Friday, December 08, 2017

UMNO BERIKRAR TIDAK AKAN DIJADIKAN MANGSA FITNAH PERSEPSI LAGI


Kejayaan menguasai peperangan persepsi bakal menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang dan inilah di antara mesej penting yang disampaikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak kepada perwakilan dan ahli-ahli dalam ucapan dasarnya di PWTC.

Sambil menunjukkan handphone, Presiden UMNO mengingatkan para perwakilan dan ahli-ahli UMNO betapa perlunya mereka menguasai media baharu ini untuk menangkis perang persepsi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan juga UMNO.

Lantas, inilah juga merupakan salah satu faktor utama mengapa di dua pilihanraya umum lalu, BN telah banyak hilang kerusi kepada pembangkang.

Ia bukanlah kerana pembangkang terlalu kuat ataupun banyak menabur bakti kepada mereka tetapi mereka telah menguasai media sosial dan mengguna platform ini untuk menabur segala pembohongan dan kebencian terhadap BN/UMNO yang telah berjasa dan membawa segala pembangunan sejak sebelum merdeka lagi.

Sependapat dengan Presidennya, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, untuk menghadapi pilihan raya akan datang, media baru perlu dikuasai untuk tangani persepsi. Kalau ini dapat dilakukan, kita akan muncul lebih kuat ketika bercakap dalam Program Bual Bicara Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) bertajuk: " PRU14: Betulkah UMNO di persimpangan?"

Yang utama bagi Tan Sri Annuar adalah pengundi atas pagar yang dilihat sebagai 'perseudo voters' perlu menerima maklumat yang tepat dan sahih.

Di antara permainan kotor politik pembangkang, mereka sering menggambarkan yang UMNO adalah parti politik yang rasis dan anti bangsa China hanya kerana semua ahlinya adalah dari bangsa Melayu dan Bumiputera. Sedangkan pembangkang sengaja menafikan bersatunya pelbagai kaum di bawah Barisan Nasional yang terdiri dari parti-parti komponen yang mewakili pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih jelek apabila di saat rakyat Malaysia akan keluar mengundi, pembangkang telah menyebarkan melalui media sosial dengan berita rekaan yang BN telah mengimport 40 ribu pengundi hantu dari Bangladesh. Ditambah lagi , dengan tuduhan kononnya dakwat kekal yang digunakan mudah luntur dan boleh pula dikikis.

Apabila terasa yang mereka masih tidak mampu menewaskan Barisan Nasional dan untuk menghalang rakyat dari keluar mengundi, di PRU13 lalu, seorang pemimpin pembangkang telah menyebarkan berita kononnya mereka telah pun menang pilihanraya di sekitar jam hampir 4 pagi sebelum proses mengundi diadakan pun. Di manakah logiknya tetapi masih ada yang mempercayainya.

Yang pasti, pembangkang kini ada senjata baru iaitu ideologi 'Mahathirisme' yang dibawa PPBM. Ia bukan saja merbahaya malahan telah nampak gerakan untuk menghasut rakyat dengan membuat pelbagai perbandingan zaman pemerintahan Mahathir dan mengecam kepimpinan PM Najib. Sedangkan segala kesilapan Dr Mahathir yang lalu, kini sedang diperbetulkan PM Najib.

Beberapa kesilapan besar di zaman Dr Mahathir termasuklah ISA, perjanjian konsesi berat sebelah, kontrak yang menguntungkan kroni dan keluarganya, subsidi petrol yang gagal menepati sasaran, Perjanjian Malaysia 1963 untuk Sabah dan Sarawak dan lebih parah lagi pelbagai skandal kewangan yang telah melibatkan ratusan bilion wang rakyat.

Penipuan dan berita palsu seperti ini adalah di antara modus operandi pembangkang menjelang pilihanraya umum nanti dan UMNO seharusnya bersiap-sedia menangkis dengan segera.

Secara keseluruhannya, ucapan Presiden sebenarnya mahu perwakilan dan semua ahli berperang habis-habisan untuk menang besar dalam PRU-14 dan persediaan berhadapan pembohongan pembangkang adalah merupkan di antara aspek utama yang dimahukan Presiden.

Dengan kata lain, tidak akan lagi berlaku untuk kali ketiga kesilapan-kesilapan dan kelalaian-kelalaian masa lalu apabila BN kalah dengan persepsi negatif yang dibawa pembangkang walaupun pada saat-saat akhir nanti. Justeru, UMNO telah berikrar untuk menguasai media baru demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

No comments: