Monday, December 16, 2013

KENAIKAN TAMBANG... DI ANTARA SPAD,PENGUSAHA DAN RAKYAT

Pengusaha-pengusaha pengangkutan awam yang terdiri daripada rel, teksi, bas kini telah mendesak pihak SPAD untuk mengumumkan kenaikan tambang. Sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab, bukan sesuatu yang mudah untuk membuat keputusan bagi pihak SPAD apabila kepentingan rakyat didahulukan. Kepentingan rakyat yang diberi perhatian juga termasuk kepentingan pengusaha-pengusaha pengangkutan awam di sampingkepentingan pengguna kerana pengusaha adalah rakyat juga.



Beberapa hari lepas, pihak pengusaha-pengusaha rel dan di antaranya Prasarana, KTMB dan ERLSB telah memohon pihak SPAD untuk mengkaji semula tambang rel dengan alasan kos operasi mereka pasti terjejas teruk ke atas kenaikan tarif eletrik sebanyak 15% di Semenanjung Malaysia dan 17% di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, pihak pengusaha-pengusaha rel ini telah memberi alasan bahawa kali terakhir tambang rel dinaikkan ialah 10 tahun yang lalu.

Sekarang segala tumpuan menuju kepada SPAD.

Ini adalah jawapannya;
Ketika ura-ura harga tambang tren penumpang akan dinaikkan tahun depan, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan, pihaknya tidak memberikan sebarang kelulusan bagi tujuan itu. 
 
Menurut Tan Sri Syed Hamid Albar, semuanya masih dalam peringkat kajian. 
 
"SPAD tidak meluluskan sebarang struktur tambang baru bagi industri rel. Bagaimanapun, SPAD kini sedang menjalankan kajian semula yang menyeluruh ke atas struktur tambang industri rel,"ujar beliau dipetik sebuah portal. 
 
Jelas Syed Hamid, terdapat empat faktor utama yang akan diambil kira oleh SPAD apabila menyemak semula tambang. 
 
Ia termasuklah struktur sedia ada tambang, operasi dan penyelenggaraan kos bagi semua pengendali tren, peningkatan dalam bahan api dan kos tenaga dan kemampanan jangka panjang industri.
 
"Struktur tambang sedia ada termasuk kemampuan rakyat, kajian semula perbezaan antara semua pengusaha dan mengharmonikan struktur tambang," katanya.
 
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang memetik Syed Hamid sebagai berkata, SPAD sedang mengkaji semula tambang pengangkutan awam dan dijangka berlaku kenaikan tahun depan. 
 
Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.
 
"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail. 
 
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.
 
"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api.
 
"Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan  pasaran saham pengangkutan awam," katanya.
 
Sementara itu, laporan mStar Online hari ini yang memetik Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengalu-alukan kenaikan tambang yang dicadangkan itu, sambil menambah bahawa sudah lama menunggu saat itu.
 
"Saya fikir adalah betul untuk melakukan perkara ini. Kami tidak mempunyai kenaikan lebih daripada 12 tahun," katanya.
 
Shahril berkata, Prasarana terpaksa mengimbangi tambang tidak berubah dengan kenaikan kos.
 
"Tenaga sahaja meliputi lebih 30 peratus daripada kos. Tenaga kerja adalah kira-kira 40 peratus dan bakinya adalah operasi dan penyelenggaraan yang lain. Jika kos terus naik, bagaimana kita mahu memberi perkhidmatan?" katanya.
 
Syarikat itu juga melabur lebih RM1.5 bilion dalam 4 tahun lepas secara berperingkat, termasuk sistem tiket baru, kereta api baru dan kemudahan lain.
 
Shahril berkata, Prasarana mengadakan beberapa perbincangan dengan SPAD mengenai perkara itu.
 
Beliau turut meminta kajian semula tambang automatik, salah satu yang akan diadakan dalam setiap dua atau tiga tahun.
 
Shahril bagaimanapun berkata, apa-apa kajian tambang perlu secara adil kepada penumpang Prasarana, kerana tidak mahu membebankan kepada mereka.
 
Laporan berkaitan kenaikan tambang ini semalam berjaya menarik perhatian ramai pembaca Sinar Harian Online apabila lebih 100, 000 pembaca membaca berita itu, lebih 200 yang berkongsi dari laman Facebook rasmi kami serta lebih 1,000 pembaca memberikan komen. 
 
Rata-ratanya menyatakan rasa tidak puas hati dan bimbang dengan kos sara hidup pada tahun hadapan memandangkan banyak kenaikan harga yang diumumkan mutakhir ini. - SH
Terima kasih kepada pihak SPAD untuk kenyataan di atas. Sekali lagi setiap tindakan dan keputusan yang bakal diambil, kepentingan dan kemampuan rakyat  diutamakan.

Walaubagaimanapun, agar pihak pengusaha tidak terbeban, maka kepentingan mereka juga diambilkira.

Maka, sama-samalah kita memahami keadaan ini dan bagi pihak pengusaha, seandainya mereka sentiasa berkompromi dan terkesan sehingga menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk, ini juga bakal memberi kesan seterusnya kepada rakyat kerana perkhidmatan rel merupakan salah satu mod pengangkutan utama rakyat.

Kita juga telah diberi jaminan pihak SPAD bahawa kenaikan tambang ini adalah mengikut kemampuan rakyat dan juga pengusaha.

No comments: