Saturday, September 10, 2016

PERMOHONAN MAAF GANGGUAN PERKHIDMATAN LRT MENDAPAT RESPON PELBAGAI

Di dalam usaha pro-aktif kerajaan menggalakkan rakyat memilih pelbagai pengangkutan awam darat sebagai mod pilihan perjalanan mereka, rel adalah di antara kenderaan yang mendapat sambutan terutama di kalangan masyarakat bandar. Selain daripada mampu mengelak kesesakan jalanraya di dalam bandar, tambangnya adalah murah dan masa perjalanan dapat disingkatkan.

Salah satu rel yang telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu ialah LRT yang diusahakan pihak Prasarana dan sejak kebelakangan ini, gangguan perkhidmatan sering terjadi terutama ketika cuaca hujan lebat.

2 kejadian gangguan terbaru telah berlaku di dalam tempoh 3 hari telah menyebabkan rasa tidak puas hati penumpang memuncak dan ramai di antara mereka yang terjejas disebabkan mengganggu waktu mereka untuk sampai ke tempat kerja. 

Kejadian pertama telah berlaku pada 6 September apabila terdapat gangguan kuasa elektrik di landasan LRT Kelaja Jaya yang mengakibatkan beribu-ribu penumpang terkandas kerana sistem komunikasi mereka juga turut terganggu. 

Kemudian semalam berlaku sekali lagi apabila dua buah tren dari Gombak menghala ke Putra Heights telah terhenti berhampiran Stesen Sri Rampai dan Stesen Damai akibat gangguan kepada sistem bekalan kuasa.

Pihak Prasarana yang mengendalikan tren Rapid KL LRT telah memohon maaf. Yang menjadi pemerhatian penumpang LRT, gangguan yang sering berlaku adalah di kala waktu hujan yang berpunca dari bekalan elektrik. 



Permohonan maaf pihak Prasarana dan tawaran tambang percuma selama 3 hari telah menjadi bualan hangat di media-media sosial, ramai yang masih tidak menyambut baik permohonan maaf Prasarana walaupun diberi tawaran perkhidmatan percuma namun pada yang sama diimbangi dengan ucapan terima kasih dan memahami kedudukan keadaan.

Gangguan perkhidmatan LRT telah dijadikan perumpamaan di kalangan rakyat Malaysia seperti, sekarang perkhidmatan LRT sama juga dengan Astro, bila hujan ia akan beri isyarat - TIADA PERKHIDMATAN atau bila hujan saja, pasti LRT akan hancur. Ada juga yang perli walaupun setelah 10 tahun beroperasi, masalah yang sama tetap berulang dan seolah-olah ia seperti satu kemestian.
 
Ada juga ucapan terima kasih dari netizen yang memuji pihak Prasarana kerana memohon maaf dan mengaku kesilapan pihak mereka. Malahan tawaran tambang percuma untuk 3 hari yang diberi dianggap sebagai satu ucapan terima kasih kepada penumpang setia mereka sebagai cara terbaik untuk menebus kesilapan. Ada di antara mereka yang cuba memujuk hati dengan berhajat mengambil peluang menaiki tren LRT ketika tawaran tambang percuma untuk menaiki dari stesen awal hingga ke stesen akhir.
 
Ragam rakyat Malaysia adalah pelbagai dan kreativiti rakyat Malaysia juga agak terserlah sehinggakan kejadian semalam telah dijadikan tajuk filem seram yang serupa dengan filem Korea dari "Train to Busan" kepada....



Lebih malang lagi apabila pihak kerajaan serta agensi yang dipertanggungjawabkan di mana sektor pengangkutan awam darat adalah di bawah bidangkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD, akan sentiasa dipersalahkan dan seterusnya dikecam. Oleh itu, adalah wajar jika Prasarana juga bertindak pro-aktif dan responsif terhadap setiap gangguan perjalanan penumpang serta teguran yang dilakukan rakyat.
 
Berkemungkinan tiba masanya pihak kerajaan mengambil tindakan tegas seperti mengenakan denda yang tinggi setiap kali gangguan perjalanan penumpang terjadi. Apa kata jika mereka dikenakan denda sepertimana yang dikuatkuasakan pihak BSKL terhadap syarikat-syarikat yang tersenarai kerana gagal mengemukakan salinan laporan tahunan dan denda yang dikenakan berdasarkan pada beberapa ribu untuk setiap hari.
 
Permohonan maaf mampu diterima tetapi kesilapan berterusan dengan alasan yang sama setiap kali berlaku gangguan perlu diatasi segera dan tidak berulang sehingga menjejaskan niat murni kerajaan membantu rakyatnya.

No comments: