Monday, July 13, 2015

ULANG TAHUN #MH17 : LIOW AKAN PASTIKAN KEBENARAN DITEGAKKAN


Majlis memperingati ulang tahun tragedi MH17 telah berlangsung di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 11 Julai lalu dan dihadiri waris serta anggota keluarga mangsa. Ulang tahun bagi tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban ini juga telah dihadiri para menteri yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Penerbangan MH17 telah ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine pada 17 Julai tahun lepas yang telah mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya di mana di antaranya adalah 43 rakyat Malaysia.

Di dalam kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan bertekad bahawa kerajaan Malaysia akan terus menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas mencari dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi menegakkan kebenaran. Oleh itu, Datuk Liow menyeru agar semua negara mematuhi protokol di dalam proses membuat laporan dan tidak wujud halangan di dalam mencari kebenaran.

Kerajaan Malaysia tetap komited untuk mencari jawapan kebenaran kepada para waris mangsa tragedi tersebut walaupun mengetahui ia bukanlah sesuatu yang mudah dan Datuk Liow memaklumkan yang mereka tidak pernah keseorangan di dalam mencari jawapan tersebut.

Di antara perkembangan yang menggalakkan adalah draf laporan akhir siasatan diberikan kepada semua negara terlibat oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) di mana merekalah yang mengetuai kumpulan penyiasatan teknikal. Laporan rasmi dijangka akan dikeluarkan pada bulan Oktober tahun ini.

Bagi pihak Malaysia pula, satu pasukan telah ditubuhkan untuk menyemak laporan tersebut dan para waris mangsa akan dimaklumkan tentang perkembangan dan hasil siasatan itu pada waktu yang sesuai.

Malaysia adalah sebahagian daripada majlis 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), juga telah mendesak agar satu tribunal antarabangsa ditubuhkan dan pihak negara telah mengemukakan satu draf resolusi di mana telah mendapat sokongan penuh dari negara Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine. Draf resolusi berkenaan akan diedarkan awal minggu ini dan kita berada di landasan betul mengambil langkah ini.

Samada negara Rusia akan menggunakan kuasa veto mereka untuk menyekat resolusi itu di UNSC, Datuk Liow berpandangan agar resolusi tersebut dibentangkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penghakiman kerana laporan teknikal ini adalah terperinci dan mampu mengesan siapakah pelakunya dan penjenayah tersebut semestinya dibawa ke muka pengadilan.

No comments: