Tuesday, September 30, 2014

KEKURANGAN PAKAR DARI MALAYSIA ADALAH CABARAN SEBENAR KERETAPI KELAJUAN TINGGI


Masih ada yang mengatakan projek mega Keretapi Kelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura tidak akan mendapat keuntungan dan kelebihan kepada Malaysia dengan alasan projek ini telah mendapat bantahan dari era 2 mantan Perdana Menteri terdahulu. Ia juga dikatakan bakal menjejaskan kepentingan strtaegik negara dan membabitkan kos yang tinggi.

Yang paling melucukan apabila projek mega ini dikaitkan dengan Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi SPAD, seolah-olah beliau merupakan pelobi utama projek ini. Apa kena mengena dengan kepentingan SPAD sedangkan ia terkandung di dalam MANIFESTO BN KETIKA PRU 13 lalu yang dilaungkan sendiri oleh DS Najib.

Kejayaan atau kegagalan projek keretapi kelajuan tinggi ini TIDAK hanya bergantung kepada penyelidikian terdahulu, TIDAK bergantung kepada penilaian di era dahulu dan TIDAK bergantung kepada persepsi persaingan di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Ia bergantung dan sangat kritikal kepada modal insan profesional di bidang keretapi kelajuan tinggi dari negara kita. Inilah cabaran sebenar yang sedang dihadapi dan dikemukakan oleh Pengarah Rail Personnel, Paul Spencer ketika ditemui pada persidangan Rail Business Asia (RBA) 2014 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini. Rail Personnel yang merekrut jurutera serta tenaga profesional daripada semua bidang industri kereta api ditubuhkan di Malaysia lebih setahun lepas. Menurutnya;
 
"Bagaimanapun, (jika masalah ini tidak diatasi segera) mereka akan menghadapi masalah lebih serius untuk mencari jurutera dan pekerja mahir untuk projek MRT2 dan
HSR.

...buat masa sekarang pengendali kereta api terpaksa bertahan dengan modal pekerja mahir yang terhad dengan mengambil tenaga pekerja profesional dari luar negara sebagai langkah sementara."

Beliau memberikan dua sebab berlaku kekurangan tenaga pekerja itu dan yang pertama kerana tiada kursus atau latihan ditawarkan dalam pengajian kereta api di universiti
tempatan. Keduanya, rakyat Malaysia yang dilatih dan mempunyai pengalaman (dalam teknologi kereta api) bekerja di luar negara kerana gaji yang lebih tinggi.
  
Apabila kekurangan pekerja mahir tempatan, akibatnya projek ini akan tergendala dan berlaku kelewatan dalam mengikut jadual dan kos projek pasti akan meningkat apabila keperluan mengambil tenaga pekerja mahir asing yang pasti gaji mereka akan lebih tinggi.

Bagi mengatasi masalah kritikal ini, kerajaan telah menubuhkan Institusi Jurutera Semboyan Keretapi (Institution of Railway Signal Engineers - IRSE) bagi memenuhi keperluan dalam bidang semboyan dan telekomunikasi. Matlamat utamanya adalah untuk membangunkan tenaga profesional industri berkenaan dan menggred kemampuan mereka.

Semboyan kereta api adalah satu daripada unit dalam industri kereta api yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan penumpang dan untuk mengelakkan kemalangan keretapi. Unit ini juga dianggap sebagai nadi kepada mana-mana infrastruktur kereta api kerana ia menggerakkan keseluruhan sistem.
  
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersetuju dengan penubuhan Institusi Jurutera Semboyan Keretapi memandangkan industri keretapi Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan. Projek MRT dan keretapi berkelajuan tinggi (HSR) bukanlah projek terakhir keretapi di negara ini. Malahan, terdapat perancangan masa depan seperti LRT 3, MRT 2 dan Trans-Asian railway.

Apabila projek keretapi berkelajuan tinggi ini siap yang dijangkakan pada tahun 2020, perjalanan di antara KL - Singapura hanya memakan masa selama 90 minit berbanding dengan perjalanan dengan kereta selama 300 minit, bas selama 360 minit, KTM selama 420 minit dan penerbangan selama 240 minit (termasuk perjalan pergi dan balik ke lapangan terbang).
 
Bayangkan peluang pekerjaan yang mampu diwujudkan dan peluang perniagaan yang akan dibangunkan untuk rakyat Malaysia di samping kemudahan perjalanan yang mampu dipercepatkan. Sebelum lebuhraya diwujudkan, perkara membazir dan negara tidak mampu membina kerana kos terlalu tinggi adalah di antara pandangan negatif oleh sesetengah pihak.

Apabila telah wujud lebuhraya di sepanjang Semenanjung, dan pertambahan kenderaan di jalanraya sehingga di lebuhraya juga kita mengalami kesesakan, maka ini adalah salah satu perancangan kerajaan di dalam industri rel bagi mengurangkan kesesakan jalanraya dan lebuhraya. Malahan, ini juga merupakan salah satu tindakan kerajaan mengurangkan kehilangan nyawa samada di jalanraya mahupun lebuhraya.

Oleh itu, pandangan di zaman lebuhraya baru wujud tidak sesuai pada hari ini dan sepatutnya apabila kerajaan telah ke hadapan, rakyat pun seharusnya seiringan dan cabaran sebenar di dalam industri rel ini adalah pekerja mahir dan profesional dari anak tempatan yang perlu diberi perhatian serius.


No comments: