Friday, July 29, 2016

CADANGAN MCA BUKA KEAHLIAN DI KALANGAN BUKAN CINA


Bagi memulakan cadangan membuka keahlian MCA di kalangan rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Cina pada masa akan datang, gerakan Pemudanya akan menawarkan keahlian sebagai "ahli bersekutu" dan dipertanggungjawabkan untuk menerajuinya.

Bagi sesetengah pihak ia mungkin sebagai satu kejutan tetapi sebenarnya UMNO juga telah lama membuka keahliannya kepada bukan Melayu iaitu di kalangan Bumiputra dari Sabah, orang asli dan juga dari Siam.

Pada dasarnya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai telah memberi kelulusan dan ia juga sebagai sebahagian daripada pelan transformasi MCA untuk memperluaskan sokongan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Pada zahirnya ia nampak mungkin agak mustahil terutama melibatkan dari veteran-veteran MCA, namun cadangan ini adalah satu langkah membuka sokongan yang lebih luas dan mendekati rakyat Malaysia agar lebih memahami dan menerima baik objektikf perjuangan MCA.

Bagi Ketua Pemuda MCA, memandangkan ramai di kalangan pelajar bukan berbangsa Cina yang kini boleh bertutur dan menulis di dalam bahasa Mandarin mahupun Kantonis, ini adalah peluang terbaik bagi mereka merapatkan diri dengan MCA dan memahami dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik.

Ketika ini, daripada laporan Setiausaha Agung MCA, pada 3 Sept tahun lepas parti ini mempunyai keahlian seramai 1.07 juta ahli di mana seramai 238,689 adalah ahli Pemudanya. Walaubagaimanapun, cadangan ini akan dibangkitkan pada mesyuarat agung tahunan akan datang dan jika mendapat persetujuan, proses pindaan perlembagaan akan dilaksanakan.

Terdengar juga desas-desus yang salah satu daripada parti komponen BN, The People's Progressive Party (MyPPP), sedang membuka tawaran untuk bergabung dengan parti-parti politik yang lebih senior seperti MCA mahupun Gerakan walaupun hasrat mereka telah ditolak oleh 2 Presidennya yang terdahulu.

Walaubagaimanapun, langkah MCA ini masih di peringkat cadangan dan diharap agar ia dapat memperluaskan lagi pengaruh sokongan di kalangan rakyat Malaysia terutama di kalangan bangsa minoriti seperti Serani dan juga orang asli.
 

Monday, July 25, 2016

SPAD JELASKAN KENAPA TEKS1M TIDAK GAGAL DAN LAPORAN BH PERLU ADIL


Adalah menjadi tanggungjawab pemberita dan pihak-pihak media memelihara integriti dan kesahihan berita yang mereka laporankan dan bukan sekadar ingin menjadikan tajuk berita sebagai sesuatu yang sensasi untuk melariskan jualan akhbar mereka semata-mata.

Pada 20 Julai 2016, satu laporan dari Berita Harian (BH) yang bertajuk ‘TEKS1M gagal jadi ikon negara' pasti akan dijadikan maklumat sensasi kerana BH merupakan salah satu media perdana yang dikatakan pro-kerajaan dan 'TEKS1M pula adalah projek cetusan dari ide Perdana Menteri Najib Razak sendiri yang telah diamanahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perkataan 'gagal' ada terlalu negatif untuk menghukum projek 'TEKS1M' sedangkan penjelasan di pihak yang dipertanggungjawabkan belum dan tidak diambilkira. Sebagai media arus perdana yang menyokong kerajaan, adalah lebih tepat jika tajuk beritanya lebih kepada membuat persoalan dan bukan dijadikan kenyataan.

Oleh itu, sebagai suruhanjaya yang telah dipertanggungjawabkan kerajaan di bawah kepimpinan PM Najib Razak, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi penjelasan bagi menjawab setiap persoalan dan keraguan seperti maklumbalas rasmi di bawah;


Seharusnya penjelasan dari pihak SPAD didahulukan dan bukannya rencana-rencana dari pihak yang tidak berpengetahun dijadikan bahan berita. Walaupun ia mungkin dianggap sebagai strategi untuk menarik minat pembaca, namun jika berita yang ingin disampaikan adalah maklumat yang tidak tepat, pasti integriti sesebuah akhbar itu akan terjejas.

Diharap pihak editor Berita Harian tidak mengikut jejak langkah MalaysiaKini yang sering sarat dengan putar belit beritanya sehingga rakyat Malaysia telah melabelkan ia sebagai portal berita anti-kerajaan dan penyebar berita-berita palsu. Dunia hari ini, maklumat berada di hujung jari dan jika dibaca artikel yang dikeluarkan BH tanpa disiarkan penjelasan dari pihak SPAD, apakah persepsi pembaca mampu diubah agar menerima penjelasan yang betul?

Kita bernasib baik apabila SPAD pantas menjawab dan menerangkan segala kekeliruan agar kita mendapat gambaran yang jelas dan benar. Andaikata ini berlaku di zaman segalanya terpaksa bergantung kepada laporan akhbar seperti Berita Harian, yang pasti rakyat akan melihat kerajaan kepimpinan PM Najib gagal membela nasib pemandu teksi justeru seorang pemimpin yang sangat lemah.

Adalah menjadi harapan agar setiap laporan berita lebih menunjukkan integriti sebagai laporan yang benar dan tepat daripada memilih untuk menjadi popular yang sarat dengan berita-berita yang tidak adil dan tidak benar. Rakyat telah bijak menilai dan jangan sehingga kepercayaan rakyat terhapus kerana memilih berita-berita palsu. 

 

Wednesday, July 20, 2016

MCA ANGGAP DR MAHATHIR SEORANG YANG TIDAK BERETIKA BILA BERPALING TADAH


Isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang giat membentuk pakatan pembangkang baru dan bagi MCA, ia adalah satu tindakan mantan PM ini yang tidak beretika kerana berpaling tadah terhadap parti politik yang telah meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

Tindakan Dr Mahathir dilihat sebagai membelot kesetiaan ahli-ahli Barisan Nasional. Kenyataan ini telah dibuat oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan memandangkan sokongan padu yang pernah diberikan kepada Dr Mahathir selama 22 tahun dan malangnya mantan PM ini memilih untuk  menentangnya pula bersama-sama barisan pembangkang.

Walaupun keputusan Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang dilihat MCA sebagai tidak beretika namun memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ia adalah hak beliau. Namun MCA tidak akan mengabaikan pengaruh Dr Mahathir dan sentiasa memantau perkembangan yang berlaku dan terlalu awal untuk mengatakan ia bakal memberi ancaman kepada parti gabungan Barisan Nasional.

Di antara perkembangan yang perlu diperhatikan termasuklah persetujuan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama di mana pertubuhan pakatan baru ini masih di peringkat pelancaran tanpa belum ada apa-apa pertubuhan yang rasmi. Kita juga telah menyaksikan ada di antara parti pembangkang yang menolak untuk bekerjasama seperti PAS dan PKR yang berbelah bagi pendirian pemimpin-pemimpinnya. Walaupun pada peringkat awal ini, kepimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang sentiasa menghadirkan diri sepentas dengan Dr Mahathir, kedengaran secara lantang juga ada di antara pemimpinnya yang meragui Dr Mahathir.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula, beliau menganggap ia sebagai satu tindakan terdesak seorang lelaki dan akan berakhir sebagai usaha yang sia-sia. Pandangan Datuk Liow adalah benar kerana baginya perjuangan Dr Mahathir adalah didorong oleh kepentingan peribadi manakala pergaduhan sesama pemimpin Pakatan Harapan yang tiada akhirnya akan lebih menyulitkan.

Seperkara yang perlu diberi perhatian apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa pihak kementerian masih belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru untuk dipertimbangkan sebelum kelulusan diberi. Sememangnya bukan mudah untuk menubuh sebuah parti politik baru kerana beberapa aspek penting perlu disemak terutama sumber kewangan mereka kerana ia penting untuk mengetahui samada sumbernya datang dari luar yang berkemungkinan berniat jahat terhadap negara kita.

MCA sebagai rakan politik di dalam Barisan Nasional terlalu kecewa dengan tindakan Dr Mahathir ini memandangkan MCA sentiasa berada bersama-samanya di dalam setiap ketika terutama di saat-saat genting yang menyaksikan mantan PM ini diserang dari pelbagai pihak ketika Anwar Ibrahim disingkirkan dan populariti Dr Mahathir tercalar.

Sejarah sejak merdeka juga menyaksikan bagaimana MCA sentiasa menyokong Dr Mahathir ketika diasak dan dibuli di pentas pembangkang terutama dari pihak DAP. Maka apabila Dr Mahathir bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan Barisan Nasional, ini yang dikatakan tindakan yang tidak beretika dan berpaling tadah kepada rakan seperjuangan.

APA YANG DIPERSETUJUI DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN SINGAPURA DALAM PROJEK KERETAPI LAJU?


Saat yang dinantikan untuk merealisasi impian rakyat Malaysia melihat projek mega keretapai laju KL-Singapura telah menjadi kenyataan apabila termeterainya perjanjian di antara kedua-dua negara ini. Perjanjian telah ditandatangani oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili Malaysia manakala Singapura pula telah diwakili Menteri Infrastruktur dan Pengangkutannya, En Khaw Boon Wan.

Perjanjian bersejarah ini telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri PM Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan PM Lee Hsien Loong. Sekali gus ini menandakan komitmen tinggi kedua-dua pemimpin negara ini untuk meneruskan projek keretapi laju yang telah diumumkan buat pertama kalinya oleh kedua-dua pemimpin tertinggi ini pada February 2013.

Pasti ramai tertunggu-tunggu apakah intipati perjanjian yang telah dipersetujui di antara kedua-dua negara ini setelah perbincangan demi perbincangan telah diadakan sehingga ada yang cuba membuat beberapa spekulasi.

Berikut adalah 8 rumusan daripada intipati perjanjian yang telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura;

1. Bertanggungjawab untuk membangun, membina dan menyenggara infrastruktur awam dan stesen dalam negara masing-masing di mana di Malaysia akan dilaksanakan oleh MyHSR Corporation dan The Land Transport Authority (LTA) di Singapura pula.

2. Melantik melalui tender antarabangsa sebuah syarikat aset bagi menyediakan dan menyenggarakan aset-aset HSR (High Speed Rail), khususnya gerabak keretapi serta apa saja yang berkaitan dengan sistemnya seperti  trek, janakuasa, isyarat dan telekomunikasi.

3. Melantik melalui tender antarabangsa dua syarikat keretapi. OpCo International akan mengendalikan perkhidmatan HSR antarabangsa yang merangkumi jangkamasa perjalanan keretapi selama 90 minit, perjalanan tanpa henti di antara Bandar Malaysia-Singapore Express Service dan perkhidmatan 'shuttle' Iskandar Puteri ke Singapura. Syarikat OpCo tempatan akan mengendalikan segala perkhidmatan domestik dalam Malaysia.

4. Segala kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin atau Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) di 3 lokasi dikendalikan bersama iaitu di Singapura, Iskandar Puteri dan Kuala Lumpur. Setiap penumpang dari luar negara perlu menjalani pelepasan CIQ kedua-dua pihak berkuasa negara sewaktu masa pelepasan dan bukan ketika masa ketibaan seperti lazimnya.

5. Membentuk jawatankuasa bilateral dengan wakil-wakil daripada kedua-dua kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan merentas sempadan (Ekspres dan Shuttle) serta isu-isu yang mungkin memberi kesan kepada perkhidmatan ini serta perkara-perkara lain yang melibatkan kepentingan bersama.

6. Membentuk Pasukan Projek Bersama untuk mengurus hal ehwal bersama di dalam aspek perancangan projek dan kerja-kerja pembangunan sebelum operasi dimulakan.

7. Bersama-sama menawar tender antarabangsa pada bulan Ogos 2016 untuk melantik Rakan Kongsi Pembangunan Bersama bagi persediaan sokongan teknikal termasuk perkara-perkara yang melibatkan sistem komunikasi dua hala dan integrasi.

Yang paling penting adalah;

8. Bersama-sama berusaha untuk memastikan projek keretapi laju KL-Singapura dapat memulakan operasi seperti dijadualkan pada 2026.


Di antara perkara yang perlu kita ketahui adalah mengetahui siapakah pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung untuk mempastikan projek mega ini berada di landasan yang betul dan segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur dan berjaya.

SPAD  - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat adalah pihak diberi tanggungjawab bagi pihak kerajaan Malaysia sebagai perancang, pengawalselia dan penguatkuasa untuk semua urusan hal-hal tanah pengangkutan awam. Ditubuhkan pada 3 Jun 2010 di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010, Suruhanjaya adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri Malaysia secara langsung.

MyHSR Corporation - Syarikat yang dimilik penuh Pebadanan Menteri Kewangan Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2015 khusus untuk projek keretapi laju KL-Singapura. Syarikat ini bertanggungjawab memastikan perjalanan, perkembangan dan perlaksanaan projek ini.

LTA - Land Transport Authority adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan Singapura. Kumpulan HSR di dalam LTA bertanggungjawab untuk aspek pembangunan rekabentuk kejuruteraan dan pelaksanaan projek yang bekerjasama rapat bersama-sama agensi-agensi berkaitan di antara kedua-dua negara Malaysia dan juga Singapura.
 

Monday, July 18, 2016

BILA KEMALANGAN BERLAKU, APA PERANAN SPAD?


Setiap kali berlaku kemalangan jalanraya yang melibatkan pengangkutan awam, tiga agensi penguatkuasa yang akan terlibat. Pertama ialah pihak PDRM di mana siasatan seperti penglibatan jenayah atau apa-apa kesalahan yang melibatkan Penal Code atau Akta Jalanraya. Keduanya, JPJ akan menyiasat samada terdapatnya kegagalan kenderaan atau pemandunya dan yang ketiga, pihak MIROS akan menyiasat secara terperinci untuk mencari punca kemalangan dan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan.

Di mana pula peranan SPAD? Suruhanjaya ini adalah agensi terakhir di mana segala hasil siasatan dari PDRM, JPJ dan MIROS, pihak SPAD perlu mengambil tindakn untuk menggantung syarikat operator atau tidak.

Inilah proses-proses yang perlu dilalui sebelum sebarang tindakan diambil pihak SPAD dan pastinya ia memerlukan masa apabila maklumbalas laporan dari ketiga-tiga agensi yang terlibat juga perlu berasaskan undang-undang negara.

Begitulah penjelasan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika ada pihak yang mempersoalkan apa sebenarnya peranan SPAD serta agensi-agensi penguatkuasa setiap kali berlakunya kemalangan jalanraya di mana sering berlaku ketika menjelang waktu perayaan.

Di dalam kes kemalangan berhampiran Terowong Menora yang melibatkan bas ekspres Qistina, keputusan untuk menggantung lesen syarikat pengendali ini tidak terlepas dari proses-proses yang disebutkan Tan Sri tadi. Malahan, keputusan tidak terus diambil sebelum pihak bas ekspres Qistina memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu. Hanya selepas pihak SPAD berpuas hati bahawa terbukti ada dan kesalahan bersabit, maka barulah tindakan menggantung leses mereka dilaksanakan.

Kemalangan bukan sesuatu yang boleh sesiapa jangka, maka menurut Tan Sri Syed walaupun lesen telah digantung namun tiket-tiket telah pun dibeli penumpang, sebagai pihak yang bertanggungjawab, SPAD mensarankan agar tambang dikembalikan atau bekerjasama dengan pihak TBS untuk diberi bas yang lain.

Perlu juga dijelaskan yang pihak SPAD tidak memiliki rekod pemandu bas di mana segalanya berada di dalam bidang kuasa JPJ. Pada lazimnya, JPJ akan memaklumkan pihak SPAD ketika kemalangan telah berlaku, sejarah rekod pemandu sebelum keputusan penggantungan lesen PSV pemandu diambil. Pihak SPAD juga tidak menyimpan rekod jenayah seseorang pemandu yang hanya disimpan pihak polis.


Oeh itu, langkah yang terbaik adalah agar di antara pihak polis, JPJ dan SPAD berkongsi maklumat ke atas rekod seseorang pemandu. Pihak SPAD hanya mampu bertindak ke atas 2 perkara iaitu samada kesalahan itu adalah kesalahan kecuaian berat atau jenayah dan samada syarikat pengendali telah mematuhi I-She-Cop di mana tindakan mengikut sewajarnya tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Daripada seseorang itu mempertikaikan samada SPAD seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Syed Hamid berpendapat adalah lebih baik ditumpukan persoalan pokok berkenaan kemalangan kerana kemalangan yang berlaku bukanlah disebabkan SPAD yang sekarang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan di bawah MOT.

Saturday, July 16, 2016

PILIHANRAYA AWAL TERNYATA GIMIK POLITIK DAP - DATUK WEE


Tepat sekali telahan Datuk Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA yang seharusnya dilakukan Lim Guan Eng adalah membersihkan namanya di mahkamah dan bukan cadangan untuk mengadakan pilihanraya negeri awal di Pulau Pinang untuk menagih gimik politik DAP. 

Malahan alasan yang diberi untuk mengukur sentimen rakyat untuk Lim Guan Eng kerana pertuduhan rasuah terhadapnya hanyalah semata-mata untuk mengalih tumpuan rakyat ke atas kesalahan Guan Eng sebagai seorang individu yang berjawatan Ketua Menteri dan penjawat awam. 

Guan Eng juga menuduh yang mahkamah telah berlaku tidak adil dan terpilih sehingga ia menuduh ini adalah penganiayaan politik terhadap dirinya daripada pihak lawan. Tetapi apabila Guan Eng menang dalam mana-mana saman mahkamah, ia dianggap keadilan untuknya tapi apa yang menimpa beliau sekarang walaupun belum pun bermula tapi Guan Eng telah mengheret rakyat Pulau Pinang dalam kesalahan peribadinya.

Perlu diingat yang pertuduhan ke atas Guan Eng adalah menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan kedua, beliau dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta. Di mana terlibatnya rakyat Pulau Pinang melainkan ia adalah kesalahan rasuah Guan Eng itu secara individu?

Oleh itu, persoalan yang ditimbulkan Datuk Wee adalah apakah mahkamah telah bersifat berat sebelah ketika kes Guan Eng belum lagi bermula perbicaraannya dan sekadar dibacakan pertuduhan? Siapa sebenarnya yang tidak berlaku adil di sini? Samada Guan Eng melakukan kesalahan atau pun tidak, dia sepatutnya membuktikan di mahkamah dan bukan mengheret rakyat bersamanya.

Lebih kelakar apabila diimbas kembali kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang tidak bersetuju Guan Eng bercuti walaupun dalam kenyataannya terdahulu menegaskan yang Guan Eng perlu berbuat demikian sekiranya telah didakwa. Kini, lain pula tindakan DAP, gimik politik yang dikejar tetapi kenyataan sendiri tidak serupa bikin.

Thursday, July 14, 2016

TRAGEDI TEROWONG MENORA : QISTINA EXPRESS DIAMBIL TINDAKAN


Kemalangan yang melibatkan Qistina Express di Km265.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora bukanlah kejadian yang tidak sengaja mahupuan disebabkan bencana alam.

Oleh kerana dengan nyata pelanggaran syarat-syarat keselamatan mandatori yang telah disahkan pihak SPAD berdasarkan laporan auditnya pada 12 Julai 2016, maka syarikat Qistina Express Sdn Bhd telah digantung lesen perniagaannya yang didapati memiliki 26 permit bas. 

Proses penggantungan lesen ini telah dimulakan dan disah oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En Mohd Azharuddin Mat Sah di dalam kenyataan rasmi media. Pada masa yang sama, ini adalah tindakan awal sebelum pihak MIROS mengeluarkan siasatan lengkap mereka.

Pematuhan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD adalah mandatori untuk setiap syarikat bas ekspres mengutamakan keselamatan penumpang dan sekiranya gagal, tindakan tegas tidak akan dilengahkan. Pihak SPAD juga mengingatkan kepada syarikat-syarikat pengendali bas ekspres yang lain dan tindakan tegas ini diharap dijadikan bukan saja sebagai peringatan malahan dijadikan pengajaran kepada yang lain.

Kepada orang ramai, pihak SPAD memberi jaminan bahawa suruhanjaya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain seperti PDRM dan JPJ bagi memastikan pengendali bas ekspres mengutamakan keselamatan penumpangnya dengan kenderaan yang mematuhi segala peraturan lalu lintas dan berada dalam keadaan terbaik dan selamat.


Tuesday, July 12, 2016

TRAGEDI TEROWONG MENORA - SYARIKAT BAS EKSPRES TERLIBAT BAKAL MENYESAL

Mohd Azharuddin Mat Sah, CEO SPAD

Setiap kali musim perayaan dan kali ini ketika rakyat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, kita dikejutkan dengan tragedi kemalangan yang melibatkan bas ekspres di Km265.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora.

Nampaknya kempen kesedaran keselamatan jalanraya yang dijalankan pihak kerajaan tidak diambil serius oleh sesetengah syarikat pengendali bas ekspres sehinggakan kemalangan di Terowong Menora telah melibatkan 10 buah kereta dirempuh sebuah bas ekspres.

Oleh itu, sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen pengendali kepada sesebuah syarikat bas ekspres, maka pihak SPAD juga akan menjalankan penguatkuasaan dan tanggungjawab mereka untuk mengambil tindakan yang setegas-tegasnya ke atas syarikat pengendali yang terlibat.

Walau apa pun alasan yang bakal diberi syarikat pengendali tersebut, SPAD tidak akan teragak-agak untuk menggantung dan berkemungkinan membatalkan lesen pengendali syarikat terlibat. Kepastian ini telah dinyatakan di dalam kenyataan rasmi SPAD oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Pihak SPAD juga memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh di dalam siasatan yang telah dimulakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS). Di antara aspek siasatan yang diberi penekanan adalah kejuruteraan jalan raya serta pengurusan keselamatan dan pengurusan kenderaan dan pemandunya.

Adalah menjadi keutamaan SPAD menjamin keselamatan pengguna di jalan raya samada mereka adalah penumpang mahupun pengguna awam.  Apabila melibatkan pengangkutan awam darat, pihak SPAD tidak sekali-kali akan berkrompomi jika berlakunya kemalangan kerana telah termaktub di dalam syarat-syarat lesen agar aspek keselamatan seharusnya diutamakan syarikat pengendali. 

Aspek keselamatan ini termasuklah keadaan kenderaan awam yang dilengkapi dengan sistem pemantauan serta pemandu yang telah menjalani kursus keselamatan. Oleh itu, sekiranya tragedi Terowong Menora ini adalah akibat daripada kecuaian syarikat pengendali, maka sememangnya dialu-alukan agar pihak SPAD mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mereka.

Jika ada di antara syarikat pengendali bas ekspres cuba berlaku cuai dan sengaja enggan mematuhi aspek-aspek keselamatan jalanraya, kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan mereka akan berada di mata rakyat secara meluas dalam beberapa ketika saja terutamanya di media-media sosial. Syarikat-syarikat bas ekspres ini perlu mengetahui yang perniagaan mereka bukan sekadar untuk mengaut keuntungan tetapi termasuk juga keselamatan awam.

Kita tunggu tindakan seterusnya dari pihak SPAD dan diharapkan syarikat bas ekspres yang terlibat diberi hukuman yang setimpal tanpa sebarang kompromi.



Saturday, July 09, 2016

DATUK LIOW : KESELAMATAN DI KLIA DAN KLIA2 TERKAWAL DAN RAKYAT MALAYSIA TIDAK PERLU PANIK


Ketika dunia digoncang dengan berita serangan pengganas di Lapangan Terbang Atartuk Istanbul, Turki dan tragedi pengeboman di lapangan terbang di Brussels, Jerman pada bulan Mac lalu, keselamatan di kedua-dua pintu masuk utama negara di KLIA dan KLIA 2 telah diberi jamninan dipertingkatkan sejak Mac lalu.

Justeru, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan kita agar tidak perlu panik memandangkan keselamatan di kedua-dua lokasi ini adalah terkawal dan diberi perhatian di tahap yang paling tinggi. Beliau juga mengesahkan yang tahap keselamatan di kedua-dua KLIA dan KLIA2 telah dipertingkatkan dengan kerjasama pihak PDRM dan juga polis bantuan.

Walaubagaimanapun, di antara langkah yang boleh diambil oleh orang ramai untuk bersama-sama menjaga keselamatan di lapangan terbang apabila ternampak bagasi yang agak mencurigakan ataupun berlegar-legar di persekitaran lapangan terbang agar memaklumkan segera kepada pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tahap keselamtan juga diberi perhatian serius di KL Sentral ke lapangan terbang memandangkan ia adalah hub dan 'check point' pengangkutan awam darat melalui rel. Sebelum ini hanya terdapat beberapa CCTV tetapi memandangkan keadaan yang memerlukan perhatian keselamatan yang tinggi, langkah-langkah tambahan akan ditingkatkan.

Di antara langkah yang akan diambil termasuk juga menyediakan mesin saringan untuk penumpang-penumpang dan bagasi yang menuju ke KLIA atau KLIA2 selain daripada menambahkan lagi CCTV di sekitar bangunan KL Sentral. Ini adalah merupakan  langkah awal keselamatan sebelum penumpang menuju ke lapangan terbang.

Untuk makluman, pihak keselamatan kita sentiasa meningkat semua prosedur operasi standard yang berkaitan dengan keselamatan dan pihak polis telah berjaya mengesan pergerakan IS di negara kita terutamanya dari golongan yang bersimpati. Mereka diawasi agar sebelum mereka bertambah radikal dan seterus merancang untuk melancarkan serangan, polis telah mampu mengekangnya.

Oleh itu, adalah tidak perlu untuk orang awam berasa panik memandangkan keadaan keselamatan negara yang stabil dan segala langkah keselamatan sentiasa dipertingkatkan di negara ini.

Friday, July 08, 2016

BEZA SEKALI DI ANTARA UCAPAN AIDIL FITRI PEMIMPIN MCA DENGAN DAP

Beza ibarat langit dan bumi di antara MCA dan DAP jika membaca ucapan perayaan Aidil Fitri yang diraikan umat Islam dan bangsa Melayu di seluruh negara. MCA dan DAP adalah dua parti politik yang mewakili bangsa Cina tetapi MCA nampaknya lebih memilih untuk memahami dan menghormati perayaan bangsa Melayu tetapi DAP memilih untuk dijadikan satira politik penghinaan mereka yang tidak mengenal batasan.

Jelas apabila kita membaca perutusan-perutusan pemimpin MCA ini dan di antaranya;



1. Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai merangkap Menteri Pengangkutan Malaysia awal-awal lagi menekankan penghayatan dalam menyambut aidilfitri
di mana nilai-nilai murni seperti bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan tanpa mengira bangsa dan agama.
Liow: Tingkatkan persefahaman, eratkan siraturahim

Setibanya bulan Syawal ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga sambutan bersama keluarga dan sahabat handai meriah dan penuh keberkatan buat anda semua.

Sambutan hari raya yang meraikan nilai-nilai murni menjadikannya lebih bermakna. Penghayatan sifat saling bermaafan, persefahaman dan mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja bagi mereka yang menyambut aidilfitri, malah dapat diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum demi meningkatkan lagi keharmonian sesama kita.

MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional, berpegang teguh kepada semangat bermuafakat dan wasatiyyah yang merupakan kunci kejayaan negara
sehingga kini. Pentadbiran BN yang berlandaskan kesederhanaan dan semangat konsensus adalah tunjang kepada kesetiaan dan cinta akan bangsa dan negara. Berpaksikan prinsip-prinsip ini, sama-sama kita terus memperkukuhkan semangat dan membentuk tenaga positif terhadap perpaduan di kalangan rakyat dan sama-sama kita menolak mana-mana pihak yang menyemai benih kebencian di antara kita.

Sesungguhnya, sifat-sifat murni adalah teras pembangunan dan kemajuan negara yang perlu terus diperkasakan, lebih-lebih lagi dikalangan generasi muda yang bakal memimpin negara. Diharap sambutan lebaran pada kali ini penuh bererti dan bagi mereka yang bakal pulang ke kampung halaman, semoga perjalanan selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua.

Manakala Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong pula telah mengguna pendekatan kreatifnya untuk membantu rakyat setempat agar mereka tidak ketinggalan bersama-sama dapat meraikan hari yang mulia ini;

video

Begitu juga kesempatan ini, Senator Dato' Chai Kim Sen melakarkan ucapan di dalam posternya;

 
 Apa pula ucapan dari pihak DAP, bandingkanlah...


Malangnya, ketika rakyat Malaysia menganggap ini sebagai satu penghinaan kepada perayaan bangsa Melayu, rakan Nga Kor Meng, Teresa Kok yang juga terkenal dengan sikap gemar mengguna politik kebencian, menganggap soal keagamaan sebagai gurauan senda kepada mereka selepas mendapat kecaman.

Apakah wakil-wakil rakyat Cina DAP seperti Nga Kor Meng dan Teresa Kok layak bersama-sama rakyat Malaysia yang lain meraikan AidilFitri juga? Apakah DAP sememangnya layak untuk memimpin rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama? Jelas, jika dibandingakan degnan MCA, DAP seperti tidak mempunyai nilai-nilai murni yang disarankan Presiden MCA Datuk Liow dan jauh sekali apabila rakyat tidak akan dapat bergantung harapan seperti yang ditunjukkan Datuk Wee Ka Siong pula.

Inilah perbezaan ketara di antara MCA dan DAP!
 

Tuesday, July 05, 2016

MCA DEDAHKAN KUTIPAN DERMA UNTUK GUAN ENG YANG DOUBLE STANDARD TERHADAP AHLI DAP


DAP cuba meraih sokongan simpati ke atas dakwaan yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agong parti itu, diatas tuduh melakukan salah guna kuasa dan rasuah. Guan Eng mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan. Justeru mahkamah telah menentukan beliau diikat jamin sebanyak sejuta dan perbicaraan dijadualkan pada bulan September nanti.

Duit ikat jamin telah dibayar dan sekarang DAP ingin mengutip derma dari rakyat dan ahli-ahlinya yang konon untuk menunjukkan solidariti kepada Guan Eng. Inilah yang dipersoalkan MCA, apa perlunya dikutip duit rakyat sedangkan telah dibayar dan dakwaan terhadap Guan Eng adalah kesilapan peribadi di mana beliau sebagai penjawat awam telah salah guna kuasanya memberi projek kepada penjual banglo dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran semasa.

MCA membidas sikap kepimpinan DAP yang 'double standard' apabila masih ada ahli mereka yang dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Bekas pemandu
mendiang Karpal Singh telah dipenjarakan lebih dari sebulan apabila DAP tidak langsung membantu beliau membayar duit ikat jamin sebanyak RM5,000. Mendiang Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng juga tidak dibantu langsung ketika beliau sedang bergelumang dengan penyakit kansernya dan ini telah didedahkan sendiri oleh isterinya.

Jika DAP terlupa, MCA ingin mengingatkan mereka tentang kutipan "Selamatkan Bukit China" pada tahun 1984 bertujuan untuk menghalang rancangan pembangunan kerajaan negeri Melaka di kawasan tersebut. Hakikatnya, isu tersebut telah diselesaikan tanpa melibatkan sesen pun tetapi DAP enggan mendedahkan ke mana perginya kutipan serta jumlah sebenar kutipan tersebut.

Jangan kita lupa pada tahun 1984, Guan Eng dan bapanya Kit Siang masih bertapak di Melaka dan mereka juga terlibat secara langsung dengan kutipan "Selamatkan Bukit China". Apakah modus operandi ini akan berulang sekali lagi di Pulau Pinang di mana kutipan derma tidak diisytiharkan secara terperinci dan hilang entah ke mana.

DAP yang kononnya membela nasib malang rakyat yang memerlukan dengan jelas bukan saja mengheret rakyat di dalam kesalahan peribadi Guan Eng, tetapi meneruskan penipuan dengan meraih wang rakyat untuk membantu Guan Eng yang mampu membeli rumah berharga berjuta ringgit. Inilah mesej sebenar MCA kepada ahli-ahli DAP di mana apakah kutipan derma solidariti Guan Eng sebenarnya untuk selamatkan Pulau Pinang atau untuk selamatkan banglo Guan Eng?

Kepimpinan DAP tak perlu nak samakan apa yang berlaku terhadap isu 1MDB dengan PM Najib Razak di mana beliau hanya disiasat manakala Guan Eng telah pun didakwa dan dakwaan mahkamah ini telah dikemukakan bersama-sama bukti yang kukuh. Lebih tidak bermaruah apabila dengan cubaan meraih simpati untuk Guan Eng, DAP nampaknya menyokong amalan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas bertentangan dengan prinsip CAT (Competency, Accountability and Transparency) kerajaan Pulau Pinang mereka.