Monday, October 09, 2017

CADANGAN DARI SPAD UNTUK BAS RAPID TRANSIT (BRT) JOHOR MENGHAMPIRI KENYATAAN


Bagi memastikan perkhidmatan bas awam negeri Johor dapat menyediakan liputan menyeluruh bagi penumpang di bandar dan luar bandar, pihak SPAD telah mengemukakan cadangan mengenai penambahbaikan perkhidmatan bas kepada Majlis Ekonomi Negara. Beberapa hari lalu saja, projek pembangunan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT) telah dilancarkan PM Najib Razak bersempena merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.

Projek ini akan menelan belanja sebanyak RM2.56 bilion dengan RM1 bilion daripadanya dibiayai kerajaan pusat manakala baki ditanggung menerusi kerjasama swasta dan awam di mana ia berkonsepkan keterangkuman serta kemampanan yang akan dibangunkan kerajaan pusat melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan kerajaan negeri Johor.

BRT dijadikan tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia adalah sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi, selesa dan mampu menjimatkan kos penumpang mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Transit Aliran Ringan atau metro yang lebih cepat jika dibandingkan dengan perkhidmatan bas biasa.

Dijangka perkhidmatan BRT Johor ini akan beroperasi pada 2021 meliputi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer dan mempunyai 39 stesen. Sistem rangkain BRT ini juga akan memastikan sambungan yang lancar dengan Sistem Transit Rapid (RTS), Rel Berkelajuan Tinggi, KTM komuter serta terminal bas antara bandar.

Projek BRT Johor yang dijangka dapat dimulakan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan, dijadual siap pada tahun 2020 nanti. BRT merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan negeri yang dilancarkan bersama-sama tiga lagi termasuk Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat dan Dasar Kelestarian Negara.

Sebagaimana sistem BRT telah mendapat sambutan di Lembah Kelang, Selatan Johor yang merupakan kawasan yang sangat pesat pembangunannya, juga memerlukan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap rantaiannya dan selesa serta dengan kadar kos tambang yang menjimatkan. Dalam kajian SPAD, sistem BRT Lembah Kelang juga mampu menjimatkan masa penumpang di mana kebiasaan perjalanan dari Kelang ke Kuala Lumpur memakan masa hampir 70 minit tetapi dengan sistem BRT, mereka boleh tiba ke destinasi dalam masa 40 minit sahaja.

Dengan komitmen berterusan kerajaan persekutuan kepada Johor, bukan saja rakyat akan menikmati sistem pengangkutan yang lebih cekap, jimat dan pantas, dengan ini sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

No comments: