Saturday, July 11, 2015

DATO' LIOW : NYAWA DIHARGAI, SELAMAT KE DESTINASI, KEMERIAHAN DIRASAI


Setiap tahun samada mereka yang akan balik kampung meraikan Hari Raya Aidil Fitri atau mereka yang mengambil kesempatan untuk bercuti panjang, keselamatan di jalan raya amatlah dihargai. Saban tahun juga, pihak kerajaan akan melancarkan kempen keselamatan jalanraya bukan sekadar memberi peringatan tetapi berkongsi maklumat agar destinasi yang dituju pasti sampati.

Bersempena menyambut hari lebaran, Kementerian Pengangkutan telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu peringkat kebangsaan 2015 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 9 Julai 2015 dengan bertemakan “Nyawa Dihargai, Selamat Ke Destinasi, Kemeriahan Dirasai”

Berikut adalah ringkasan teks ucapan Menteri Pengangkutan, YB Dato' Sri Liow Tiong Lai;

1. Pihak kerajaan memandang serius isu keselamatan jalan raya terutama di musim perayaan.

2. Langkah JKJR dengan penyertaan dan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan NGO adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian serta mengawal selia pergerakan trafik terutama di lebuh raya.

3. Usaha pihak kerajaan dengan kerjasama pihak swasta dan NGO telah berjaya mengurangkan kes kemalangan dan kematian setiap tahun.

4. Kementerian Pengangkutan bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan dan yang terlibat adalah Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi-agensi seperti JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam, JKJR dan JPJ, PDRM, SPAD dan Skuad Muda 1 JPJ.

5. Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2015 telah dimulakan sehingga 25 Julai 2015 dengan konsep merakyatkan penguatkuasaan.

6. Larangan ke atas kenderaan barangan  juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 15 dan 16 Julai  2015  serta pada 24 dan 25 Julai 2015.

7. Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mulai 10 hingga 25 Julai 2015 dan had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan kepada 70 km/j.

8. Penglibatan pihak swasta dan korporat akan menjadi sumber inspirasi bagi mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).

Berikut adalah teks ucapan penuh dari Dato' Sri Liow;
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis.

Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

Ketua-ketua Pengarah Jabatan.

Rakan-rakan media.

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.



PENDAHULUAN

1.    Setiap tahun Kerajaan melalui Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan menjelang musim perayaan. Ini membuktikan betapa pihak kerajaan memandang serius isu keselamatan jalan raya terutamanya di musim perayaan.

2.    Langkah yang diambil oleh JKJR dengan sokongan pelbagai Kementerian, Jabatan, agensi kerajaan dan agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) ini adalah amat bertepatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kematian sempena Musim Perayaan  Hari Raya Aidilfitri 2015.


Tuan-tuan dan puan-puan,

3.    Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebagaimana lazimnya, orang ramai akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan ini bersama keluarga, ibu bapa dan sanak saudara yang tercinta.

4.    Sudah menjadi kelaziman rakyat kita apabila tiba musim perayaan dan cuti yang panjang, jumlah pengguna lebuh raya akan meningkat dan jalan raya di serata negara akan bertambah sesak. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

5.    Saban tahun kita dikhabarkan dengan berita yang cukup menyayat hati. Suasana Hari Raya yang seharusnya disambut dengan penuh kemeriahan bertukar nestapa dengan insiden sebegini.

6.    Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, namun apabila terjadinya sesuatu kemalangan, banyak pihak menunding jari antara satu sama lain mecari pihak yang bersalah.

7.    Belakangan ini, banyak insiden kemalangan jalan raya yang tragis dan menyayatkan hati dilaporkan. Misalnya, kemalangan di lebuhraya Duke baru-baru ini amat menyentuh hati kita semua. 

8.    Bayangkan betapa luluh hati seorang anak kecil yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Pihak kerajaan dan saya sendiri secara peribadi amat sedih dan kesal dengan berlakunya kemalangan tragik seperti ini.

9.    Kemalangan sebigini tidak akan beraku sekiranya pengguna jalan raya mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bertanggungjawab di atas jalan
raya. Sikap mementingkan diri sendiri serta melanggar peraturan keselamatan jalan raya lebih-lebih lagi berlumba di jalan raya perlu dikikis. 


KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA

Tuan-tuan dan puan-puan,

10.    Pendedahan mengenai keselamatan jalan raya telah ada sejak di peringkat sekolah lagi. Pelbagai kempen dan advokasi telah dijalankan samada secara terus mahupun melalui media sosial.

11.    Malangnya, mengikut statistik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) secara puratanya 19 kematian direkod akibat kemalangan jalan raya setiap hari. Ini adalah satu jumlah yang amat besar  dan perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak.

12.    Bermacam cara telah dilakukan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Namun, tanpa kerjasama semua pihak, perkara ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya.

13.    Makanya, kempen yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada musim perayaan selain mengawal selia pergerakan lalu lintas.

14.    Dengan tema “Nyawa Dihargai, Selamat Ke Destinasi, Kemeriahan Dirasai”, kempen ini menekankan kepada keselamatan semasa berada di jalan raya supaya pengguna selamat sampai ke destinasi untuk menyambut Hari Raya bersama kaum keluarga dan rakan taulan.


OPS HARI RAYA AIDILFITRI 2015

Pada hadirin yang saya hormati

15.    Jumlah kemalangan yang direkodkan oleh statistik PDRM pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun  2014 telah mecatatkan penurunan kepada 217 kes berbanding 258 kes pads musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2013. Ini memembuktikan bahawa usaha-usaha pihak Kerajaan dengan pihak swasta dan NGO telah berhasil dalam mengurangkan kemalangan maut.

16.    Bagi musim perayaan tahun ini, kerajaan telah merencana lebih banyak program yang berteraskan advokasi dan penguatkuasaan. Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan dengan pelbagai kementerian misalnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi-agensi seperti JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam, JKJR dan JPJ.

17.    Dengan kerjasama bersepadu ini, adalah diharapkan agar program-program berkaitan kempen keselamatan jalan raya dapat diperhebat dan hasilnya akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

18.    Saya juga di kesempatan ini ingin menzahirkan rasa gembira dengan pendekatan yang diambil dalam operasi penguatkuasaan pada masa ini di mana badan-badan penguatkuasaan seperti JPJ, PDRM dan SPAD bekerjasama sebagai satu pasukan.

19.    Ini amat bertepatan dengan strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Malah ia turut diperkuat dengan kempen dan advokasi yang dijalankan oleh JKJR dan Skuad Muda 1 JPJ yang turut melibatkan orang awam dalam menjalankan advokasi dan nasihat dari aspek keselamatan jalan raya.
 
Hadirin sekalian

20.    Seperti tahun-tahun lalu, JPJ telah melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2015 bermula pada hari ini sehingga 25 Julai 2015. Selain
daripada itu, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang operasi ini berlangsung.

21.    Strategi pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2015 adalah berteraskan kepada konsep merakyatkan penguatkuasaan. Seramai 1,800 anggota JPJ akan ditempatkan di lokasi statik bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan. Manakala seramai 1,000 orang ahli Skuad Muda 1JPJ juga ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu bagi menjalankan aktiviti advokasi.

22.    Seperti tahun-tahun lepas juga, Bahagian penguatkuasan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan bersama-sama dalam menjalankan pemantauan terutama yang melibatkan pengangkutan awam.



Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

23.    Larangan ke atas kenderaan barangan  juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 15 dan 16 Julai  2015  serta pada 24 dan 25 Julai 2015. Ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas.

24.    Tambahan lagi, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mulai 10 hingga 25 Julai 2015. Sehubungan itu, had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan kepada 70 km/j.


Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin sekalian,

25.    Umum mengetahui bahawa Kementerian Pengangkutan telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 berteraskan 5 tonggak strategik. Pelan ini dirangka agar aspirasi kementerian untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya dapat direalisasikan.

26.    Ini terbukti dengan penurunan indeks kematian bagi setiap 10 ribu kenderaan berdaftar di Malaysia kepada 2.90 kematian pada tahun 2013
berbanding 4.51 kematian pada tahun 2004.

27.    Saya percaya, indeks ini akan mencatatkan penurunan saban tahun sekiranya kita berganding bahu dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan usaha dan kerjasama yang utuh.


Tuan-tuan dan Puan-puan.

28.    Saya gembira melihat penglibatan pihak swasta dalam program advokasi kempen keselamatan jalan raya pada kali ini. Saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua syarikat yang terlibat.

29.    Saya yakin dengan penglibatan pihak swasta dan korporat seperti ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pihak lain bagi mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).

30.    Kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyokong inisiatif dan langkah positif yang dijalankan oleh sektor swasta dan NGO dalam bersama-sama menghidupkan kempen keselamatan jalan raya. Syabas dan tahniah saya ucapkan dan diharap ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
 


PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,
 

31.    Setiap tahun Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja diadakan di peringkat Kebangsaan malah turut dilaksanakan di peringkat negeri.

32.    Ucapan terima kasih tidak terhingga saya kepada semua YAB Menteri Besar, Ketua Menteri, Pengerusi-pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Ray
(MKJR) Negeri yang bersama-sama dalam menjayakan program ini.

33.    Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen keselamatan jalan raya ini.

34.    Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia.  Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan “Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun  2015”.

Keselamatan jalan raya tanggungjawab kita bersama. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah orang yang tersayang.

Sekian, Terima kasih.

YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Malaysia

No comments: