Monday, November 24, 2014

KATEGORI KESELAMATAN DAN KESELESAAN ADALAH KEUTAMAAN ANUGERAH SPAD


Setiap tahun SPAD akan menghargai pengusaha-pengusaha pengangkutan awam darat. Ia bukanlah sekadar satu anugerah sahaja malahan pilihan SPAD terhadap syarikat-syarikat pengusaha ini berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang perlu dicontohi atau sebagai 'benchmark' ke arah meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Di antara kriteria yang dititikberat SPAD adalah di dalam aspek keselamatan, displin mematuhi waktu, keselesaan penumpang dan juga pengurusan kenderaan.

Buat kali ketiganya, SPAD mengadakan majlis anugerah ini sempena Simposium LPT 2014 dan di antara pemenangnya adalah;


PENGUSAHA TERBAIK

1) Kategori pengangkutan antara-bandar dan rel bandar telah dimenangi Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) kerana jumlah penumpangnya, ketepatan waktu dan keyakinan penumpang. KLIA Ekspres dan KLIA Transit adalah di antara keretapi laju yang dikendalikan ERLSB sejak 30 tahun lalu.

2) Kategori Bas Express pula telah dimenangi Sani Express Sdn Bhd kerana pengurusan sistem OSH yang lebih berstruktur. Di Sani Express telah menitikberatkan latihan keselamatan dan kecemasan di mana kesemua latihan ini dikendalikan oleh syarikat ini sendiri.

Di samping itu,  hanya di Sani Express memantau dan mengadakan kategori bagi jangka hayat kenderaan di antara 7 - 8 tahun, 8 - 9 tahun dan 9 - 10 tahun sebelum bas-bas tersebut diganti. Syarikat ini juga mempunyai kumpulan juruteranya sendiri bagi menjalankan kerja-kerja membaikpulih dan penyelenggaraan. Bas-bas ekspres milik Sani Express dilengkapi dengan pusat pemantaun GPS sepanjang 24 jam dan mengadakan kereta peronda sendiri.

3) Sin Kung Logistics Sdn Bhd pula memenangi kategori Freight Lesen Kelas A kerana kesanggupan serta kesungguhan mereka menyediakan perkhidmatan pelanggan di tahap tertinggi di mana  syarikat ini telah menyediakan trak yang dilengkapi dengan sistem 'air-ride' bagi barangan yang agak sensitif. Langkah-langkah keselamatan juga diutamakan di mana jangka hayat sesebuah trak dihadkan hanya 15 tahun untuk diganti baru. Di antara lain yang memberi kemenangan kepada Sin Kung Logistics Sdn Bhd termasuk setiap trak dilengkapi dengan alat GPS, pemandunya dilatih dan menjalani pemeriksaan, menyediakan video dan buku panduan untuk pemandu, kumpulan pengiring dan pengawal bersenjata serta kenderaan ganti. Syarikat ini juga telah menerima sijil ISO semenjak tahun 2001. Rekod bersih tanpa saman kerana muatan lebih ataupun kesalahan jalanraya juga antara faktor kemenangan syarikat Sin Kung Logistics Sdn Bhd.

4) Bagi Syarikat Century Total Logistics Sdn Bhd pula, telah memenangi kategori Freight Lesen Kelas KA kerana mengutamakan keselamatan awam di jalanraya, kebersihan persekitaran dan menjamin keselamatan barangan. Di samping telah memperolehi sijil OSHAS (ISO 18001:2007) dan Sijil Sistem Pengangkutan (ISO 39001:2012), syarikat ini juga mengambil berat mengenai persekitaran dan di antaranya dengan mengukur pelepasan CO2. Untuk mempastikan keselamatan, Century Total Logistics telah melengkapkan pemandu-pemandunya dengan kelengkapan perlindungan persendirian di mana semua trak ada alat pemadam api, 'wheel chokers', 'reverse beepers' dan kon keselamatan. Disamping itu, semua pemandu syarikat ini menjalani latihan bela diri.


INOVASI TERBAIK

1. Sekali lagi untuk tiga kali berturut-turut, Konsortium Transnasional Bhd (KTB) telah memenangi kategori Inovasi Terbaik. KTB adalah syarikat terbesar di Malaysia yang mengendali pengangkutan bas di mana bas syarikat ini melalui perjalanan utama di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Singapura.

KTB memenangi anugerah inovasi terbaik berdasarkan ciri-ciri keselamatannya di mana setiap kenderaan mengguna alat ganti yang tulen dengan dokumentasi SOPnya. Pertolongan kecemasan 24 jam juga disediakan oleh pihak pembekal chassis dan jenama terkenal yang digunakan adalah seperti Scania, Nissan Diesel dan MAN. Penyelenggaraan roda bas secara berkala juga dipastikan bagi menitikberat keselamatan ketika berada di jalanraya.

Keselesaan untuk bas kelas PERDANA menyediakan tablet 9 inci LED Android untuk hiburan setiap penumpang, kerusi urut Ogawa dan kawasan bersantai untuk minum dengan kelengkapan berurusniga juga didapati bagi bas ke Singapura/Penang/KL.

Ciri-ciri bas dilengkapi dengan talipinggang penumpang bagi bas antara bandar, kawasan lantai dan kawasan atas untuk bagasi bagi penumpang yang menaiki bas ke Lapangan Terbang. Terdapat juga tangga di tengah bas yang diletakkan selari dengan bahagian penyimpanan barang.

Program 'Loyalty' diperkenalkan bagi bas ekspres kelas ekonomi dengan memberi diskaun untuk laluan tertentu. Kad-kad 'Loyalty' bagi kelas eksekutif akan mendapat pelepasan khas ke Nice Lounge, diberi 'redeembale points' dan harga konsesi sehingga 42% diberi untuk kumpulan tertentu seperti pelajar, kanak-kanak, OKU dan warga emas. Kad pra-bayar untuk penumpang CityLiner yang memberi nilai tambahan top-up.

Didalam kepelbagaian perkhidmatan, KTB juga menitikberatkan perkhidmatan yang menghubungi kawasan luar bandar ke hab Transit Kota. Perkhidmatan Transit Kota menghubungkan di antara penumpang ke kawasan bandar dan KTB telah menyediakan bas pertama yang mempunyai 65 tempat duduk. Manakala, perkhidmatan Rentas Desa menghubungkan penumpang di antara bandar-bandar tertentu pula.

2. Satu lagi perkhidmatan pengangkutan awam bagi kategori Inovasi Terbaik di bawah Freight Lesen Kelas A adalah Pos Malaysia Berhad (PosMB).  Kemenangan mereka adalah kerana keunikan mobiliti yang disediakan PosMB dalam berhubung dan memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya. Mereka juga dapat memberi khidmat dan meliputi kawasan yang lebih menyeluruh dan seterusnya mengembangkan rangkaian perkhidmatan mereka. Keunikan PosMB juga adalah kerana mereka mampu ke beberapa lokasi di dalam satu hari sehingga ke kawasan-kawasan terpencil dan luarbandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.


ANUGERAH MERIT ISTIMEWA

1. Syarikat Pengangkutan Maju Sdn Bhd telah memenangi anugerah ini bagi pengusaha bas henti-henti. Di antara faktor kemenangannya adalah pengurusan kenderaannya di mana kenderaan akan diganti dengan jangka hayat purata 4 tahun. Di dalam laporan audit pada bulan Mei 2014, syarikat ini telah memperolehi keputusan sebanyak 89%. Di antara program-program syarikat ini termasuk Program Keselamatan untuk Murid-murid sekolah. Pemantauan
GPS juga diguna untuk semua bas.

Bas yang diguna syarikat ini dibersihkan selalu. Laluan bas henti-henti ini meliputi kawasan bandar Johor Bahru, Iskandar Malaysia dan perkhidmatan bersama IRDA. Perkhidmatan BeXtra pula melalui Iskandar Malaysia termasuk beberapa hentian bagi mengurangkan waktu perjalanan.

2. Anugerah Merit Istimewa bagi kategori Inovasi telah dimenangi LC Forwarders Sdn Bhd (LCF) bagi Freight Lesen Kelas KA kerana trak yang digunakan dilengkapi dengan sistem penyejukan yang mempunyai unit Genset sendiri. Syarikat ini juga didapati berjaya mengurangkan kos, pengendalian yang efisien untuk pengangkutan 'reefer' dan memastikan setiap pergerakan kenderaan adalah selamat dan tepat ke destinasi.

Jika kita meneliti semula, setiap kemenangan menitikberat aspek keselamatan di samping keselesaan bagi setiap kenderaan. Nampaknya, SPAD tidak akan kompromi aspek keselamatan kerana walaupun kelebihan perkhidmatan keselesaan diberi pengusaha-pengusaha ini, mereka perlu meyakinkan SPAD, aspek keselamatan diberi keutamaan.

No comments: