Monday, February 15, 2016

DATUK EHSAN : KEDATANGAN PERTAMA PELATIH PLKN 2.0 DINANTIKAN


2016 adalah tahun pertama dibuat pengambilan pelatih PLKN menyertai Program Transformasi PLKN 2.0 dan akan bermula pada 26 Mac akan datang. Kali ini hanya satu saja pengambilan akan dibuat dan seramai 20,000 pelatih akan ditempatkan di 81 kem di seluruh negara bagi mengikuti latihan selama lapan minggu.

Sebelum ini dilaporkan PLKN telah menerima lebih kurang 63,000 permohonan sejak dibuka November 2015 lalu. Peningkatan permohonan ini juga adalah dari kerjasama dari pihak sekolah-sekolah yang menggalakkan pelajar menyertai program PLKN yang baru ini.

Selepas menghadiri Mesyuarat MLKN Bilangan 1 Tahun 2016 di Kem PLKN Junaco Park Sibu, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun juga telah menerangkan semula perubahan dan penambahbaikan dalam Program Transformasi PLKN 2.0. Datuk Ehsan di mana pelatih akan melalui 2 fasa iaitu 8 minggu di dalam kem untuk fasa pertama manakala di fasa kedua mereka diberi peluang menyertai kursus kemahiran di luar kem di antara tiga sehingga 24 bulan di mana-mana institusi kemahiran.

Di antara agensi yang menawarkan latihan kemahiran termasuklah Institut Latihan Perindustrian, Institusi Kemahiran Belia Negara dan Institut Automotif Malaysia.


Turut hadir di dalam mesyuarat ini adalah Ketua Setiausaha Jabatan Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Chew Chaw Min serta wakil-wakil jabatan dari pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

Sekaligus, program PLKN 2.0 ini akan mampu membentuk generasi muda yang bukan sahaja dilengkapi dengan jati diri malahan bersedia untuk bersaing di dunia pekerjaan dengan persediaan kemahiran setelah mereka menamatkan program ini.

Pelatih PLKN 2.0 adalah di kalangan pelajar yang terpilih berdasarkan prestasi mereka yang dinilai oleh pihak sekolah. Pelajar yang berpotensi dalam bidang kemahiran tetapi tidak cemerlang di dalam akademik diberi keutamaan dan pasti peluang keemasan ini tidak akan disia-siakan mereka.

No comments: