Tuesday, January 27, 2015

ORANG RAMAI YAKIN KEBERKESANAN @aduanSPAD

Pasti kita semua pernah melihat pelekat SPAD seperti di sebelah pada semua badan kenderaan awam seperti lori, bas, bas sekolah, bas ekspres dan teksi. Pelekat ini telah dikuatkuasakan pada 30 September 2014. Nampaknya pelekat aduan SPAD ini telah mula mendapat perhatian masyarakat dan sepanjang 2014, sebanyak 24,343 aduan telah diterima SPAD dan 97% daripada aduan rakyat telah berjaya diselesaikan.

Namun, selebih 3% daripada aduan yang tidak diselesaikan adalah kerana samada kes tersebut masih di dalam proses siasatan oleh penguatkuasa atau sedang menunggu tindakan mahkamah.

Berbanding aduan pada 2013 sebanyak 10,549, aduan yang diterima pada tahun 2014 adalah sekali ganda dan ini jelas menunjukkan masyarakat yakin dengan cara SPAD menyelesaikan setiap aduan kepada mereka. Kesemua aduan dan maklumbalas yang diterima dari masyarakat umum pula akan dibawa ke pengetahuan pengurusan atas dalam proses membuat sesuatu keputusan ataupun pengumuman awam.

Untuk perbaiki lagi perkhidmatan aduan ini, SPAD sedang mempertimbangkan beberapa langkah dan inisiatif termasuk 'web chat' dengan orang ramai, makluman SMS kepada pengadu terhadap aduan yang dibuat dan memberi nombor siri untuk mengetahui perkembangan kes.

Selain daripada itu, langkah seterusnya adalah kaunter bergerak di tempat-tempat strategik supaya orang ramai mudah membuat aduan.

Walaubagaimanapun, setiap aduan perlulah lengkap dengan maklumat ketika membuat aduan kepada SPAD. Ini adalah bertujuan agar tindakan dan siasatan yang akan dijalankan lebih berkesan dan lancar. Di antara maklumat penting yang perlu disertakan adalah maklumat lengkap pengadu seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat atau email. Maklumat kes pula seperti tarikh, tempat dan waktu kejadian berlaku, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis
kenderaan, syarikat yang terlibat atau mungkin bukti tambahan seperti disertakan juga gambar, video atau apa-apa saja maklumat sokongan.

Perlu diingat, sekiranya maklumat yang diterima SPAD tidak mencukupi dan lengkap, aduan tersebut akan diistilah sebagai surat layang atau mungkin tidak diambil tindakan kerana pihak SPAD akan mengalami kesukaran untuk membuat siasatan seterusnya.

Walaupun terdapat peningkatan aduan terhadap pengangkutan awam, namun daripada aduan-aduan inilah maka kerajaan telah membuat beberapa inisiatif seperti penambahbaikan perhentian bas, pelaksanaan Transit Bas Ekspres dan integrasi tiket. SPAD juga dalam rangka menambah dan menempatkan stesen pengangkutan awam di tempat yang padat dengan penduduk.

Hanya dengan maklumbalas dari kita sebagai pengguna saja yang membolehkan kerajaan menambahbaik sistem pengangkutan sediada dan prihatin pengguna akan sentiasa diberi perhatian ke arah usaha ini.

 

No comments: