Tuesday, April 04, 2017

SPAD : 300 PEMANDU TEKSI KINI TELAH KELUAR DARI KEPOMPONG SISTEM PAJAK


Salah satu tanggungjawab SPAD yang telah diberi amanah untuk mengatasi segala permasaalahan industri teksi ialah mengatasi dan memperbaiki masa depan pemandu-pemandunya. Kejayaan usaha terkini SPAD untuk menyerahkan 300 lesen individu kepada pemandu teksi yang telah tamat kontrak pajak mereka jelas membuktikan program transformasi industri teksi semakin hari menuju matlamatnya.

Jika selama ini, terdapat rungutan dari pemandu-pemandu teksi yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri dan terpaksa menyewa daripada syarikat-syarikat lain, pendapatan mereka adalah terhad kerana sebahagiannya terpaksa diperuntukkan untuk membayar sewa. Kini dengan memperolehi lesen individu, 300 pemandu teksi ini tidak lagi terikat dengan sistem pajak tetapi pendapatan yang mereka perolehi adalah milik mutlak mereka.

300 pemandu teksi yang telah menerima Surat Tawaran Kelayakan (STK) ini merupakan kumpulan pertama daripada 3,007 permohonan yang telah diterima sejak Ogos 2016 dan ini merupakan kaedah yang terhasil melalui kajian yang telah dilakukan di Makmal Transformasi Teksi oleh SPAD pada November 2015.

Kenyataan Media SPAD adalah seperti berikut;


SPAD MENYERAHKAN 300 LESEN INDIVIDU KEPADA PEMANDU TEKSI YANG KELUAR SISTEM PAJAK DI BAWAH PROGRAM TRANSFORMASI INDUSTRI TEKSI

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari ini telah memulakan pemberian lesen teksi individu kepada pemandu teksi yang layak dan telah menamatkan tempoh kontrak pajak mereka.

Pelaksanaan inisiatif ini di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) adalah bagi menambahbaik kebajikan para pemandu teksi dan untuk mewujudkan satu persekitaran yang adil dan sihat bagi industri. Suruhanjaya dengan itu telah mengumumkan kelulusan 300 lesen teksi individu.
 

Kumpulan penerima lesen individu pertama pada hari ini, merupakan sebahagian daripada 3,007 permohonan yang telah diterima oleh SPAD sejak Ogos 2016. Kesemua permohonan tersebut perlu melalui proses saringan dan mematuhi keperluan-keperluan pelesanan SPAD yang direka bagi meningkatkan mutu perkhidmatan industri teksi negara.
 
Sebagai satu pelaksanaan di bawah TITP, kesemua 300 penerima Lesen Individu juga akan menerima geran tunai Kerajaan RM5,000 bagi membantu pemandu teksi yang telah menerima lesen individu untuk membeli kenderaan baru. Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Bajet 2017. 

Di dalam majlis hari ini, 300 Surat Tawaran Kelulusan (STK) telah diserahkan kepada kumpulan penerima lesen individu pertama. Pengerusi SPAD Tan Sri Dato’ Sri Dr. Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar menegaskan bahawa pemberian STK ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan industri teksi Malaysia yang progresif.
 

“Dengan memberikan individu-individu ini peluang untuk keluar daripada sistem pajak, kita berharap akan dapat melahirkan satu generasi usahawan teksi yang berkemampuan untuk membuat pilihan yang bijak supaya lebih berdaya saing; pada masa industri sedang berhadapan dengan kemajuan teknologi terkini. Industri teksi perlu menyesuaikan diri dengan ‘trend’ yang mendorong permintaan pasaran hari ini,” katanya.
 

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar, pemandu teksi telah lama meminta supaya pembekuan lesen individu ditarik balik disebabkan ramai di kalangan mereka telah dibebani oleh sistem pajak lama. Sistem tersebut telah menyumbang kepada masalah struktur dan cabaran dalam mewujudkan perkhidmatan teksi yang lebih mengutamakan pelanggan.
 

“Berikutan kajian yang dilakukan di Makmal Transformasi Teksi oleh SPAD pada November 2015, kami telah mencadangkan pengeluaran lesen individu bagi pemohon yang memenuhi syarat-syarat sebagai satu cara untuk memajukan industri. Kami amat berbesar hati dapat melaksanakan pengesyoran TITP tersebut pada hari ini,” katanya lagi.
 

Secara keseluruhan, TITP menjadi satu pembuka jalan bagi industri teksi Malaysia untuk menjadi lebih mampan dan responsif kepada kuasa pasaran pada masa hadapan.
 

Pada 1 April 2017, model-model kenderaan bagi kegunaan teksi akan diliberalisasikan untuk membolehkan pilihan kereta yang lebih luas pada harga yang kompetitif bagi pemegang lesen. Di bawah langkah ini, semua jenama kenderaan dan model yang mencapai penarafan keselamatan 3-bintang di bawah Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (NCAP) (atau penarafan yang setaraf dengannya),boleh digunakan bagi perkhidmatan teksi. Ini adalah untuk memberikan lebih fleksibiliti bagi pemandu teksi ketika menggantikan kenderaan lama mereka serta berpotensi mengurangkan kos operasi.
 

Bagi pemandu teksi yang masih di bawah kontrak pajak, SPAD akan mengawal selia kontrak pajak mereka. Kontrak pajak tersebut juga akan ditambah baik dan diseragamkan dengan standard yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali.
 

Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sedang dilakukan bagi membolehkan peraturan syarat-syarat kontrak dilaksanakan ke atas pengendali. Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak.

Maka tercapailah hasrat kerajaan dan telah dijayakan SPAD untuk melihat lebih ramai usahawan teksi yang pasti bijak untuk bersedia berdaya saing dan sentiasa ingin meningkatkan keupayaan serta pendapatan mereka. Walau apa pun persaingan yang bakal mereka hadapi, kini 300 pemandu teksi yang telah keluar dari kepompong sistem pajak, mereka bersedia untuk bersaing, menentukan hasil pendapatan sendiri serta menyahut cabaran kerajaan.

No comments: