Monday, August 14, 2017

KEMPEN "ThumbsUp4Msia", MCA ALU-ALUKAN SEMUA RAKYAT PERANG KEBENCIAN DAN GANTI DENGAN PATRIOTISMA


Sejak menerajui kepimpinan MCA, Presidennya DS Liow Tiong Lai dan Timbalannya DS Wee Ka Siong bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi salah sebuah parti komponen utama Barisan Nasional yang mewakili suara bangsa Cina ini, amat konsisten menyerapkan nilai-nilai kesederhanaan atau wasatiyyah yang telah diperkenalkan PM Najib Razak, demi perpaduan rakyat dari pelbagai perbezaan.

Kini satu kempen MCA yang bertujuan menanamkan nilai-nilai patriotisme, muhibah dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia telah disemarakkan dengan pelancaran kempen "ThumbsUp4Msia". Pada masa yang sama, MCA menyedari terdapat di kalangan pengkritik terutamanya dari blok pembangkang yang sengaja melemparkan api kebencian di kalangan rakyat.

Oleh yang demikian, bagi menggalakkan pandangan, perpaduan dan keharmonian yang sederhana di kalangan semua kaum, semua rakyat Malaysia digalakkan menyertai kempen ini yang bertepatan pada hari merdeka yang ke 53 pada 31 Ogos dan hari Malaysia pada September nanti. Kempen ini akan berakhir pada 8 September nanti.

Agak menarik pendekatan kempen "ThumbsUp4Msia" ini di mana dari sehelai bendera gergasi berukuran 12' x 22' akan dipecahkan kepada 62 keping dan diletakkan di kawasan strategik di seluruh negara agar rakyat dapat meletakkan cap ibu jari mereka untuk menunjukkan sokongan mereka. Kempen ini akan bermula di semua bahagian MCA dan akhirnya akan dikumpulkan untuk dijadikan bendera Jalur Gemilang gergasi.

Pada hari Malaysia ke 53 pula yang akan diraikan pada 9 September nanti, PM Najib Razak akan dijemput sebagai orang terakhir meletakkan cap ibujarinya  sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin utama negara sebelum digabungkan sebagai Jalur Gemilang gergasi nanti.

Sebagaimana yang disarankan Presiden MCA DS Liow Tiong Lai bahawa semua rakyat Malaysia perlu menanam semangat patriotiknya kepada negara dan bersatu bagi memastikan kecemerlangan dan kejayaan negara berterusan yang menjangkau di kalangan generasi muda dan di semua peringkat yang mengutamakan muhibbah dan perpaduan.

Mengambil contoh kesungguhan dan pengorbanan dalam mengejar kejayaan Datuk Lee Chong Wei dalam setiap pertandingan badmintonnya, DS Liow beranggapan beliau adalah ikutan yang terbaik untuk dijadikan idola yang benar-benar mencintai negaranya.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang ingin menunjukkan kesetiaan dan kasihnya kepada tanah air, janganlah lepaskan peluang untuk sama-sama meletakkan cop ibujari mereka di dalam kempen ini. Malah kempen "ThumbsUp4Msia" yang dianjurkan MCA ini akan mampu satukan keunikan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai perbezaan menjadi satu iaitu... kita rakyat Malaysia!

No comments: