Saturday, September 14, 2013

34 "TOUCH POINTS' DI DALAM UCAPAN PM




MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA


 oleh


YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK


PERDANA MENTERI MALAYSIA


PADA 14 SEPTEMBER 2013 (SABTU),JAM 10.00 PAGI,

BERTEMPAT DI DEWAN AGONG TUANKU CANSELOR,

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM, SELANGOR.

 
Bismillahirrahmannirrahim


Sila ambil perhatian 34 'touch points' ucapan DS Najib pagi tadi dan ucapan penuh beliau boeh dibaca di blog ABITW...
  
Demi menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, Tujuh Wasiat oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.

Bahawasanya:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.


Fokus Pemerkasaan Pertama : 
MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
  • Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.  
  • Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.
  • Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
  • Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.
  • Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.  

Fokus Pemerkasaan Kedua : 
MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
  • Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.


  • Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Fokus Pemerkasaan Ketiga : 
MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA

  • Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.

  • Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.

  • Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad  akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.

  • Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

  • Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkanuntuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.

  • Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.

Fokus Pemerkasaan Keempat: 
MEMPERHEBATKAN KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA

  • Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015 kelak. 
  • Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.
  • Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, kerajaan akan mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan.
  • Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
  • Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan. 
  • PETRONAS - Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera. 
  • Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi.  Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.

  • Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.


  • Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi.



  • Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi serta passionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau.


  • Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.



Fokus Pemerkasaan Kelima: 
MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN



  • Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.


  • Peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020.
  • Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.



  • Penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan  pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.


  • Untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana Menteri.


  • Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan tadi.



  • Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu. 

Demi Melayu....
Demi Bumiputera...
Demi Malaysia...


No comments: