Friday, February 07, 2014

#SwedenLetThemGo : ANTARA BUDAYA DAN UNDANG-UNDANG

Pepatah Melayu... Sayangkan anak ditangan-tangankan, Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan sudah menjadi budaya cara ibubapa kita mendidik anak-anaknya samada berbangsa Melayu, Cina ataupun India. Budaya mendidik anak-anak ini bukan saja dilakukan di Malaysia malahan ia adalah budaya di negara rantau Asia.

Berbanding dengan negara-negara Eropah, rupa-rupanya ia adalah satu kesalahan serius perundangan jika kanak-kanak dipukul oleh sesiapa saja walaupun ibubapa mereka.

Terkini, pasangan rakyat Malaysia telah ditahan reman oleh kerajaan Sweden kerana memukul tangan salah seorang dari anak-anak mereka kerana tidak menunaikan solat.

Di Sweden, apa yang dikategorikan sebagai penderaan kanak-kanak atau "corporal punishment" termasuk memukul, menampar, menyepak, mencubit, menarik rambut, menghayun, sebat sebagai menunjukkan hukuman oleh sesiapa atau di mana-mana samada di sekolah, rumah
atau tempat awam, ia adalah satu kesalahan undang-undang.

Sebagai salah satu negara yang telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak, Sweden memberi perlindungan perundangan yang kukuh hak anak-anak.

Pada 15 Mac 1979, ahli-ahli parlimen Sweden adalah yang pertama di dunia untuk mengundi bagi larangan itu. Undang-undang ini telah dilaksanakan pada 1 Julai 1979.

Mari Heidenborg
Baru-baru ini, pihak media Malaysia via Bernama telah mendapatkan penjelasan dari Ketua Solna Mahkamah, Mari Heidenborg mengenai prosedur undang-undang di Sweden dan kes pasangan Shalwati Norshal dan suaminya, Azizul Raheem Awalludin yang sedang menjalani tahanan reman kerana didakwa memukul tangan salah seorang anak-anak mereka kerana tidak melaksanakan solat.

Menurut beliau, jika tiada sebab untuk dilanjutkan tempoh tahanan reman maka mereka akan dibebaskan dan sebab tahanan reman adalah kemungkinan jika pasangan itu akan melakukan lagi kesalahan atau mengganggu siasatan.

Ditanya sama ada kes seperti itu telah berlaku sebelum ini, beliau berkata kebanyakan yang terlibat ialah dari negara asing.

Rakyat Malaysia akur dengan perundangan di Sweden tetapi apa yang membimbangkan ialah anak-anak pasangan ini telah diletakkan di bawah pengawasan keluarga angkat yang bukan beragama Islam.

Oleh kerana itulah, maka Perdana Menteri telah berusaha dengan sedaya upaya untuk membawa balik anak-anak ini ke tanah air supaya keadaan dan suasana mereka sebagai keluarga Islam dapat diutamakan.


Walaubagaimanapun, sama-sama kita berdoa agar pasangan suami isteri ini dibebaskan dari sebarang hukuman kerana budaya mendisplinkan anak-anak Malaysia memang ditangan-tangankan tetapi dengan kasih dan sayang dan terus sampaikan mesej #SwedenLetThemGo

 

No comments: