Saturday, June 06, 2015

Wee Ka Siong : Penubuhan 'SAME' buktikan Perdana Menteri 'WALK THE TALK'



"Sir, you walk the talk, this is indeed an inclusive approach, tiada sesiapa yang terpinggir dalam arus pembangunan negara Malaysia tercinta." - Datuk Wee Ka Siong.
Dengan pelancaran 'SAME' atau  Skim Pembiayaan Usahawan PKS Kaum Cina daripada peruntukan khusus RM50 juta dalam bajet 2015 kepada SME kaum Cina, telah membuktikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak menganaktirikan mana-mana bangsa yang terdapat di Malaysia terutama bangsa Cina.

Walaupun pada awalnya selepas PRU13, MCA yang mewakili bangsa Cina, telah melepasakan semua kouta di dalam jemaah menteri, tetapi demi meneruskan perjuangan membela kaum Cina, Datuk Wee dan Presiden MCA telah memutuskan untuk menduduki semula kabinet menteri.

Kepercayaan yang telah diamanahkan kepada Datuk Wee menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan pengkhususan kepada SME bangsa Cina, maka lahirlah 'SAME'. Unit pembangunan SME dan micro-credit secara rasminya ditubuhkan pada 1hb Oktober 2014 yang beribu pejabat di Aras 2, Menara Usahawan, Putrajaya.

Berikut adalah intipati ucapan Datuk Wee Ka Siong dalam Majlis Pelancaran 'SAME' dan Skim Pembiayaan Usahawan PKR Kaum Cina pada 5 Jun 2015;

1. Halatuju SAME telah ditentukan oleh panel penasihat SAME yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan perniagaan, SME, bekas banker dan golongan cendekiawan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan SME serta beberapa badan yang berpengaruh, di antaranya SME Association of Federation of Malaysia Chinese Guilds Association dan Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry Malaysia (ACCCIM).

2. Sudah kenal barulah boleh mencintai. Kenali SAME maka bangsa Cina akan mula menghargai segala dasar dan program kerajaan.

3. SAME bukan sekadar bermatlamat menyalurkan maklumat SME, malahan engagement di antara kerajaan dan pengusaha industri SME bagi mengembangkan rantaian perniagaan dan mempelajarai teknologi industri terkini.

4. Pengusaha SME akan dapat berhubung dan dimudahkan urusan mereka dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan SME.

5. Di antara inisiatif SAME adalah direktori pelbagai bahasa sebagai pemudah berinteraksi ketika berurusan dengan agensi kerajaan ataupun bank.

6. Direktori Panduan SAME pula mengandungi maklumat senarai dana kerajaan untuk SME.

7. Sejak dilancarkan tahun lalu, SAME telah membantu PKS bersaiz mikro dan kecil dalam mengembangkan perniagaan mereka.

8. Di antara pencapaiannya adalah ‘Letter of Credit’ bernilai RM3.65juta, untuk sebuah SME yang berdagang di Laos.

9. Bantuan Danan Kecemasan PKS untuk SME mangsa banjir di Kelantan di mana MIDF meluluskan pinjaman 41 pemohon bernilai RM3.4 juta manakala SME Corp meluluskan geran kepada 175 pemohon sebanyak RM1.34 juta.

Seterusnya adalah teks ucapan penuh Datuk Wee Ka Siong;


TEKS UCAPAN

YB DATUK IR. DR. WEE KA SIONG

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN SEKRETARIAT PEMBANGUNAN USAHAWAN MALAYSIA (SAME) DAN SKIM PEMBIAYAAN USAHAWAN PKS KAUM CINA

5 JUN 2015 (JUMAAT), 3.00 PETANG

GALAXY BANQUET HALL, SENTUL, KUALA LUMPUR

**************************************************

Terima kasih Pengacara Majlis,

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai; Menteri Pengangkutan, Presiden MCA yang juga Penaung KOJADI,

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri,

Para Penasihat SAME,

Yang Berbahagia Tan Sri- Tan Sri, Datuk-datuk,

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Selamat datang ke Majlis Pelancaran Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia, SAME di bawah Jabatan Perdana Menteri dan juga pelancaran Skim Pembiayaan Usahawan PKS Kaum Cina.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Mohd. Najib yang sudi melapangkan masa untuk menyempurnakan Majlis pada petang ini.

2. Seperti yang kita sedia maklum, MCA memilih untuk tidak menganggotai  Jemaah Menterisebaik selesai PRU 13, hanya setahun kemudian, setelah merundingi secara menyeluruh akar umbi dan dengan mengendong harapan besar masyarakat Cina yang menyedari mereka memerlukan suara di keliling meja pembuatan dasar tertinggi kerajaan, maka pada 27hb Jun tahun lalu, YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan saya telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri untuk menyertai kabinet bagi mewakili MCA serta bagi memberikan suara kepada aspirasi masyarakat Cina Malaysia dalam kerajaan. Secara peribadi ia merupakan amanah dan tanggungjawab rakan seperjuangan dalam MCA khasnya dan masyarakat Cina amnya, terima kasih.

3. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, di atas kepercayaan kepada saya untuk menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dengan dipertanggungjawabkan portfolio pembangunan kampung baru, SME dan juga pembiayaan skim pinjaman mikro kaum Cina.

4. Sejak diberi mandat untuk menerajui portfolio ini, saya telah bertungkus-lumus berusaha menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Sesuai dengan mantra YAB Perdana Menteri bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir serta bagi meneladaninya maka saya telah turun ke lapangan untuk berjumpa dan duduk berbincang dengan kesemua “stakeholders” SME bukannya hanya menunggu mereka datang kepada saya atau goyang kaki dan membuat andaian semata-mata.

5. Seterusnya dengan persetujuan YAB Perdana Menteri, saya telah mengumumkan penubuhan sebuah unit pembangunan SME dan micro-credit yang dinamakan sebagai Secretariat For The Advancement of Malaysian Entrepreneurs, atau nama singkatannya “SAME” secara rasminya pada 1hb Oktober 2014 yang beribu pejabat di Aras 2, Menara Usahawan, Putrajaya.

6. Penubuhan SAME turut dibantu oleh Panel Penasihat yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan perniagaan, SME, bekas banker dan golongan cendekiawan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan SME. Panel penasihat SAME telah memberi input penting menentukan halatuju SAME. Selain daripada itu, SAME juga mendapatkan input daripada beberapa badan yang berpengaruh, di antaranya SME Association of Malaysia, Federation of Malaysia Chinese Guilds Association dan Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry Malaysia (ACCCIM).

7. Penubuhan SAME ialah langkah pro-aktif, kreatif dan inovatif yang kita telah ambil. Ia bukan sahaja telah melakar sejarah baru perkembangan SME negara ini malahania membuktikan keprihatinan dan kepedulian YAB Perdana Menteri dan Kerajaan terhadap kemajuan Usahawan Kecil dan Sederhana kaum Cina. Nama YAB akan tercatat dalam sejarah dengan tinta emas sebagai seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja meluluskan penubuhan SAME tetapi juga selama ini telah memberi perhatian dan peruntukan  yang besar kepada sektor SME. Realitinya majoriti pengusaha SME terdiri daripada kaum Cina.

8. Nah ini membuktikan YAB bukan menjaga kaum Melayu, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja tetapi juga kaum Cina yang sama sekali tidak dianaktirikan apatah lagi dilupakan lebih-lebih lagi dengan peruntukan khusus RM50 juta kepada SME kaum Cina. Sir, you walk the talk, this is indeed an inclusive approach, tiada sesiapa yang terpinggir dalam arus pembangunan negara Malaysia tercinta.

10. Kedua, kami juga mendapati ramai pengusaha SME gagal dalam perniagaan mereka disebabkan kekurangan bimbingan yang sewajarnya, terutamanya dari segi pengurusan perniagaan secara sistematik. Penubuhan SAME  tepat pada masanya bagiSME yang memerlukan bantuan untuk terus melangkah ke hadapan, SAME akan membantu mereka menerusi Siri Bimbingan Pelan Perniagaan dan Bengkel Pendidikan Pembangunan Keusahawanan.9. Tujuan utama SAME ditubuhkan ialah untuk membantu usahawan SME dalam semuadimensi. Misalnya, kami tahu  memang ada ramai pengusaha SME yang beranggapan bahawa tidak mungkin untuk mereka mendapatkan bantuan kerajaan. Sikap ini timbul kerana mereka tidak tahu sebenarnya terdapat banyak kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka. Tak kenal, maka tak cinta. Sekarang, kita akan sampaikan kesemua maklumat kepada mereka, sudah tentu mereka akan mula menghargai segala dasar dan program kerajaan. Sudah kenal barulah boleh mencintai.

11. Ketiga, SAME ditubuhkan bagi memainkan peranan yang penting, bukan sahaja sebagai wadah menyalurkan maklumat kepada SME, malahan melalui sesi-sesi “engagement” yang telah dan bakal dijalankan dari semasa ke semasa ia mampumeningkatkan proses kefahaman di antara pihak kerajaan dan juga pihak industri. Pada masa yang sama, melalui sesi-sesi “engagement” sebegini,  pengusaha SME dapat mengembangkan “business to business (B2B) network” mereka dan mempelajari teknologi industri terkini.

12 Keempat, SAME juga berperanan sebagai sebuah “reference point agency”  untuk proses “interface” dengan agensi-agensi yang lain merentasi 15 Kementerian, di antaranya MITI, MOA, KPDNKK dan lain-lain lagi untuk membantu dan membangunkan sektor SME negara ini, berlandaskan kepada “SME Master Plan 2012-2020”.

13. Diantara inisiatif di bawah SAME misalnya sebuah Pusat Hentian Setempat Pelbagai Bahasa (Multilingual-One Stop Centre) yang menjadi jambatan penghubung di antara  kementerian-kementerian dan agensi-agensi dalam proses integrasi maklumat dan penyaluran info terpenting dan mutakhir kepada PKS yang memerlukan.

14. Kami telah menjalinkan hubungan rapat dengan agensi-agensi seperti SME Corp, SME Bank, Agro Bank, CGC, BSN, Exim Bank, Cradle Fund, MDEC, HDC, MIDF, SEED dan lain-lain lagi.

15. Kami juga mengambil inisiatif untuk menyediakan satu direktori pelbagai bahasa yang boleh dirujuk pengusaha SME untuk manfaat bersama. Kalau dulu pengusaha SME terpaksa memohon bantuan“ah-long” untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi perniagaan mereka, kerana kebanyakan mereka tidak memenuhi syarat pinjaman bank komersial, tetapi hari ini mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan sumber bantuan kewangan terutama daripada pihak kerajaan.

16. Direktori Panduan SAME ialah satu direktori menyeluruh yang menyenaraikan semua dana kerajaan yang sedia ada untuk SME berdasarkan kelayakan masing-masing. Tujuan kami menyediakan buku panduan tersebut dalam pelbagai bahasa ialah untuk memastikan semua akan faham dan memperoleh manfaat daripada maklumat yang ingin disalurkan.

17. Kelima, melalui perjumpaan yang diadakan secara berkala, saya telah mendekati para pengusaha untuk mengetahui secara dekatmasalah yang dimiliki dan  kemusykilan yang dipunyai serta berusaha mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk setiap satu dan sekiranya perlu, perkara-perkara yang mendesak telah dan akan dibawa dalam perbincangan kabinet.

18. Di sini, saya ingin mengatakan bahawa melalui perbincangan dua hala ini, pelbagai masalah dapat kami salurkan kepada pihak berkuasa dan ia dapat diselesaikan satu per satu. Sebagai contoh, isu pengutipan royalti hak cipta muzik, service charge di restoran, isu pembaharuan permit pekerja asing melalui MyEG dan sebagainya.

19. Saya ingin mengatakan bahawa YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar rintihan SME. Pada waktu yang sama, saya ingin mengatakan bahawa kenapa nama “SAME” digunakan untuk sekretariat ini, iaitu semata-mata kita melihat dalam konteks kalau kerajaan membantu usahawan SME, kita tidak hanya membantu usahawan kaum Cina, tetapi mereka dari kaum Melayu, Bumiputra, India dan kaum lain-lain juga akan menerima manfaatnya.

20. Bergerak berlandaskan prinsip kemuafakatan ini, SAME telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan Pertubuhan-pertubuhan Perniagaan yang lain, seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, PERDASAMA, Malaysian Associated Indian Chamber of Commerce & Industry dan sebagainya. Dengan ini, kami dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat di antara satu sama lain.

21. Keenam, SAME juga dari semasa ke semasa memperkenalkan SME tempatan terbaik kepada pelabur-pelabur ‘Venture Capitalists’ (VC) dalam dan luar negara, yang mampu mengambil risiko tinggi, sama ada dalam bentuk ‘angel funds’, VC fund dan ‘crowd-funding’. Ini adalah sumber kewangan alternatif untuk PKS, terutama dalam menembusi pasaran eksport antarabangsa. Kami komited membangunkan PKS yang bersedia untuk menembusi pasaran global menerusi kerjasama erat antara kerajaan (G to G) serta antara lokaliti (endpoint to endpoint) dan seterusnya memberi sumbangan ke arah memperbesarkan saiz ekonomi negara.

22. Untuk pengetahuan YAB juga antara kejayaan SAME  semenjak penubuhannya ialahberjaya menyelesaikan 72 kes pembiayaan perniagaan SME. Kesemua SME terbabit telah berjaya mendapatkan pinjaman perniagaan yang diperlukan dari pelbagai institusi-institusi kewangan pembangunan berjumlah RM64.38 juta dengan bantuan kami. Nilai tertinggi pembiayaan bersyarat yang berjaya kami dapatkan adalah ‘Letter of Credit’ bernilai RM3.65juta, untuk sebuah SME kita yang berdagang di Laos. Secara puratanya, margin pembiayaan PKS yang berjaya kami dapatkan untuk setiap kes adalah di antara RM50,000 ke RM250,000.

23. Kami juga berjaya mendapatkan bantuan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) untuk SME yang dilanda banjir teruk di Kelantan tahun lepas menerusi kerjasama erat dengan MIDF dan SME Corp. MIDF meluluskan pinjaman kepada 41 pemohon dengan nilai berjumlah RM3.4 juta, manakala SME Corp. pula meluluskan geran sebanyak RM1.34 juta kepada 175 pemohon.

24. Apa yang saya ingin tekankan ialah SAME membantu PKS bersaiz mikro dan kecil yang amat memerlukan pertolongan tambahan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan kewangan yang sewajarnya untuk mengembangkan perniagaan mereka.

25. Secara ringkasnya, segala masalah yang dihadapi oleh pengusaha SME dapat disalurkan kepada kami, dan jikalau masalah-masalah tersebut melibatkan kementerian lain, kami akan membawa kepada mereka untuk mencari kaedah penyelesaian bersama. “Afterall, we serve under one collective goverment.”

26. Yang Amat Berhormat, masyarakat Cina terharu dengan pengumuman YAB pada bajet 2015 di mana RM50 juta telah disediakan untuk membantu kaum Cina. Ini satu usaha murni dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB, dengan harapan YAB dapat terus memberi sokongan kepada SME untuk terus berkembang sebagai  enjin pertumbuhan ekonomi yang penting bagi negara ini, sejajar dengan apa yang digariskan oleh YAB sendiri.

27. Saya yakin kepercayaan YAB  menyerahkan dana RM50 juta ini kepada KOJADI tidak akan dipersiakan, sebagai sebuah koperasi yang terulung, sudah tentunya pengurusan dana ini dapat dibuat secara telus dan menepati segala syarat-syarat urus tadbir kerajaan.

28. Saya berharap pihak pengusaha SME akan mengambil kesempatan ini untuk memohon pinjaman dengan kadar 4% yang cukup rendah, untuk mengembangkan perniagaan mereka.

29. Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB. Sesungguhnya Majlis yang bersejarah pada hari ini tidak akan menjadi kenyataan, tanpa sokongan padu daripada YAB.

30. Saya dengan rendah hati ingin memohon ehsan YAB agar terus memberi bantuan yang signifikant kepada masyarakat Cina. Kita akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan padu tidak berbelah kepada YAB yang sentiasa mengambil berat tentang nasib golongon perniagaan, terutamanya mereka yang tergolong sebagai SME.

31. Once again, thank you Prime Minister. Sir,

“Terima kasih Daun Keladi,

Kalau Ada Bagi Lagi”

— TAMAT —

 

No comments: