Thursday, June 22, 2017

KUMPULAN KEDUA UNTUK 300 LAGI LESEN TEKSI INDIVIDU


Selepas kumpulan pertama seramai 300 pemandu teksi diberi lesen individu pada April lalu, dalam masa 2 bulan, kini giliran kumpulan kedua pula. Seramai 300 lagi telah menerima lesen individu mereka yang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Untuk pengetahun, ini adalah usaha kerajaan yang direalisasikan pihak SPAD dalam menangani keperitan mereka mengatasi pendapatan sebagai seorang pemandu teksi yang terpaksa dibelenggu dalam perjanjian sewa pajak. Rungutan yang telah sekian lama dibelenggu mereka, akhirnya mendapat pembelaan kerajaan. Pada masa yang sama, nasib operator teksi juga tidak terabai.

Di dalam kenyataan rasmi YB Nancy, beliau memaklumkan yang usaha kerajaan ini adalah untuk mempertingkatkan industri teksi agar lebih responsif kepada kuasa pasaran, maka pemandu yang layak dan telah tamat tempoh perjanjian sewa pajak dianugerahkan lesen individu.

Di bawah program Program Transformasi Industri Teksi (TITP), kumpulan kedua penerima lesen individu ini telah melalui proses saringan yang ketat oleh Suruhanjaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta menepati syarat-syarat kelayakan pelesenan SPAD. 

Penerima lesen individu kumpulan kedua ini terdiri daripada 157 pemandu teksi dan 143 pemandu kereta sewa. Daripada jumlah itu, 59% adalah daripada Lembah Klang & Negeri Sembilan, 24% daripada Pulau Pinang & Pulau Langkawi dan 17% daripada Melaka & Johor Bahru. Tambahan lagi, 43 daripada penerima lesen individu pada kali ini turut menerima geran tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru.

Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Pembentangan Bajet 2017.

Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang bakal dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada bulan hadapan akan membolehkan penyeragaman peraturan syarat-syarat sewa pajak yang akan dikawal selia oleh SPAD.

Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak.

Dengan memberikan individu-individu ini peluang untuk keluar daripada sistem pajak, kerajaan berharap akan dapat melahirkan satu generasi usahawan teksi yang berkemampuan untuk membuat pilihan yang bijak supaya lebih berdaya saing; pada masa industri sedang berhadapan dengan kemajuan teknologi terkini. Industri teksi perlu menyesuaikan diri dengan ‘trend’ yang mendorong permintaan pasaran hari ini.

No comments: