Showing posts with label PAN. Show all posts
Showing posts with label PAN. Show all posts

Friday, September 15, 2017

MCA : PAS BUKAN "SEMAKIN BIRU", TAPI DAP YANG SEDANG BERPUTIH MATA


Dalam menutup kesilapan mereka membubarkan Pakatan Rakyat kerana konon PAS telah melanggar perjanjian untuk tidak meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan seterusnya kini menyedari yang gabungan dalam Pakatan Harapan tidaklah sekuat mana untuk mendapatkan undi majoriti dari pengundi Melayu, DAP bukan saja terdesak malahan sedang berputih mata kerana bakal menyaksikan kekalahan yang lebih teruk dari pilihanraya umum lepas.

Sepertimana yang diulas Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA Chris Daniel Wong seperti berikut;

"Rata-rata penganalisa politik tanahair akan bersetuju mengatakan bahawa maruah PAS telah tercalar setelah ditikam dari belakang oleh parti DAP yang  membelakangkan perjanjian Pakatan Rakyat yang dimeterai sebelum pilihanraya ke-13 pada 2013." Ini adalah perjanjian gabungan di antara DAP, PKR dan PAS yang membenarkan PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang cuba disembunyikan DAP.

Sebaliknya, DAP telah mengecam dan menghina Presiden PAS sehingga Guan Eng juga turut menggelar Hadi Awang sebagai 'bodoh' dan 'penipu'. Kebenaran di sebalik kemuncak kemarahan DAP terhadap PAS bukanlah kerana hukum hudud tetapi telah disahkan oleh pelbagai pihak dan terkini dari kenyataan rasmi penasihat SUARAM Kua Kia Soong, di mana Hadi Awang telah memilih Azmin Ali dan bukan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim.

Di dalam terlalu percayakan DAP, PKR juga sekarang ini telah menyesali keputusan mereka memusuhi PAS terutama sekali Azmin dan kerajaan pimpinannya di Selangor.

Bagi Chris Daniel, DAP juga cuba berselindung yang Pakatan Harapan dan terutamanya DAP sedang terdesak apabila gagal menyekat Azmin daripada berunding dengan PAS dan kegagalan paling ketara DAP adalah apabila mereka tidak berjaya menyekat PAS dari terus berada dalam pentadbiran Selangor.

Bukan saja PKR yang bakal terkesan apabila PAS tidak bekerjasama dengan mereka, malahan DAP juga akan mendapat tempiasnya apabila PKR bakal
kehilangan beberapa kerusi tanpa sokongan jentera PAS dan terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.

Berkemungkinan DAP mampu mengekalkan kerusi mereka tetapi apakah angan-angan yang dijanjikan kepada masyarakat Cina untuk menawan Putrajaya mampu direalisasikan? Sekali lagi untuk entah berapa kali DAP akan membohongi masyarakat Cina yang pembangkang terutama DAP akan berjaya merampas pentadbiran negara dari Barisan Nasional.

PAS yang dikatakan semakin biru hanyalah cubaan DAP untuk memujuk masyarakat Cina agar tidak marah dengan kegagalan mereka. Pada masa yang sama, harapan DAP agar penyokong PAS akan merasa marah apabila diberi gambaran seolah-olah PAS kini adalah kuda tunggangan UMNO. Tetapi kepada mereka yang menyedari realiti politik hari ini, DAP yang sedang berputih mata apabila dengan ketegasan PAS untuk bertanding solo akan mengakibatkan calon-calon dari Pakatan Harapan terpaksa bertembung dengan PAS dan juga calon UMNO.

Justeru, apa yang berlaku di PRN Sarawak, PRU Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan tidak dapat dielakkan di mana Pakatan Harapan telah mengalami kekalahan yang teruk. Inilah sebenarnya ketakutan DAP dan yang pasti, mereka akan terus berputih mata termasuklah faktor mengkhianati penyokong mereka apabila mendampingi Dr Mahathir yang pernah dijadikan musuh utama mereka.

Sebagaimana yang dikatakan Chris Daniel, inilah muka DAP yang sebenar apabila bukan sahaja maruah PAS yang dicalarkan tetapi maruah PKR juga dinodai agar matlamat DAP dapat dicapai dengan apa cara sekali pun walaupun mengkhianati rakan sendiri dan juga masyarakat Cina.

Tuesday, September 12, 2017

MASAKAN DAP HANYA BERANI PERGUNA PAN UNTUK DESAK AZMIN?


Satu resolusi telah diluluskan PAN sebulat suara di dalam konvensyen di peringkat negeri Selangor agar Menteri Besarnya Azmin Ali mengkaji semula kedudukan PAS. Sebagaimana kita tahu, PAN adalah parti serpihan PAS yang telah dibiaya dan mendapat persetujuan DAP. Dengan itu, apakah DAP hanya berani mengguna desakan PAN untuk beri amaran kepada Azmin dan PKR Selangor?

Pada PRU 12 dan 13, DAP telah meletakkan kepercayaan penuh kepada Kit Siang dan Guan Eng mempengaruhi masyarakat Cina untuk menerima PAS dan mengundi mereka. Kedua-dua anak beranak ini sememangnya terkenal dengan kempen mereka yang agresif dan lantang bersuara untuk menonjolkan diri masing-masing agar kekal berkuasa di dalam parti.

Malangnya, apa yang berlaku sangat mengecewakan dan akibatnya masyarakat Cina telah terkeliru dan ditipu kerana yakin dengan dakyah DAP. Malahan masyarakat Melayu terutama di kalangan penyokong PAS merasakan diri mereka dikhianati dan ditipu selama kerjasama politik mereka di dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun PAS telah memuktamadkan keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama politik dengan PKR, namun di Selangor tidak seperti yang telah diputuskan dan kononnya Pakatan Rakyat tidak dibubarkan di mana PKR, DAP dan PAS masih bekerjasama. Jika ada yang terlepas pandang, mereka sedang mengguna topeng yang berbeza dan berlakon kepada penonton yang berbeza yang pada hakikatnya telah menyerlahkan sikap sebenar mereka yang tiada pendirian dan kepura-puraan untuk menyinkir PAS dari pentadbiran Selangor.

Ketidaktentuan politik blok pembangkang ini berlarutan sehinggakan kini PKR telah berperang sesama sendiri secara terbuka dan akhirnya mereka berpecah di anatara yang menyokong Azmin dan yang kekal memilih konsensus Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS. Sedangkan di antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir juga tidak sependapat. Peliknya, DAP kekal menikus.

Apa yang pasti, resolusi sebulat suara dari PAN dan perletakan jawatan MP Selayang PKR William Leong mengetuai biro politik PKR agar Selangor tidak meneruskan kerjasama politik dengan PAS adalah jelas dan tegas tetapi di mana suara DAP Selangor yang lantang selama ini? Kit Siang yang akan membuat komen ke atas apa saja isu tetapi di dalam kerjasama PKR Selangor membelakangkan konsensus Pakatan Harapan, beliau telah tiba-tiba menjadi pekak dan bisu.

Itulah persoalan yang diketengahkan MCA kepada DAP dan terutamanya Kit Siang yang sendiri mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat membelakangi Wan Azizah. Masakan saranan PAN pun tidak mendapat sokongan DAP secara terbuka sedangkan parti itu adalah di bawah tajaan mereka? Jika DAP berani singkirkan PAS dari Pakatan Rakyat, apakah DAP takut untuk singkirkan PKR dari Pakatan Harapan yang terang-terang melanggar perjanjian bersama untuk tidak bekerjasama dengan PAS?

Bagi MCA, Selangor adalah contoh terbaik untuk menunjukkan betapa Pakatan Harapan terdiri daripada blok pembangkang yang tidak mempunyai prinsip yang kekal dan hanya rakus ingin merebut kuasa. Prinsip mereka akan berubah-ubah dan musuh lama seperti Dr Mahathir pun boleh bertukar menjadi rakan sekutu dan rakan dijadikan musuh dalam sekelip mata asalkan mereka kekal berkuasa sahaja.

Apakah pakatan pembangkang seperti ini perlu kekal di Selangor dan rakyat terus-terusan dipermainkan?

Saturday, April 22, 2017

DAKWAAN SALAH PEGUAM PAN TERHADAP 'MATA DEMERIT' DIPERJELAS DATUK LIOW



Jika menggunakan platform politik samada untuk memberi pandangan mahupun mengkritik dasar-dasar kerajaan, maka pasti akhirnya ia akan berakhir dengan matlamat untuk berpolitik juga. Maka, apabila Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN), Faiz Fadzil cuba bercakap secara terbuka tanpa membuat rujukan kepada pihak berkuasa JPJ, akhirnya bukan saja beliau telah memberi pandangan yang salah malahan beliau yang mewakili PAN, kelihatan memilih pembohongan untuk kelirukan rakyat.

Kerajaan hari ini bukanlah seperti di zaman Dr Mahathir yang menyekat sebarang kritikan dari pihak pembangkang tetapi apabila kebebasan ini gemar disalahgunakan, maka kenyataan yang salah pasti bertujuan mewujudkan kemarahan rakyat. Adalah lebih baik jika Faiz Fadzil ini berjumpa dan minta penjelasan dari pihak JPJ mahupun menteri sebelum beliau terus-terusan kelirukan rakyat.

Faiz Fadzli yang juga seorang peguam mendakwa sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bagi kesalahan trafik adalah bertentangan dengan perlembagaan negara atau 'double jeopardy' seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan di mana pesalah trafik akan menghadapi dua hukuman serentak.

Dakwaan yang salah ini bertentangan dengan penjelasan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 membolehkan pesalah jalan raya dikenakan dua hukuman serentak iaitu kompaun dan pemotongan mata demerit seperti yang dilaksanakan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Manakala 'double jeopardy' yang dimaksudkan Faiz Fadzil ini pula adalah mengenai dakwaan berganda di mahkamah atas kesalahan yang sama, sebaliknya di bawah sistem Awas, pesalah hanya akan dikenakan satu dakwaan sahaja. Sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bersama-sama dengan sistem penguatkuasaan automatik (AES), iaitu rangkaian kamera bagi merakamkan kenderaan yang melebihi had laju, membentuk sistem keselamatan kesedaran automatik (AWAS).

Sekiranya ada di pihak pembangkang yang masih tidak yakin dengan penjelasan menteri kerana terlalu fobia dengan menteri Barisan Nasional, ini pula penjelasan dari Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron;

"Pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ketua Pengarah JPJ () mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

"Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit. Justeru, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah).

"Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu 'double jeorpardy' tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333.

Apakah tiada persamaan penjelasan di antara menteri BN dan Ketua Pengarah JPJ? Alangkah lebih baik jika pemimpin muda PAN ini mendapatkan penjelasan sebelum beliau kelihatan sebagai seorang ahli politik dan peguam yang kurang berilmu dan terlalu terpengaruh dengan politik pembohongan.