Saturday, April 28, 2018

KES PERTAMA, PEMANDU E-HAILING DIPERANGKAP SPAD

Kereta-kereta yang disita dalam Operasi Khas Parasit

Sekiranya SPAD bersungguh-sungguh membuat kajian ke atas sistem e-hailing yang digunapakai oleh perkhidmatan GrabCar dan Uber, seterusnya dibentangkan ke kabinet menteri dan dibawa ke parlimen untuk dibahas agar berjaya wujud satu rang undang-undang, ia adalah semata-mata untuk mentransformasikan apa yang didakwa sebagai aktiviti kereta sapu menjadi halal dari segi undang-undang, kini ada pula yang masih ingin mengambil kesempatan dan melanggar undang-undang.

Baru-baru ini, ketika mengadakan Operasi Khas Parasit dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ulat dan kereta sapu di Terminal KLIA serta KLIA 2, hasil dari penyamaran yang dilakukan Penguatkuasa SPAD, 3 lelaki telah ditahan. Operasi yang bermula pada 8 pagi itu mendapati 2 daripadanya adalah pemandu perkhidmatan e-hailing yang berdaftar dengan SPAD.

Ketika tangkapan dibuat, ketiga-tiga lelaki ini sedang melakukan aktiviti memujuk dan menawarkan perkhidmatan kenderaan kepada rakyat tempatan untuk perjalanan ke Damansara, Selangor dan juga perjalanan ke Kuala Lumpur dengan mengena tambang di antara RM60 hingga RM150.

Pesalah pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan pada 10 pagi. Beliau mengguna kenderaan sendiri telah dikesan memujuk penumpang untuk bersiar-siar ke Damansara dan menawarkan tambang sebanyak RM150.00. Pesalah kedua pula, lelaki berusia 34 tahun yang enggan mengguna aplikasi e-hailing tetapi telah memujuk pelanggannya. Beliau telah ditahan pada pukul 11.30 pagi di aras dua, Balai Ketibaan KLIA2. Yang ketiga, lelaki berusia 42 tahun juga pemandu e-hailing telah di tahan di sekitar lobi lif aras CP3, parkir blok B KLIA 2, beliau memujuk pelanggannya dan enggan mengguna perkhidmatan e-hailing utn perjalanan ke Kuala Lumpur.

Setelah ditangkap pihak SPAD, dua daripada kenderaan berkenaan disita dan dibawa ke Tapak Sitaan Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Ketiga-tiga lelaki yang ditangkap ini bakal berhadapan dengan kesalahan Seksyen 205(1) dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana kesalahan memujuk serta mengadakan sesuatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga dan kerana terlalu tamak kerana ingin mendapatkan hasil lumayan dengan segera, akhirnya ketiga-tiga lelaki ini bakal berhadapan denda. Berkemungkinan, pemandu perkhidmatan e-hailing ini akan disenarai-hitamkan oleh mana-mana syarikat perkhidmatan e-hailing.

Sering dimaklumkan kepada semua pemandu e-hailing yang mereka telah didaftarkan dalam senarai SPAD selepas mendapat saringan pihak polis dan JPJ, tetapi masih ada di antara mereka yang cuba mencabar kewibawaan SPAD. Salah satu sebab mengapa kerajaan membenarkan perkhidmatan e-hailing adalah untuk membenteras kegiatan kereta sapu dan ulat. Namun, jika terlalu tamak maka akhirnya terpaksa terima padah dan kerugian.

Oleh itu, kepada pemandu-pemandu e-hailing, ini adalah satu peringatan kepada mereka yang SPAD sememangnya cekap dalam menjalankan tugas mereka.

No comments: