menurut MRL, di Bentong akan mempunyai sebuah stesen kargo dan penumpang mengikut Skim Keretapi ECRL untuk Fasa 1, yang diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Jun 2017. Stesen Bentong ini akan menjadi antara lapan stesen yang ditetapkan di Pahang di bawah penjajaran ECRL.

Di antara pengambilan segera di Bentong termasuk pekerja pengurusan, kejuruteraan, pengurusan pembinaan, perdagangan dan kontrak dan kerja makmal. Bagi graduan baharu dalam kejuruteraan awam serta pekerja pembinaan berkemahiran, separuh mahir, terutama berumur 18 hingga 35 tahun sememangnya digalak menghadiri temuduga.

Calon-calon yang berjaya akan berpeluang menyertai Program Latihan Kemahiran Perindustrian ECRL selama tiga bulan yang bertujuan untuk melatih rakyat Malaysia dengan set kemahiran teknologi kereta api. Apabila tamat, pelatih akan diserap sebagai pekerja sepenuh masa samaada oleh MRL, CCCC atau subkontraktornya nanti.

Kempen pengambilan pekerja selama sehari ini juga telah menawarkan pekerjaan lain seperti pekerja konkrit, pengimpal, juruelektrik serta pengendali jentera pengorek.

Sebagaimana yang kita ketahui, projek ini sedang berjalan lancar dan adalah menjadi komitmen MRL dan CCCC memastikan rakyat Malaysia memenuhi 70 peratus daripada 30,000 pekerja yang diperlukan semasa tempoh puncak pembinaan pada akhir 2019 nanti.

Monday, May 07, 2018

#PRU14 : DAP CHIN TONG CAKAP TAK SERUPA BIKIN BILA SERET TAIKUN DAIM KE YONG PENG


Apa taikun Daim Zainuddin buat di Yong Peng hadir ceramah DAP sedangkan dalam keadaan yang sangat uzur pun, calon DAP Parlimen Ayer Hitam sanggup seret beliau ke sana? Dikatakan Daim hanya bercakap dari kerusi di bawah pentas di majlis DAP yang rata-rata dihadiri bangsa Cina dan jika pun ada pengundi Melayu, boleh dikira dengan jari.

Daim Zainuddin bukan terkenal sebagai seorang ahli politik walaupun beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan tetapi beliau lebih dikenali sebagai seorang taikun perniagaan yang mempunyai empayar bank di Afrika Selatan. Rakyat Malaysia juga mengetahui yang Daim mula menjadi kaya-raya setelah mendapatkan Taman Maluri Cheras sedangkan beliau hanyalah seorang peguam.

Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia tidak akan lupa bagaimana rizab Bank Negara telah hilang dan hampir pupus apabila tersalah perhitungan melibatkan dalam perdagangan Forex dan Daim adalah Menteri Kewangannya. Daim juga adalah pencatur setiap urusan penswastaan di negara ini dan setiap kerugianyang menyelubungi penswastaan ini, Daimlah yang menjuarainya.

Walaupun tidak pernah disenarai sebagai di antara rakyat Malaysia yang terkaya, Daim tidak mampu menafikan kekayaan yang dimilikinya mengatasi ke sepuluh taikun Malaysia. Persoalannya, mengapa Chin Tong tiba-tiba mendampingi Daim?

Chin Tong pernah wujudkan isu kononnya taikun-taikun di Johor sedang mencurahkan wang ringgit ke parlimen Air Hitam untuk pastikan kemenangan Datuk Wee Ka Siong. Dengan tegas Datuk Wee mengatakan yang beliau tidak sekali-kali terlibat dalam politik wang dan mereka-mereka yang sudi menyumbang juga terdiri daripada guru, pekebun-pekebun kecil yang merupakan rakyat marhaen walaupun ada ahli-ahli perniagaan yang sudi menghulurkan sumbangan.

Sememangnya niat Chin Tong adalah ingin mewujudkan persepsi yang Datuk Wee terlibat dalam politik wang agar masyarakat umum dan khasnya di parlimen Ayer Hitam, akhirnya mereka akan membenci ahli-ahli perniagaan yang berjaya. Malahan Datuk Wee juga pernah mencabar Chin Tong membuktikan yang beliau terlibat dalam politik wang.

Sekarang, Chin Tong jelas mendampingi seorang taikun Melayu terkenal. Apakah sekadar mendapatkan undi Melayu di Yong Peng atau sebenarnya sedang menunggu kantong DAP diisi? Apa yang Daim boleh buat dalam keadaan uzur yang mampu bercakap dari kerusi di bawah pentas selain dari hanya mampu tandatangan sekeping cek?

Itulah Chin Tong, cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap apabila sebenarnya beliau yang terlibat. Menuduh adalah kemahiran Chin Tong tetapi beliau sendri sedang berkepit dengan seorang taikun.