Sunday, November 30, 2014

KENAPA HENTIAN BAS PUTERA DITUTUP?

Pihak SPAD telah pun mengarahkan operator bas-bas ekspres Hentian Putra berpindah ke TBS dan berkuatkuasa mulaiesok. Apa perlunya sehingga diarah berpindah sedangkan sekian lama telah bertapak di Hentian Putra?

Ini adalah keadaan Hentian Bas Putra sekarang...


Hentian Bas Putra

dan diarahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ...

Terminal Bersepadu Selatan

Beberapa perkara penting telah dikenalpasti pihak SPAD setelah berbincang dengan DBKL dan di antara sebab-sebabnya adalah;

1. Laporan DBKL menyatakan keadaan struktur bangunan HBP yang telah uzur dan lama adalah tidak selamat.

2. Kesesakan trafik di PWTC dan ulat tiket masih bermaharajalela.

3. Di TBS yang penting ada perkhidmatan laluan LRT, KTM Komuter, KLIA Transit, bas dan teksi. 

4. Kemudahan CCTV, skrin paparan jadualn perjalanan bas, sistem tiket berpusat, loker untuk simpanan bagasi, kiosk ATM dan kedai serbaneka.

5. Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah faktor utama tindakan SPAD.





Berikut adalah kenyataan rasmi dari pihak SPAD;

KENYATAAN AKHBAR - SPAD
PERPINDAHAN PERKHIDMATAN BAS EKSPRES DI HENTIAN BAS PUTRA KE TERMINAL BERSEPADU SELATAN BERKUATKUASA 1 DISEMBER 2014 

20 November 2014 – Dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh bagi penumpang bas ekspres, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan bahawa perkhidmatan bas ekspres laluan Pantai Timur di Hentian Bas Putra (HBP) akan dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) berkuatkuasa pada 1 Disember 2014.

Destinasi yang terjejas melibatkan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.  

Tindakan ini diambil berdasarkan laporan DBKL pada awal bulan Ogos yang lalu mengenai keadaan bangunan HBP yang tidak lagi selamat kerana kerosakan yang berlaku pada struktur bangunan yang sudah lama dan uzur. Langkah pemindahan ini telah diambil demi keselamatan dan keselesaan penumpang serta memperbaiki operasi bas di hentian ini.

Laporan itu dibuat berikutan beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada bulan Mei lepas. Mesyuarat tersebut telah memperbincangkan pelbagai isu seperti kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan PWTC dan bagaimana membendung aktiviti ulat tiket. 

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang terletak di Bandar Tasik Selatan  mempunyai kapasiti yang cukup untuk menampung keperluan perkhidmatan bas ekspres bagi laluan Pantai Timur ini dan  operasi bas  dapat dijalankan dengan lebih cekap dan teratur. Terminal ini menawarkan kemudahan yang selesa dan moden kepada penumpang serta memberi pelbagai pilihan kesalinghubungan ke pusat bandar seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit, bas dan teksi. 
Skrin paparan jadual perjalanan bas juga digunakan di terminal ini yang menyenaraikan jadual ketibaan dan perlepasan setiap bas. Terminal ini juga dilengkapi dengan sistem tiket berpusat (Centralised Ticketing System) yang  mana melalui sistem ini, akitiviti ulat tiket dapat dibendung.

Selain itu, terminal ini juga mempunyai 500 kamera CCTV yang dipantau oleh polis bantuan, loker bagi simpanan bagasi, mesin ATM, kedai serbaneka dan medan selera. 

Selaras dengan usaha berterusan dalam mempertingkatkan ekosistem pengangkutan awam darat di Malaysia, SPAD mengalu-alukan kerjasama dan penglibatan syarikat persendirian untuk membina terminal di lokasi yang bersesuaian di negeri masing-masing bagi mencapai rangkaian pengangkutan awam yang lebih efisyen, dipercayai dan selamat.  
  
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pihak tuan boleh menghubungi Puan. Radhamani Govindawarrier, Ketua Komunikasi (0193772290) atau Pn Nurul Asyikin, Pengurus, Bahagian Komunikasi (0126227832). 

No comments: