Sunday, November 20, 2016

MCA : BERSIH 5 MENYIMPANG JAUH DARI TUJUAN ASAL


Pada awalnya, pergerakan NGO yang menamakan kumpulan Bersih bertujuan untuk mendesak proses pilihanraya yang bersih dan adil telah memulakan perhimpunan di jalanraya bagi menghantar satu memorandum kepada YDP Agong. Malangnya hasrat mereka ini telah dicampuradukkan dengan pengaruh pemimpin pembangkang sehingga memorandum rakyat ini juga telah dirampas oleh Anwar Ibrahim.

Sejak daripada perhimpunan Bersih kedua sehingga perhimpunan yang terkini iaitu Bersih 5 yang baru berlangsung pada 19 November lalu, tujuan asal mereka telah jauh menyimpang dan lebih menurut kepada kehendak politik pembangkang.

Oleh kerana itu, maka MCA jelas tidak memberi sokongan kepada perjuangan Bersih ini. Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau melihat tidak ada apa yang diperjuangkan Bersih ini yang dilihat sebagai demokratik apabila perjuangan mereka adalah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui proses pilihanraya.

Amalan yang diteruskan Bersih untuk merampas kerajaan melalui jalanraya hanya akan mampu menggugat kestabilan keamanan negara dan niat mereka ini telah pun dizahirkan dengan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin mereka serta ditambah lagi dari pemimpin-pemimpin pembangkang. Kita juga pernah menyaksikan aksi-aksi ganas dan kurang ajar peserta Bersih yang terpengaruh untuk menghina pemimpin negara sehingga ada yang telah berkasar dengan pihak polis, mencederakan mereka dan merosakkan kenderaan polis serta harta awam.

Segala perlakuan ini adalah hasil dari ucapan-ucapan hasutan pemimpin-pemimpin pembangkang ketika perhimpunan Bersih yang telah dibenarkan oleh Jawatankuasa Bersih 2.0. Bukankah dengan jelas ini membuktikan yang pergerakan Bersih ini sebagai alat kepada parti-parti pembangkang?

Bagi pihak MCA pula, mereka lebih memilih untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menstabilkan lantas meningkatkan prestasi ekonomi negara bersama-sama Perdana Menteri Najib Razak. MCA tidak sekali-kali memihak mahupun menyokong kepada mana-mana kumpulan atau NGO yang ingin menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Jika masih ada yang tidak faham, MCA tidak sokong perjuangan Bersih!
 

No comments: