Sunday, May 12, 2013

AKADEMI SPAD : INTEGRITI PEMANDU TEKSI DITINGKATKAN



Satu lagi langkah bagi memastikan integriti pemandu teksi ditingkatkan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan akademinya sendiri untuk mendidik, melatih dan menyediakan penyelesaian profesional bagi perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penubuhan akademi itu akan memberikan platform kepada golongan yang masih baharu dalam industri berkenaan untuk menimba pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, di samping menjadi pusat rujukan dan kecemerlangan pengangkutan awam.

“Akademi ini akan dianggotai oleh pengendali dan pengatur perkhidmatan, agensi kerajaan, ahli akademik, serta orang awam. Kita harap penubuhan akademi ini dapat mengatasi masalah kekurangan profesional dalam industri pengangkutan awam darat di semua peringkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Seminar Kemampanan Pengangkutan Bandar 2013, di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Pada sidang media selepas itu, Syed Hamid berkata, sejajar fokus SPAD untuk melahirkan modal insan dalam bidang pengangkutan awam darat yang bertaraf dunia, ia akan berkolaborasi bersama Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) dari segi sukatan pelajaran dan program latihan untuk akademi berkenaan. 

Katanya langkah segera yang akan dibuat ialah dengan menganjurkan latihan menerusi program profesional dan eksekutif, serta vokasional untuk pekerja kolar biru pada permulaan penggal kedua tahun ini.
"Inilah kali pertama dalam sejarah 
negara pihak berkuasa memainkan 
peranan yang selama ini banyak 
diusahakan oleh pusat-pusat kajian universiti dan pertubuhan bukan kerajaan." 
 - Tan Sri Syed Hamid Albar

Katanya langkah ini juga selari dengan hasrat SPAD untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat kepada 40 peratus menjelang 2030.

No comments: