Friday, August 30, 2013

MAJLIS PERUNDING MELAYU BERSAMA KETEGASAN TAN SRI MUHYIDDIN


Dong Zong (Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia) tidak pernah menerima dan mengiktiraf segala bentuk Pelan Pendidikan Negara semenjak merdeka dan terkini, NGO itu sekali lagi membuat bantahan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bakal dilancarkan pada 6 September akan datang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketegasan Tan Sri Muhyiddin untuk tidak tunduk kepada desakan dan ugutan Dong Zong telah disambut baik oleh Majlis Perunding Melayu di dalam  Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) yang diadakan pada 27 Ogos 2013 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putra (PWTC.



Dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dihadiri oleh lebih kurang 1500 peserta bersepakat membuat ketetapan melalui resolusi KPPK berdasarkan pernyataan dan cadangan daripada pakar-pakar dan pemikir yang berpengalaman, peserta KPPK dan memorandum cadangan daripada persatuan/tokoh akademik di Sidang Selari Pra-Kongres (Pleno) pada 21 Ogos 2013 di Bangunan MARA, Kuala Lumpur.   

KPPK memutuskan ketetapan dalam Resolusi dan kenyataan 5 Sidang Selari (Pleno) menyokong kuat kandungan 5 Pelan Strategik Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan beberapa kenyataan bagi memperlengkapkan lagi pelan tersebut:  


1.
Adalah perlu pihak pemerintah berhenti dari terus menjadikan diri sebagai mangsa sasaran peras ugut (victim of extortionist target) dan juga berhenti daripada melayan tuntutan yang tidak munasabah yang juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan segala perundangan yang berkaitan. Jangan biarkan golongan tertentu bermain dengan bom waktu bersiri (series of time bombs) yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan negara Malaysia. Segala tindakan ketidakpatuhan (non-compliance) sekian lama itu hendaklah dijadikan pematuhan (compliance) agar tiada kekeliruan dalam pelaksanaan peruntukan perundangan dan dasar negara. Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan dan Perlembagaan Persekutuan khasnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dalam melaksanakan pentadbiran pendidikan negara.  
 
2.
KPPK menyokong kuat usaha Kerajaan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 berteraskan Perlembagaan, Laporan Razak (1956), Laporan Abdul Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 dengan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP). Membina asas dengan menetapkan 5 teras utama bagi merealisasikan Wawasan 2020 dalam usaha Membina Negara Bangsa, Pembangunan Modal Insan, Merapatkan Jurang Pendidikan, Memperkasakan Profesionalisme Keguruan dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pembinaan Negara Bangsa Malaysia dengan melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, penguasaan (profisiensi) dwi-bahasa, kemahiran kepimpinan, Jatidiri Kebangsaan (identiti nasional), kekuatan etika dan kerohanian.

3.
KPPK menyokong kuat usaha Kerajaan bagi membina negara bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan satu kurikulum dan peperiksaan dalam Bahasa Melayu di samping memberi peluang kepada murid untuk belajar bahasa-bahasa asing.

4.
Menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan rakyat yang mempunyai Jatidiri Kebangsaan dan patriotik berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, Sejarah dan Peradaban Malaysia serta menentang gerakan yang menuntut kebebasan dan hak asasi manusia liberal ala barat.

5.
Mendesak dan menyokong Kerajaan melahirkan rakyat yang menghayati peradaban Melayu dan Islam yang menjadi teras kepada peradaban Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, KPPK berharap Kementerian Pendidikan Malaysia akan memantau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha memperkasakan peradaban Melayu dan Islam. Kongres juga menyokong usaha Kerajaan mewajibkan Kursus Peradaban Melayu dan Islam di IPT. Sehubungan ini, Kongres membantah IPT yang cuba memperkecilkan peranan Pusat Pengajian Melayu dan Islam di Institusi masing-masing, sebaliknya IPT wajar memartabat dan memantapkannya.

6.
Mendesak Kementerian Pendidikan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama di IPT Awam dan Swasta, manakala pembahagian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan pangkat turut mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam Bahasa Melayu.
 
7.
KPPK menentang keras usaha beberapa pihak terutama Dong Zhong yang tidak berpuas hati dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan bersikap anti-nasional dengan mempersoalkan niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia. Sepatutnya, Dong Zhong wajib mendidik anak-anak Cina, agar cinta dan taat setia kepada negara Malaysia dengan menyokong satu sistem pendidikan kebangsaan  yang dapat memantap perpaduan dengan memperkukuhkan Jatidiri Kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, Sejarah dan Peradaban Malaysia.

8. 
KPPK menyokong kuat usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Malaysia Qualification Agency (MQA) tetap tidak meluluskan Unified Examination Certificate (UEC) yang dikeluarkan oleh Independent Chinese Secondary School (MICSS) yang dituntut oleh Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia untuk menjadikannya setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

9.
KPPK juga mendesak YAB Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia agar bersikap tegas dengan mewujudkan satu sistem pendidikan yang tunggal dan tidak meluluskan penubuhan Sekolah Menengah Cina dan mengiktiraf Kolej Swasta Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan Jatidiri Kebangsaan dan Perpaduan Kebangsaan. Tiada negara lain yang mempunyai sekolah vernakular seperti di Singapura, Indonesia dan Thailand.  
 
10.
Adalah menjadi harapan KPPK segala kenyataan dan Resolusi ini akan dijadikan panduan bagi memantapkan lagi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Bagi memartabat dan memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan, KPPK meminta YAB Perdana Menteri Malaysia bersikap tegas dan memastikan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan komunikasi dalam usaha membina negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu.
 
TERMAKTUB DI DEWAN MERDEKA, 
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
PADA 27 OGOS 2013
 

No comments: