Friday, December 09, 2016

DR MAHATHIR KUTUK MCA TETAPI SASARAN SEBENAR ADALAH PRESIDEN UMNO/BN


Apabila sudah berpaling tadah kepada UMNO dan ternyata gagal melemahkan dan seterusnya menghancurkan parti yang berpresidenkan DS Najib, segala yang berkaitan dengannya akan dikutuk dan dicari kelemahannya. Kini tiba giliran MCA dijadikan bahan kecaman politik Dr Mahathir.

Pada 4 Disember lalu ketika berada di majlis DAP, Dr Mahathir diletakkan di kerusi utama di pentas khas dalam Konvensyen Kebangsaan DAP. Beliau diberi penghormatan tertinggi oleh Kit Siang dan diletakkan bersebelahan Dr Chen Man Hin, salah seorang pengasas DAP. Maka tidak terperanjat apabila Dr Mahathir yang dikelilingi pemimpin-pemimpin DAP dan berhadapan dengan ahli-ahlinya, mengutuk MCA adalah perkara yang tepat sekali.

Pemimpin-pemimpin MCA hari ini sedar yang sasaran sebenar Dr Mahathir adalah untuk menghilangkan kepercayaan MCA terhadap kepimpinan DS Najib sebagai Presiden Barisan Nasional walaupun perkara-perkara yang disentuh agak remeh seperti membandingkan lagu parti di antara MCA dan DAP.

Dr Mahathir menyoal prinsip MCA yang bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah menyebabkan Malaysia tersenarai dalam 10 negara paling korup di dunia. Itu intipati kecaman beliau.

Malang bagi Dr Mahathir apabila pemimpin-pemimpin MCA yang diterajui DS Liow Tiong Lai dan DS Wee Ka Siong tangkas memahami maksud sebenar Dr Mahathir yang tidak lebih daripada memainkan rekod buruk yang telah rosak secara berulang-ulang kali.

MCA juga menyedari, setelah ketiadaan Muhyiddin, Mukhriz dan Syafie Afdal termasuklah Dr Mahathir sendiri di dalam UMNO, Barisan Nasional (BN) semakin mantap dan DS Najib telah kembalikan kegemilangan BN. Ini telah terbukti dengan pilihanraya kecil serentak parlimen di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. BN bukan sekadar berjaya mengekalkan kerusi parlimen ini malahan mendapat undi majoriti yang teramat besar dan termasuklah peralihan pengundi bangsa Cina kepada BN dengan begitu ketara sekali.

Peralihan pengundi bangsa Cina kepada BN ini adalah hasil kerja keras MCA yang bergerak seiringan bersama-sama parti-parti komponen BN. Kekuatan BN yang bersatu di bawah kepimpinan utama DS Najib dan dimantapkan dengan kepimpinan MCA bersama DS Liow, telah membuatkan Dr Mahathir hampir hilang ingatannya, bahawa MCA bergerak dan sentiasa bertanding di bawah satu lambang iaitu dacing yang berlatarbelakangkan warna biru.

Seperkara yang menyebabkan kekecewaan Dr Mahathir adalah apabila beliau juga gagal untuk satukan parti-parti pembangkang seperti yang ingin ditirunya di dalam Barisan Nasional. Sejak penubuhan Perikatan, MCA adalah parti politik yang telah jelas termaktub mewakili bangsa Cina tetapi kerana ideologi politiknya yang berpaksikan fahaman kebangsaan, maka MCA dari dahulu sehingga sekarang kekal bergabung di dalam Barisan Nasional.

Ini berbeza dengan sejarah DAP yang kekal berpaksikan sosialis dan pada awalnya adalah serpihan pertubuhan yang berfahaman komunis. Kedua-dua gabungan fahaman sosialis komunis ini masih kekal diperjuangkan DAP walaupun mereka berkali-kali cuba untuk berpura-pura menjadi lebih Melayu. Malangnya, segala kepura-puraan mereka tidak pernah berjaya menawan hati majoriti Melayu.

Sekiranya Dr Mahathir telah lupa, MCA telah bertanding di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu dan mereka telah berjaya mengekalkan kerusi mereka. Contohnya Datuk Liow sendiri dan termasuklah Datuk Wee. Sehingga kini, kedua-dua kerusi di Bentong dan Ayer Hitam adalah kekal milik MCA. Jika bukan kerana prinsip politik MCA yang berteraskan kebangsaan, mana mungkin pengundi Melayu meyakini mereka.

Kejayaan MCA di kawasan Melayu ini juga diteruskan oleh kepimpinan DS Najib, malahan keyakinan kepimpinan DS Liow kepada DS Najib, pula menyebabkan peralihan kepercayaan pengundi Cina di Kuala Kangsar dan Sungai Besar mahupun kejayaan berganda di pilihanraya negeri Sarawak.

Seandainya Dr Mahathir ingin mengaitkan kepimpinan DS Najib dengan rasuah, apakah Dr Mahathir sedang mencuci tangannya dengan kes rasuah terbesar di zamannya dengan skandal PKFZ? Apakah beliau tidak sedar yang kerana skandal PKFZ di bawah kepimpinan beliaulah, maka MCA telah terkesan kehilangan kepercayaan pengundi bangsa Cina. Kini beliau mempersoalkan mengenai rasuah?

Malahan, tiada bukti konkrit untuk menuduh Malaysia terletak di dalam tangga ke10 di dalam Indeks Rasuah Dunia.

DS Najib telah membuktikan kepimpinan yang tidak pilih kasih walaupun ketika 2 pilihanraya lalu, MCA telah menerima kesan peralihan kepercayaan bangsa Cina kepada DAP. Namun, menyedari pentingnya wakil suara bangsa Cina di dalam kerajaan, MCA diletakkan semula di dalam barisan kabinet menteri.

Jika Dr Mahathir ingin hapuskan kepercayaan dan keyakinan kepimpinan MCA terhadap DS Najib, beliau pasti akan kecewa sekali lagi. Kegagalan Dr Mahathir di luar BN/UMNO bukan saja terserlah malahan beliau semakin terdesak. Beliau bukan saja gagal memahami aspirasi MCA hari ini malahan beliau juga gagal memahami siapa itu pembangkang!

No comments: