Tuesday, November 10, 2015

PERUBAHAN BESAR AKAN DILAKUKAN SPAD UNTUK INDUSTRI TEKSI


Industri teksi merupakan salah satu bahagian penting dalam pengangkutan awam di negara. Sejak SPAD mula beroperasi pada tahun 2011, ia telah membuat satu ketatapan untuk meningkatkan industri teksi dan pelbagai usaha telah dijalankan di dalam program transformasi teksi.

Kita masih ingat lagi beberapa langkah yang telah diusahakan SPAD seperti pengenalan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) seawal tahun 2012 di mana seramai 76,000 pemandu teksi telah menerima baucar tayar baru, Liputan Personal Accident Insurance (PA), pengecualian cukai jalan, subsidi tol sebanyak 50% dan pengecualian cukai eksais dan jualan bagi pemegang lesen individu.

Ini juga diikuti dengan pengenalan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) kelas lesen pada tahun 2013 untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kualiti pemandu, serta standard kenderaan dan operasi. Pada Mac tahun ini pula, SPAD juga telah mengumumkan penstrukturan semula tambang ke atas tambang teksi untuk memberi gambaran kos operasi semasa.

Namun, di dalam kajian SPAD, industri teksi masih berhadapan dengan beberapa isu yang telah lama wujud untuk beberapa dekad lalu. Kesulitan utama yang membelenggu industri teksi adalah apabila mereka mewarisi sistem pajak dan legasi teksi lama. Legasi yang diwarisi ini mendapat perhatian SPAD untuk dikajisemula dan diperbaiki agar ia lebih telus dan memberi faedah yang saksama kepada kedua-dua pemandu dan pengendalinya.

Setiap kali SPAD merancang untuk membawa perubahan dan penambahbaikan, pendekatan yang diamalkan adalah proses perundingan dan perjumpaan di dalam siri mesyuarat, dialog dan sesi perbincangan. Ini tidak terkecuali di dalam melaksanakan program-program transformasi teksi di mana persatuan dan juga pengendali teksi serta pihak-pihak berkepentingan mengambil bahagian menyertai sesi perjumpaan SPAD.

Pihak SPAD amat terbuka untuk mendengar pandangan pemandu teksi serta membincangkan isu-isu yang membebankan mereka dan dengan pandangan 'first hand' ini, maka setiap pihak berkepentingan dapat diambil kira dan diatasi.

Proses rundingan dan perjumpaan ini dilakukan sepanjang tahun. Pada bulan Oktober dan November sahaja, sebanyak 5 sesi pertemuan yang melibatkan lebih dari 250 pihak berkepentingan di dalam industri teksi. Di antara yang terlibat termasuklah gabungan, persatuan teksi dan pemandu-pemandu.

Dari maklumbalas perjumpaan-perjumpaan ini, SPAD sedang mengusahakan penyelarasan perkhidmatan teksi dengan melakukan perubahan besar termasuk mengusulkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang akan meliputi kajian semula pengawalseliaan, mengkaji semula dasar-dasar pelesenan yang sedia ada.

SPAD juga akan memberi tumpuan khas kepada usaha-usaha untuk menambahbaik perkhidmatan kepada pengguna dan meningkatkan daya saing dan kebajikan pemandu. Di dalam mencapai objektif ini, SPAD juga akan memberi keutamaan kepada pengguna, menyokong teknologi dan inovasi mesra
pengguna serta akan sentiasa terbuka kepada perkembangan terkini serta mewujudkan persaingan adil yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Pada masa yang sama, SPAD juga sedang berusaha keras di dalam meningkatkan taraf perkhidmatan teksi dan mencadangkan perubahan-perubahan yang amat penting, termasuk mengusulkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Ini akan melibatkan semakan terhadap aspek-aspek kawalselia secara menyeluruh dan mengenal pasti model perniagaan terbaik bagi industri teksi.

Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, namun SPAD tetap komited untuk memenuhi dan mencari jalan penyelesaian untuk setiap isu yang diketengahkan. Oleh itu, kepimpinan dan kerjasama daripada pihak-pihak berkepentingan diperlukan agar satu perubahan besar dapat memberi manfaat kepada semua pihak termasuk penumpang dan pada masa yang sama kekal adil kepada pemandu, pengusaha dan peserta baru di dalam industri teksi ini.

No comments: