Saturday, December 20, 2014

INSURANS MURID DAN BAS SEKOLAH... APA YANG IBUBAPA PERLU BERI PERHATIAN



3 perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh ibubapa sebelum menghantar anak-anak mereka menaiki bas sekolah pada tahun hadapan;
  1. Skim Insurans Murid Sekolah diteruskan pada 2015.
  2. Murid-murid dilindungi insurans HANYA dengan bas sekolah yang berdaftar.
  3. Bantuan khas disediakan kerajaan untuk bas-bas sekolah.
 
Di dalam Bajet 2013, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberi penekanan serius dan prihatin kerajaan terhadap murid-murid sekolah di dalam aspek keselamatan.

Di antaranya adalah;

Mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Sabah & Sarawak.  
 
Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

Pada tahun ini, selepas deregulasi tambang bas sekolah diumumkan SPAD, yang akan bermula pada Januari 2015, ibubapa dan pengendali bas sekolah diberi kebebasan untuk menentukan tambang ... (selanjutnya DI SINI)

Sekali lagi, demi keselamatan murid-murid sekolah dan memastikan pengusah-pengusaha bas sekolah tidak menghadapi kesukaran memberi perkhidmatan terbaik, maka SPAD telah memaklumkan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terutama ibubapa.

Berikut adalah pengumuman media;


SKIM INSURANS MURID SEKOLAH DITERUSKAN

KUALA LUMPUR (19 Disember 2014) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (‘S.P.A.D’ atau ‘Suruhanjaya’) ingin mengumumkan bahawa murid-murid sekolah yang menaiki bas sekolah berdaftar, akan terus menikmati perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah pada 2015. Skim insurans ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Bajet 2013 di mana kerajaan telah melantik S.P.A.D. sebagai agensi penyelaras skim ini.


Pihak kerajaan telah meluluskan penerusan perlaksanaan skim insurans ini berdasarkan kepada keperluan dan sambutan baik oleh ibubapa, pengurusan sekolah dan pengusaha bas sekolah. Skim insurans ini merupakan suatu langkah SPAD dalam mempertingkatkan perkhidmatan industri bas sekolah dan pada masa yang sama membantu murid-murid dan keluarga murid bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.


Untuk makluman juga, bantuan khas juga telah diberikan kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru melalui Skim Penggantian Bas Sekolah yang akan berakhir pada 31 Disember 2014. Sehingga kini sebanyak 200 pengendali bas sekolah telah berjaya mendapat bantuan tersebut.


S.P.A.D. juga ingin mengambil kesempatan ini, menjelang musim balik ke sekolah, untuk mengesyorkan agar ibubapa memilih pengendali bas sekolah yang berdaftar bagi keselamatan anak-anak. Suruhanjaya juga mengalakkan pengendali bas sekolah yang masih belum berdaftar dengan S.P.A.D., supaya tampil ke hadapan untuk mengesahkan perkhidmatan mereka dan dengan itu melayakkan mereka bagi Skim Insurans Murid Sekolah dan manafaat-manafaat lain.


Maklumat tambahan:

SKIM INSURANS MURID SEKOLAH

  • Skim Insurans Murid Sekolah memberi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan S.P.A.D. bagi Semenanjung Malaysia dan LPKP bagi Sabah & Sarawak.
  • Inisiatif ini memberi manfaat kepada hampir 2 juta murid-murid sekolah dengan perlindungan maksimum sebanyak RM 100 ribu.
  • Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).
  • Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah.
  • Sejak Januari 2013 hingga kini, 10 kes tuntutan telah direkodkan. Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM 316,612.10. Skim ini telah membantu keluarga, waris dan murid-murid; seperti dalam kes Mohd. Sanusi Bin Ismail, murid SMK Seri Gadong. Bantuan telah diberikan bagi membolehkan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan kakinya yang tinggal.

SKIM PENGGANTIAN BAS SEKOLAH

  • Skim Penggantian Bas Sekolah adalah satu skim pinjaman dengan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru.
  • Pihak kerajaan telah menyediakan bantuan rebet tunai sebanyak RM10,000 dan pemberian subsidi kepada kadar faedah tahunan sebanyak 2%.
  • Inisiatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional turut menawarkan pinjaman sehingga RM 150,000 dan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun.
  • Sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh BSN dengan 200 permohonan diluluskan, 20 ditolak (pemohon telah diisytiharkan bankrap).
  • Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2014 dan pihak BSN masih menerima permohonan yang dihantar sebelum 31 Disember 2014.
 

No comments: