Sunday, August 02, 2015

@aduanSPAD : KADAR TAMBANG BRT YANG DILULUSKAN KABINET


Selepas dilancarkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Jun lalu, kini khidmat Bas Rapid Transit (BRT) telah mula beroperasi di sekitar Sunway. Maka pihak SPAD ingin mengumumkan kadar tambang khidmat BRT setelah mendapat kelulusan kabinet seperti berikut;
KENYATAAN MEDIA

KABINET MELULUSKAN STRUKTUR TAMBANG BRT BAGI LEMBAH KLANG

KUALA LUMPUR, 31 JULAI 2015 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan struktur tambang Bas Rapid Transit (BRT) bagi Lembah Klang pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Julai, 2015.

Kabinet telah meluluskan struktur tambang yang terdiri daripada komponen tambang asas sebanyak RM0.90 dan komponen tambang berdasarkan perjalanan setiap kilometer, bermula dengan RM0.815 setiap kilometer bagi 6km pertama, RM0.513 setiap kilometer untuk perjalanan 6 hingga 12km, RM0.421 setiap kilometer untuk perjalanan 12 hingga 18km, RM0.282 untuk setiap kilometer bagi perjalanan 18 hingga 24 km dan RM0.212 setiap kilometer bagi perjalanan melebihi 24km.

Struktur ini menghadkan tambang maksimum yang boleh dikenakan bagi perkhidmatan BRT. Dengan itu pihak pengendali tidak dibenarkan mengenakan tambang melebihi kadar yang telah ditetapkan ini.

Kabinet juga mengarahkan pengendali memberikan potongan tambang sebanyak 50% bagi pelajar, warga emas dan orang kurang upaya.

Sistem BRT Sunway Line adalah BRT yang pertama di Lembah Klang dan dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Struktur tambang tersebut tidak dapat menampung kos operasi BRT pada kadar penggunaan kini. Dengan itu bagi memastikan pengguna menikmati kadar tambang yang rendah, Kerajaan telah meluluskan subsidi tahunan sebanyak RM14 juta untuk tempoh tiga tahun kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Ini akan membantu menampung perbezaan di dalam pengutipan tambang dan kos operasi bagi memastikan rakyat mampu menggunakan perkhidmatan tersebut.

-Tamat -

Khidmat BRT adalah sistem pengangkutan awam kebanggaan negara yang bertaraf antarabangsa, bas elektrik pertama di negara yang mengguna teknologi mesra alam serta teknologi pintar dalam usaha meningkat dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau di dalam menggalakkan gaya hidup yang mesra alam sekitar dari segi pengangkutan awam.

Bas eletrik pertama ini juga adalah perkongsian awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway.

Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan warga kota mengguna pengangkutan awam seperti di beberapa ibukota di dunia, kesesakan lalulintas mampu diatasi dan pada masa yang sama mampu mengurangkan pelepasan karbon.

Sistem BRT Sunway Line adalah perkhidmatan bas pertama yang menggunakan landasan bertingkat bagi memastikan ketepatan perjalanan yang dirancang.

Buat permulaan, BRT akan beroperasi di 7 stesen iaitu Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, Şunu-Monash, South Quay dan USJ7, dengan adanya
satu kemudahan 'park and ride'.

No comments: