Saturday, November 18, 2017

TUANKU SULTAN JOHOR PERKENAN CADANGAN RTS DARI SPAD


Di dalam kenyataan rasmi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memberi kata persetujuan reka bentuk semak semula  Rangka Penjajaran Rapid Transit System yang dicadangkan mereka.

Pada pertemuan di antara Baginda dan CEO SPAD En. Mohd Azharuddin Bin Mat Sah bersama pegawai-pegawai kanan di Istana Bukit Pelangi Johor Bahru baru-baru ini, tiga pilihan jajaran projek RTS telah dikemukakan dan akhirnya baginda memilih jajaran jambatan setinggi 25m yang akan merentasi Selat Johor secara lurus ke Woodlands, Singapura.

Jajaran jambatan yang dipilih Tuanku juga menepati panduan teknikal Jabatan Laut Malaysia dan kepentingan untuk memastikan penyuraian trafik di kawasan stesen RTS Bukit Chagar. Perkara yang dibangkitkan Tuanku akan diambil perhatian dan tindakan oleh SPAD.

Pada bulan Ogos sebelum ini, Tuanku Sultan Johor di dalam temuramah dengan News Straits Times telah menyatakan kegembiraan baginda terhadap projek RTS ini. Walaubagaimanapun, baginda tidak bersetuju dengan reka bentuk keseluruhan trek yang melengkung dan rancangan membina jambatan setinggi 30m dari paras laun di bahagian tengah.

Baginda berpandangan yang ia akan mengganggu pemandangan bandaraya di sepanjang Selat Johor dan jambatan ini agak tinggi dan berpotensi boleh menelan belanja yang lebih mahal.

Pembinaan RTS telah dicadangkan pada Mei 2010 sebagai pilihan kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari. Apabila siap nanti, RTS ini dijangka mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna setiap jam antara dua negara iaitu di antara stesen terminalnya di Bukit Chagar dan Woodlands.

RTS Link ini juga akan bersambung dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura laluan Thomson-Pantai Timur (TEL) yang akan dibina dengan 31 stesen dan akan dibuka dalam beberapa fasa antara 2019 hingga 2024.

Pihak SPAD juga merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di atas kepimpinan dan bimbingan beliau dalam projek RTS ini di mana pada bulan September lalu telah bertemu Tuanku Sultan Johor untuk menyerahkan butiran mengenai projek RTS.

No comments: