Monday, April 28, 2014

SPAD PERJELAS BIDANGKUASA APABILA MELIBATKAN KEMALANGAN PENGANGKUTAN AWAM


Apabila berlaku kemalangan jalanraya, agensi-agensi terlibat seperti PDRM dan MIROS menjalankan siasatan dan kajian mencari punca kemalangan. Agensi-agensi yang terlibat untuk menyiasat dan mengkaji seperti PDRM dan MIROS, seringkali mendapati kebanyakannya melibatkan faktor manusia.

Begitulah yang telah ditegaskan oleh Tan Sri Syed Hamid, Pengerusi SPAD yang menyarankan syarikat pengendali agar mementingkan pengambilan pemandu-pemandu bas yang bersih dari pengambilan dadah dan kesihatan yang sempurna. Segalanya perlu dilakukan sebelum sesebuah bas berlepas menuju destinasi.

Baru-baru ini setelah berlaku kemalangan demi kemalangan yang melibatkan pemanduan bas jarak jauh, seorang pemandu bas telah membuat pengakuan ikhlas bahawa beliau telah terlelap dan mengantuk.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Sa’adan Man juga telah membuat pendedahn, sebahagian pemandu tidak mempunyai pilihan selain menurut perintah majikan dan jika ingkar, mereka bakal berdepan tindakan tegas termasuk dipotong gaji atau dibuang kerja.

Kita juga dikejutkan juga apabila didedahkan pemandu-pemandu bas ini kadangkala terpaksa membawa bas selama 10 hari tanpa rehat kerana pihak syarikat pengendali kekurangan pemandu dan jadual kerja dibuat secara tangkap muat. Apabila jadual perjalanan terlalu ketat, pemandu-pemandu bas ini terpaksa memandu laju agar dapat menepati jadual yang ditetapkan syarikat pengusaha.

Ironinya, SPAD sentiasa dijadikan 'punching bag' setiap kali terjadi kemalangan pengangkutan awam dengan alasan terlalu longgar mengenakan syarat lesen syarikat pengendali dan tidak tegas mengambil tindakan.

Beberapa bidangkuasa yang disalahertikan masyarakat terhadap SPAD telah diperjelaskan Tan Sri Syed di mana punca kesalahan-kesalahan yang melibatkan pemandu pengangkutan awam perlu dipertanggunjawab oleh syarikat pengendali. Seandainya pemandu-pemandu pengangkutan awam ini telah dianiaya dengan memaksa bekerja lebih masa sehingga menyebabkan keadaan yang tidak selamat, mereka perlu membuat aduan kepada Kementerian yang terlibat dengan sumber tenaga kerja dan bukan SPAD.

Samada kebenaran bas dua tingkat dibenarkan bukan dalam bidangkuasa SPAD dan pihak Kementerian Pengangkutan telah pun membenarkan dan meluluskan struktur bas tersebut. Setelah semua pihak berkenaan seperti Puspakom meluluskannya, maka pihak SPAD yang akan memberi lesen kepada syarikat pengendali. Ini juga termasuk jumlah penumpang yang duduk dan berdiri ditentukan pihak JPJ.

Tindakan menggantung syarikat-syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan bukanlah penyelesaian kepada punca kemalangan. Namun tindakan SPAD menggantung lesen syarikat pengendali adalah untuk beri kesedaran agar syarikat-syarikat ini perlu beri perhatian serius terhadap pemandu-pemandu mereka terutama sebelum bas berlepas. Jangan menuding jari tetapi cuba perbaiki keadaan.

No comments: