Wednesday, December 27, 2017

MUKHRIZ HARUS BERANI UMUM JUMLAH AHLI PPBM DAHULU SEBELUM INGIN KRITIK KETUA PENERANGAN UMNO


Tiada siapa dapat menafikan Dr Mahathir telah mengekalkan majoriti 2/3 Barisan Nasional selama lima pilihanraya umum dan begitu juga tiada siapa boleh menafikan yang kemenangan beliau bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Barisan Nasional. Apakah hari ini Dr Mahathir telah berjaya apabila beliau telah tinggalkan UMNO dan apakah beliau juga telah berjaya menghancurkan UMNO setelah tidak lagi bersama parti ini?

Memang benar masyarakat Melayu hari ini telah berpecah-belah kerana fahaman dan sokongan politik yang berbeza-beza. Dua parti terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS adalah parti orang Melayu. Kelantan adalah negeri yang kekal diperintah PAS walaupun Dr Mahathir bangga dengan 2/3 majoritinya selama lima tahun. Hanya orang Melayu dalam UMNO saja masih kekal menyokong Dr Mahathir ketika itu.

Tetapi apakah orang Melayu dalam UMNO hari ini terus menyokong Dr Mahathir yang telah keluar dari UMNO? Maka apa yang diperkatakan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam forum UMNO bertajuk 'Umno – Parti Untuk Masa Depan', mengapa pula Mukhriz dan PPBM hendak melenting? Apakah tidak benar orang Melayu dalam UMNO telah menolak bapanya secara mutlaknya?

Hakikat yang pahit bagi Mukhriz dan PPBM ini sememangnya indah pada awalnya apabila mendakwa parti baru mereka adalah alternatif kepada UMNO sehinggakan perlembagaan parti mereka pun terpaksa meniru perlembagaan UMNO. Tujuan mereka nyata, kononnya ramai ahli-ahli UMNO akan berpindah ke PPBM kerana yakin pengaruh Dr Mahathir selama 5 penggal menerajui UMNO.

Ingatkan hujan hingga ke petang tetapi belum tengahari hujan telah berhenti malahan ribut terus bergelora. Itulah yang berlaku kepada PPBM ini, hampir setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai pergolakan dalaman dan yang berlaku keluar beramai-ramai dari parti adalah dari pihak PPBM. Lebih malang apabila parti yang belum berumur setahun ini, beberapa pengasasnya telah pun menarik diri.

Belum sempat untuk mengadakan majlis meraikan harijadi pertama PPBM, RoS pula telah mendedahkan yang PPBM bakal dibatalkan pendaftaran mereka kerana melanggar perlembagaan sendiri. Sudahlah menipu ahli dengan gerakan Armadanya, PPBM telah cuba menipu RoS dengan mengadakan EGM pertamanya dengan 12 orang saja.

Perkara utama yang sangat ditakuti PPBM adalah mengumumkan jumlah ahlinya. Mengapa? Jika benar orang Melayu terutamanya dari UMNO kekal  menyokong Dr Mahathir, Mukhriz dan PPBM tidak akan gentar memberitahu jumlah penyokongnya. Apakah hanya dengan menghadiri Bersih 4, maka Dr Mahathir dilihat masih berpengaruh? Apakah orang Melayu yang hadir di dalam Bersih 4 yang terdiri dari penyokong PKR dan PAN juga adalah penyokong Dr Mahathir?

Sudahlah orang Melayu UMNO dan PAS tidak menyokong ayahnya, kini orang Melayu PKR dan PAN, ramai yang masih menolaknya. Maka berapa kerat orang Melayu yang menyokong ayahnya sehingga takut untuk mengumumkan jumlah ahli mereka sehingga hari ini.

Tan Sri Annuar bercakap melalui pengalamannya ketika beliau dilantik sebagai Menteri ketika pentadbiran Dr Mahathir. Beliau yang juga pernah menang dan kalah dalam pilihanraya umum adalah di antara yang sangat berpengalaman dengan politik orang Melayu. Lebih penting, Tan Sri Annuar mendapat kepercayaan Dr Mahathir walaupun pernah kalah dalam PRU.

Semua kenyataannya tidak pernah sekali ditentang Dr Mahathir. Maka siapa Mukhriz dan Rais Hussin untuk menafikannya? Apakah sekadar mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang sudah cukup untuk menakutkan Tan Sri Annuar untuk terus berkata-kata atau ancaman tindakan undang-undang sekadar gimik murahan mereka?

PPBM adalah parti yang gagal dan Rais Hussin selaku Setiausaha Agongnya bertanggungjawab sepenuhnya jika PPBM dibatalkan. Kecekapan Rais Hussin juga perlu dipersoalkan sehingga gagal mengikut perlembagaan sendiri.

Seharusnya Mukhriz dan Rais berani mengumumkan jumlah ahlinya, barulah boleh mendabik dada yang terlalu ramai orang Melayu terutama dari UMNO, masih menyokong Pengerusi mereka. Hidup mengenang sejarah tidak salah tetapi jika masih dibuai mimpi 'legendary' Dr Mahathir dalam UMNO untuk bernafas dalam PPBM, itu adalah mimpi ngeri untuk mereka sebenarnya.

No comments: