Showing posts with label Integrated Cashless Payment System - ICPS. Show all posts
Showing posts with label Integrated Cashless Payment System - ICPS. Show all posts

Monday, November 13, 2017

SPAD : SATU KAD UNTUK SEMUA PERJALANAN MENJELANG 2019


Pengguna pengangkutan awam terutamanya rel pasti sudah mengetahui yang kini mereka tidak lagi perlu beratur panjang untuk membeli tiket. Ini adalah kerana kemudahan kad 'Touch n Go' juga boleh digunakan untuk perjalanan harian mereka. Namun itu hanya untuk mereka yang mengguna khidmat rel dan pihak SPAD sedang merancang agar pengguna bas dan bas ekspres juga dapat manfaatkan kad yang membolehkan mereka tidak lagi membuat bayaran tunai serta beratur panjang.

Oleh itu, satu sistem yang akan diperkenalkan SPAD iaitu "Integrated Common Payment System (ICPS)" yang pada awalnya dirancang penggunaannya pada tahun 2018 telah ditunda ke 2019. Penggunaan satu kad ini akan dikuatkuasakan di sekitar Lembah Klang dan diperluaskan secara berperingkat-peringkat.

Penggunaan kad pintar yang sedang diusahakan pihak SPAD dengan sistem ICPS ini akan diperluas untuk penumpang bas, rel, metro dan rangkaian monorel. Kad ini boleh ditambah nilai melalui kad MyDebit atau kad Touch n Go di samping membuat bayaran secara talian.

Lebih menarik, penumpang yang mengguna kad melalui ICPS, akan diberi diskaun sebanyak 20 peratus berbanding jika mereka membayar secara tunai. Sistem ICPS ini adalah projek kerajaan yang dipantau SPAD di bawah Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) untuk Pengangkutan Awam Bandar untuk mengintegrasikan semua sistem tambang kereta api dan bas transit di Lembah Klang..

Pada masa yang sama, di dalam menjawab pertanyaan Parlimen, Menteri yang bertanggungjawab ke atas pengangkutan awam darat dan SPAD YB Nancy Shukri juga menerangkan yang bermula tahun hadapan, semua pemandu bas ekspres wajib memperolehi kad pemandu manakala pemandu bas di dalam kategori lain boleh melakukannya berperingkat-peringkat sehingga 2019.

Walaubagaimanapun, pemandu-pemandu bas ini akan melalui proses semakan yang ketat dengan kerjasama polis dan JPJ dan sekiranya ada di antara mereka yang didapati melanggar syarat seperti jika mereka didapati di bawah pengaruh dadah mahupun mempunyai rekod jenayah, kad mereka akan dibatalkan dan diarahkan melalui latihan pemulihan sebelum mendapatkan semula kad pemandu mereka.

Inilah di antara inisiatif kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada SPAD untuk memastikan bukan saja sistem pengangkutan awam lebih selamat dan efisien, malahan mod pengangkutan awam pasti akan dijadikan mod utama rakyat suatu ketika nanti.

Thursday, January 21, 2016

HANYA SATU KAD MELIPUTI SEMUA PENGANGKUTAN AWAM PADA 2017

CEO SPAD En Mohd Azharuddin Mat Sah dan Menteri Pengangkutan

Menjelang 2017, semua pengendali transit seperti LRT, KTM, MRT, monorel, bas ekspres dan yang lain-lain akan menggguna satu sistem tiket pengangkutan tunggal. Sekali gus, ini bermakna sistem konvensional tunai akan diganti dengan sistem tiket penyelesaian pintar tanpa tunai.

Pada bulan Ogos tahun lepas, syarikat dari Australia Vix Technology telah dilantik dan satu kontrak telah ditandatangani dengan Transit Acquirer, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh SPAD untuk sistem tiket tunggal ini. Kontrak ini meliputi kerja-kerja merekabentuk dan memasang sistem, mengendali dan menyelenggara Transit Acquirer System (TAS) dan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (Integrated Cashless Payment System - ICPS).

Kini kontrak kedua telah ditandatangani dengan Vix Technology untuk membekalkan lebih daripada 10,000 alat Common Reader Module (CRM) sebagai sebahagian daripada projek untuk gabungan rangkaian transit di Greater Kuala Lumpur. Alat sistem tiket Vix ini akan dipasang di premis atau pejabat tiket, pintu masuk, di kenderaan, di permulaan tempat tiket dan mesin vending. Satu sistem bersepadu digunakan bagi pihak pengendali transit yang sedia ada termasuklah Prasarana dan KTM Komuter.

Sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) ini juga membolehkan kedua-dua Kad Touch-n-Go serta Kad debit yang dikeluarkan oleh bank-bank Malaysia digunakan untuk pembayaran.

CEO SPAD En Mohd Azharuddin Mat Sah melihat pengukuhan persefahaman dengan Vix Technology mampu melengkapkan kecekapan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) ini. Sekaligus dengan bekalan 10,000 alat CRM ke seluruh rangkaian transit di Malaysia akan bertindak sebagai pengguna utama yang bertujuan untuk memastikan perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selesa bagi melonjakkan lagi Malaysia sebagai peneraju global di dalam pengangkutan awam.

Inisiatif yang diambil pihak kerajaan dan diusahakan oleh pihak SPAD ini mampu memudahkan perjalanan dan mesra penggunaannya kepada kita dan pelancong-pelancong apabila hanya satu kad sahaja digunakan berbanding pelbagai kad yang dibawa sebelum ini.