
UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
 TIMBALAN PRESIDEN UMNO
  
 DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011
  19 OKTOBER 2010; PUKUL 8.00 MALAM;
 DEWAN MERDEKA, 
 PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
  
  YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita
  
  YB Sdr. Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda
  
  YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Puteri
  
 YB Naib-Naib Presiden UMNO
  
 YB Setiausaha Agung UMNO 
  
 Ahli-ahli Majlis Tertinggi
  
 Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
  
 Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian
  
 1. Marilah kita dahului dengan  sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaan-Nya  bagi membolehkan kita bersama-sama untuk menyempurnakan Majlis  Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2010 pada malam  ini.
  
 2. Inilah kemuncak pertemuan  para perwakilan daripada tiga sayap penting parti UMNO dari seluruh  pelusuk tanah air bagi menzahirkan suara akar umbi, yang mahu melihat  bangsa dimartabatkan, Islam didaulatkan, negara dipertahankan dan  perjuangan parti berkelangsungan. Inilah perhimpunan yang mewakili suara  rakyat – suara keramat. Inilah perhimpunan yang mempasakkan muafakat  perjuangan. 
  
 Pisang sesikat sayur sebelanga
 
Tanda muafakat makan bersama
 
 
 
Gunung yang tinggi sama didaki
 
Lurah yang dalam sama dituruni
 
 
 
Hati gajah sama dilapah
 
Hati kuman sama dicicah
 
 
 
Alang-alang menyeluk pekasam
 
Biar sampai ke pangkal lengan 
  
 3. Setahun yang lalu saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari membicarakan tentang kepentingan wahdah atau kesatuan dalam usaha kita untuk menggalas tuntutan perubahan. Kita mulakan langkah perubahan dengan wahdatul fikr  (kesatuan minda) untuk memahami aspirasi orang Melayu dan rakyat  seluruhnya, dalam suasana landskap politik yang sedang berubah; kita  perkukuhkan wahdatul qalb (kesatuan hati) untuk bersama-sama menghayati nilai politik luhur yang disanjung oleh rakyat; kita perteguhkan wahdatul amal (kesatuan tindakan) untuk melaksanakan gerakerja mendekati rakyat secara kolektif; dan kita bulatkan wahdatul hadaf  (kesatuan matlamat) untuk menjayakan hijrah jiwa dan sikap bagi  melahirkan para pejuang UMNO yang kukuh iman dan taqwanya, utuh nilai  moral dan etikanya.
  
 4. Alhamdulillah, hari ini UMNO  telah mula berubah. Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan  dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerakerja. Telah  berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan  parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru   pengurusan ekonomi pertiwi  dan kesedaran baru tentang hubungan kaum  melalui Barisan Nasional.
  
 5. Dalam nafas semangat kesatuan  dan perubahan ini juga, marilah kita menjengah kembali bagi menghayati  matlamat asal perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam perlembagaan  parti. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa “UMNO adalah sebuah  parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi  mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”. Ini  termasuklah (i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara; (ii)  mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan  Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan; (iii) menegak, mempertahan dan  mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip  kebebasan beragama; (iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan  sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta  memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat  Malaysia amnya; (v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu)  sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang  berteraskan Kebudayaan Melayu; dan (vi) mewujudkan kerjasama antara kaum  bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan  kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan  Bumiputera.
  
 6. Merenung kembali asas  penubuhan parti ini, akan membolehkan kita membuat penegasan semula, dan  mengingatkan ahli-ahli dan seluruh warga, khususnya generasi muda,  bahawa UMNO adalah sebuah wadah politik yang mempunyai prinsip  perjuangan dan idealisme yang murni, namun tetap pragmatik dalam  pendekatannya. Meskipun UMNO sebuah parti yang besar dan  bertunjang  kepada kebangsaan Melayu-Islam, namun sifat keadilan, akomodatif dan  inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau  agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu. 
  
 7. Ini berbeza dengan sikap  parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan.  Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit,  maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan,  merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti  masing-masing. Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar  warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.  Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang  sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi  pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa. Kepada  mereka kita ingatkan pesanan Pak Hamka:
  
 Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba
  
 8. Ada di kalangan mereka yang  segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka. Takut  kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru. Malah mereka  sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada  rakan baru berkata lain. Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam  banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja. Malah  mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan  bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi  sahabat, dipeluk rapat-rapat. Berlumba-lumba mereka membongkar  korpus-korpus perbendaharan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy– persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar; menggunakan kaedah sirr – merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan; serta prinsip maslahah siasah – melakukan sesuatu demi kepentingan politik.  Ada pula yang  sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah – berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam. 
  
 9. Mengapakah perkara ini boleh  terjadi? Apakah rakan-rakan baru mereka sudah berubah prinsip? Apakah  rakan-rakan baru ini sudah mula menyokong matlamat parti mereka? Apakah  rakan-rakan baru ini benar-benar ikhlas untuk bersahabat? Jawapannya  kita semua tahu – tidak sama sekali. Jauh panggang dari api. Rakan-rakan  baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dokong dahulu; masih tegar  menolak syariat Islam; masih kuat memusuhi negara Islam; masih alergik  dengan perkataan dakwah Islam; masih tebal faham sekularisme; masih  sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat. Tetapi  mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini?  Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah  segala-galanya. 
  
 10. Permainan politik ini tidak  akan membawa apa-apa keuntungan. Kuasa yang diperolehi cuma sedikit  sahaja. Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan  agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada  sokongan orang lain. Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti  yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh  melaksanakan cita-cita mereka. Parti itu menjadi lemah kerana penyokong  tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit,  mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh  perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna.  Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa.
  
 11. UMNO tidak begitu. UMNO  tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. UMNO tidak pernah tergelincir  daripada landasannya. Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam  pendekatan; tetapi ianya sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari  jasad dan sanubari UMNO. Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari  UMNO; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi  UMNO, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang  murni. 
  
 12. Kuasa tidak bermakna jika  jiwa perjuangan tercabut dari jasad dan sanubari parti. Apabila UMNO  menegaskan tentang kepentingan mempertahankan kuasa politik, ianya tidak  lain dan tidak bukan semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti.  Yakinlah, bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan  perjuangannya yang asal, yang difahami oleh keluarga besar Barisan  Nasional. Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana  terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi UMNO, mempertahankan  perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya, UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa.
  
 UMNO Cerita Kejayaan
  
 Saudara dan Saudari,
  
 13. Sepanjang usianya, UMNO  tidak pernah diam sebagai parti politik yang statik dan jumud. UMNO  telah melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah wadah  politik yang sentiasa relevan dengan semangat zaman dan citra rakyat.  Sebagai parti yang menerajui pemerintahan, UMNO telah berjaya membawa  Malaysia melalui pelbagai fasa pembangunan sosio-ekonomi yang telah  memberi manfaat besar kepada rakyat. Sejarah 53 tahun UMNO menerajui  negara sarat dengan bukti-bukti kejayaan. Dari segi pembangunan ekonomi,  Malaysia telah bangkit daripada sebuah negara bekas jajahan yang  berteraskan ekonomi pertanian untuk berdiri megah sebagai negara  perindustrian yang berkembang pesat. Kini, kita telah bersedia untuk  mengorak langkah menuju ke ambang negara maju. Bukankah ini satu  kejayaan? 
  
 14. Berkat kegigihan dan wawasan  jauh kepimpinan UMNO, Malaysia juga telah berjaya mengatasi masalah  kemiskinan tegar dan mewujudkan golongan kelas menengah yang besar.  Anak-anak desa yang dahulunya dibelenggu kemiskinan, kini menetap di  kota-kota besar dengan pendapatan yang lumayan. Anak-anak mereka hari  ini tidak lagi dibelenggu kemiskinan malah mendapat peluang pendidikan  dan ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang mereka terima  dahulu. Bukankah ini satu kejayaan? UMNO juga telah berjaya mengekalkan  kestabilan politik dan keharmonian kaum di Malaysia. Di beberapa buah  negara majmuk yang lain, konflik kaum mudah meletus dan biasanya  berakhir dengan pertumpahan darah. Namun, Alhamdulillah, berkat  kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional  dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan  agama sebagai sumber kekuatan, bukan kelemahan. Bukankah ini juga satu  kejayaan?
  
 15. Pencapaian ini bukanlah  ibarat “yang pipis datang melayang, yang  bulat datang bergolek”. Ianya  adalah hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan  negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar. Dalam sebuah negara  pelbagai kaum, tanggungjawab UMNO yang paling utama ialah untuk  memastikan formula politik yang diamalkan dapat menjamin kestabilan,  keamanan dan perpaduan yang berkekalan.
  
 Politik Melayu Inklusif
  
 16. Atas dasar ini, UMNO sejak  dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti  nasionalis Melayu yang inklusif. UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras  sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih. UMNO mengakui bahawa dalam sebuah  negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum  mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran  secara adil. Justeru itu, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan  memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan  kaum-kaum lain. Melalui Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Community Liaison Committe)  yang ditubuhkan sebelum merdeka, para pemimpin UMNO terdahulu, bersama  dengan pemimpin MCA dan MIC, telah berunding untuk menentukan hak dan  kedudukan kaum-kaum di negara ini selepas merdeka. Mereka berbincang  secara jujur dan telus dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai  kesepakatan dalam membina sebuah negara majmuk yang merdeka dan bersatu  padu. 
  
 17. Hasil daripada kesepakatan  inilah maka terbentuk terma-terma kemerdekaan yang menjamin kedudukan  istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain.  Terma-terma ini, yang dirujuk oleh Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad  Ibrahim sebagai “kontrak sosial dan perjanjian keamanan” antara kaum,  adalah hasil kesepakatan dan jiwa besar pemimpin-pemimpin terdahulu  untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif. Hak dan  kepentingan kaum diperjuangkan dalam kerangka kefahaman bahawa semua  kaum akan mendapat jaminan hak dan layanan yang adil dalam sebuah negara  yang merdeka. 
  
 18. Dalam konteks ini, politik  berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik  perkauman atau politik rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya  mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain.  Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika  ianya zalim kepada kaum lain. Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan  UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang  rasis. UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu  sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa yang  sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain. UMNO tidak pernah  membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja.  Pemimpin-pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat  ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan  kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk. 
  
 19. Ini berbeza sekali dengan  andaian pelbagai pihak luar dan dalam negara sejurus selepas merdeka,  yang telah meramalkan kehancuran negara kita akibat kepelbagaian kaum,  agama dan taraf ekonomi. Berkat kepemimpinan UMNO yang dinamik dan  toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya,  negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita telah mengalami dan masih  mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan  darah. Salah satu punca kejayaan kita ialah kita menyedari bahawa  kesejahteraan ekonomi memainkan peranan penting untuk menjamin keamanan.  Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO apabila mereka  mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru bagi memecahkan belenggu ekonomi  penjajah. DEB berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan  penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil.
  
 20. Berteraskan falsafah dan  nilai politik Melayu yang inklusif ini, UMNO telah mencipta kejayaan  besar dengan membawa negara kita keluar daripada belenggu ekonomi  kolonial yang mencengkam masyarakat pribumi, kepada ekonomi nasional  yang mementingkan pembangunan yang mapan dan pengagihan yang adil untuk  semua kaum. Sejak dari awal lagi, pemimpin UMNO mengakui bahawa kejayaan  Malaysia sebagai sebuah negara majmuk amat bergantung kepada kewujudan  satu model pembangunan ekonomi yang inklusif di mana semua kaum dapat  menikmati limpahan rahmat kemakmuran secara adil. Malah, pemenang  Anugerah Nobel, Joseph Stiglitz dalam bukunya “Making Globalization Work”  telah mengiktiraf bahawa kejayaan Malaysia mengekalkan keharmonian kaum  selama ini adalah hasil kewujudan model pembangunan ekonomi yang  komprehensif di mana semua kaum mendapat jaminan hak ekonomi yang adil. 
  
 21. Lantaran itu, kita tidak  perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan  Bumiputera. Sejarah menjadi saksi bahawa apabila UMNO memimpin, bukan  sahaja orang Melayu yang mendapat nikmat, malah semua kaum beroleh  manfaat. Kita juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti  bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan  tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana  kita berlaku adil kepada semua. Firman Allah s.w.t dalam surah  Al-Hujrat, Ayat 13:
  
 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا  خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا  وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ  أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ 
  
 Yang bermaksud: Wahai umat  manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan  perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku  puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan  yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang  yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau  bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam  PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
  
 22. Jelas dalam ayat ini manusia  itu secara fitrahnya dijadikan berbagai keturunan dan berbangsa-bangsa.  Tetapi ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban  kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah s.w.t. Dan sesungguhnya,  berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang-orang yang  beriman. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 8:
  
 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ  كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا  يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ  ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ  ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ (٨) 
  
 Yang bermaksud: Wahai  orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi  orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan  kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum  itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu  berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir  kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha  Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. 
  
 23. Alhamdulillah, berkat  wawasan kepimpinan UMNO selama ini, Malaysia bukan sahaja telah mengukir  sejarah sebagai negara yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum,  kestabilan politik dan keamanan negara, tetapi juga telah berada dalam  kelompok teratas dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi.  Hari ini, di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri,  Malaysia sedang tekun meletakkan asas-asas yang kukuh untuk melangkah ke  era baru kemajuan ekonomi, iaitu untuk muncul sebagai negara maju yang  berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Berdasarkan pencapaian inilah  rakyat telah memberikan mandat kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk  memerintah. Dengan mandat ini juga, UMNO telah berjaya meneruskan agenda  perjuangan politik inklusif yang menjadi kunci kepada kestabilan,  kemanan dan kemakmuran negara. 
  
 Memperkukuhkan Perpaduan 
  
 Saudara dan saudari,
  
 24. Cabaran yang dihadapi oleh  UMNO seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan  memperkukuhkan perpaduan. Kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah  kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan  politik. Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan  dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum. Walaupun secara umumnya  hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih  kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu  dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Sekiranya  tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam  kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang  dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis. 
  
 25. Debat perkauman dalam  masyarakat juga semakin merumitkan keadaan. Perdebatan tentang isu  perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar  sentimen perkauman. Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan  akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan,  kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina. Sanggupkah kita  menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah  perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan  bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
  
  
 26. Justeru, perasaan curiga  antara kaum mesti dibendung segera. Debat perkauman mesti dihentikan,  bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Jangan ada mana-mana kumpulan  yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak  yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam  Perlembagaan. Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah  meletakkan asas-asas bagi negara kita. Saya yakin dan percaya, bahawa  rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat  jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan  akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun. 
  
 27. Kepada orang Melayu dan  Bumiputera, saya menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan  terus mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera,  kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan  Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat  pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya. 
  
 28. Kepada kaum-kaum lain, UMNO  sebagai parti teras kenegaraan tetap mengormati hak kaum-kaum lain  sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah parti  politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO  selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO,  tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat  pembangunan dan kemajuan negara. 
  
 29. Saya sedar, ada pihak yang  menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum-kaum di negara ini. Mereka  hanya berjanji. Sedangkan UMNO telah mengotakan janji. Kita telah  buktikan selama ini bahawa di bawah teraju UMNO, semua kaum mendapat  jaminan hak yang adil. Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa  majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi,  di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama  mereka. Sebaliknya, di Malaysia, melalui UMNO, para pengasas negara kita  telah memilih dasar yang inklusif, yang menerima dan memberi layanan  yang adil kepada semua kaum. Inilah bukti keadilan dan keterangkuman  UMNO.
  
 Gagasan 1Malaysia
  
 30. Selaras dengan pendirian  inilah, kita menjunjung Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh YAB  Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada  semua wargenagara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan  Rukunegara. Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah  masyarakat majmuk yang bersatu padu. Dalam konteks ini, Gagasan  1Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum  yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima  kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Gagasan 1Malaysia yang  berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa  maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum, tetapi merupakan  satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan  masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang  murni. Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh YAB Presiden  ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke  hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu. 
  
 31. Kita juga sedar bahawa  perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia. Perpaduan  Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional.  Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk  itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa  Melayu dan umat Islam. UMNO akan berganding bahu dengan mana-mana  pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan  perpaduan, menyemarakkan syi’ar Islam dan memastikan kestabilan politik  terus terjamin. 
  
 Melangkah Ke Hadapan Dengan Keyakinan 
  
 32. Melangkah ke hadapan, orang  Melayu juga perlu mengatasi segala kelemahan yang ada. Manakala UMNO  tetap membela hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,   generasi Melayu dan Bumiputera hari ini dan masa hadapan tidak lagi  boleh bergantung semata-mata kepada jaminan politik dan perundangan  untuk maju. Ini kerana landskap politik dan ekonomi dunia sudah berubah.  Ledakan maklumat dan teknologi komunikasi telah meruntuhkan sempadan  politik dan ekonomi, dan menjadikan dunia semakin global. Dalam dunia  yang semakin kompetitif hari ini, kesejahteraan ekonomi, sosial dan  politik bangsa Melayu amat bergantung kepada kemampuan diri untuk  bersaing dalam dunia tanpa sempadan. Transformasi ekonomi yang lebih  terbuka bukanlah satu proses yang boleh diundur. Mahu tidak mahu, bangsa  Melayu perlu lebih dinamis dan bersedia untuk melakukan anjakan minda  yang signifikan. Bangsa Melayu mesti bermujahadah untuk meningkatkan  kemampuan diri. 
  
 33. Dalam menghadapi realiti  ekonomi berasaskan pengetahuan, yang dipacu oleh kekuatan modal insan,  pembinaan modal insan Melayu yang berilmu dan berkemahiran tinggi adalah  satu tuntutan. Gerakan kesedaran pendidikan di kalangan orang Melayu  dan Bumiputera mesti diperhebatkan. Hanya dengan pendidikan orang Melayu  dapat mengasah minda dan menggarap kemahiran untuk bersaing dalam dunia  yang semakin mencabar hari ini. Pembudayaan ilmu akan menjadi kunci  kepada kejayaan orang Melayu hari ini dan masa depan.
  
 34. Tindakan afirmatif akan  diteruskan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi  Ekonomi untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat  dalam proses transformasi negara ke arah menjadi negara berpendapatan  tinggi. UMNO tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk  memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera. UMNO tidak akan ragu dan  apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang  Melayu dan Bumiputera. Namun saya tegaskan bahawa dimensi baru dasar  tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan  dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan  sahaja akan dibantu. Begitu juga, peluang-peluang ekonomi akan terbuka  luas buat mereka yang gigih berusaha. Sebaliknya, tidak ada ruang buat  pengamal rent-seeking yang haloba untuk mengaut laba yang sementara. 
  
 35. Kita juga sedar bahawa  perubahan landskap politik telah meletakkan nilai dan etika politik di  suatu tempat yang amat disanjung tinggi oleh rakyat. Rakyat amat  berharap agar pemimpin dapat mengamalkan nilai-nilai politik luhur  seperti kejujuran, keihlasan, kebertanggungjawaban dan kesungguhan dalam  melaksanakan amanah kepemimpinan. Bahkan, masa depan sesuatu organisasi  politik akan ditentukan oleh sejauhmana nilai-nilai yang baik ini dapat  diamalkan oleh para pemimpin dan ahli-ahlinya. Justeru, selaras dengan  tekad kita untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan untuk  melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, marilah kita pupuk dan  suburkan nilai-nilai luhur ini dalam perjuangan politik kita, dan  marilah kita lahirkan pemimpin-pemimpin yang berketerampilan, beretika  dan berakhlak mulia. Saya pasti, jika setiap lapisan pemimpin dan ahli  UMNO menjunjung nilai-nilai murni ini, UMNO akan dipandang mulia dan  disanjung tinggi oleh rakyat. Ayuhlah:
  
 Kita junjung amanah kepemimpinan
 
Kita selusuri haluan perjuangan 
 
Kita tekad melakukan perubahan 
 
Kita bawa sinar harapan
 
 
 
Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
  
 Saudara dan saudari,
  
 37. Pergerakan Wanita, Pemuda  dan Puteri UMNO adalah sayap-sayap parti yang sentiasa setia kepada  perjuangan parti, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti.  Saudara dan saudari tidak pernah jemu menjulang panji-panji parti di  setiap medan perjuangan. Dalam setiap pilihanraya, dalam setiap program  parti, saudara dan saudari sentiasa menjadi jentera penggerak utama.  Pemuda dengan Jelajah One Malaysianya; Wanita dengan Jalinan Rakyatnya;  Puteri dengan Voguenya; kesemua program ini telah digerakkan di atas  kudrat dan iltizam saudara dan saudari. Untuk itu, tidak sempurna ucapan  saya jika saya tidak mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejituan  semangat dan daya juang saudara saudari sekalian. 
  
 37. Saya juga percaya, dengan  jumlah melebihi 2 juta orang, atau dua pertiga daripada ahli UMNO,  Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah sumber kekuatan parti yang  mesti diakui. Dengan jumlah sebesar ini, saudari dan saudari adalah masa  depan parti yang menjadi harapan rakyat. Justeru, di samping  melaksanakan tugas-tugas tradisi dan rutin dalam parti, saudara-saudari  mesti lebih agresif dalam mengisi harapan rakyat yang lebih besar. Ini  termasuklah harapan rakyat dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama,  kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga,  pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum. Memang benar, selama ini  saudara saudari telah melaksanakan sedikit sebanyak aktiviti dan bakti  dalam bidang-bidang tersebut. Begitu juga, memang benar, ini adalah  tanggungjawab kerajaan yang sedang pun dilaksanakan. Tetapi rakyat hari  ini mahukan sentuhan parti dalam bidang-bidang tersebut. Inilah yang  menyebabkan kita harus meningkatkan penglibatan sebagai pemimpin akar  umbi dalam bidang-bidang ini.
  
 Kad Skor
  
 38. Untuk memastikan sentuhan  parti dalam bidang-bidang ini dapat dirasai oleh masyarakat, maka ia  perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik. Lebih daripada  itu, ia perlu dinilai untuk memastikan impaknya yang sebenar. Oleh yang  demikian saya mencadangkan satu sistem Kad Skor diperkenalkan untuk  menilai prestasi setiap lapisan kepemimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda  dan Puteri. Kad Skor ini akan menilai keterlibatan dan prestasi saudara  saudari dalam bidang-bidang utama yang saya sebutkan tadi. 
  
 39. Dengan adanya Kad Skor ini,  setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing-masing untuk tempoh  dua tahun yang akan datang. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan  diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya.  Anggaplah  inisiatif ini sebagai salah satu daripada usaha ikhlas kita untuk  meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap  parti.
  
 40. Saya yakin sekiranya sistem  ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan menyaksikan satu lonjakan baru  dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerakerja saudara saudari. Saya  yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami  lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan yang positif. Dan  saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya! 
  
 41. Sesungguhnya, sayap-sayap  parti mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendokong  perjuangan parti. Lebih-lebih lagi, dalam suasana politik yang semakin  mencabar hari ini, peranan sayap-sayap parti menjadi lebih penting lagi.  Isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap UMNO  perlu segera ditangkis. Malah, sayap-sayap parti mesti sentiasa  berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan UMNO, dan membentuk  pandangan positif rakyat terhadap UMNO. Saudara saudari bukan sekadar  berada di barisan pertahanan, tetapi di barisan hadapan perjuangan  parti. 
  
 42. Tugas kita besar dan  cabarannya pun banyak. Pastinya, tugas besar ini boleh dilaksanakan  dengan mudah dan berkesan jika kita semua bersatu hati dan berpadu  tenaga dalam wadah yang utuh. 
  
 Kalau ke bukit sama mendaki 
 
Kalau ke laut sama berenang
 
Kalau kita bersatu hati
 
Kerja yang berat menjadi senang
  
 43. Justeru, saya menyeru kepada  saudara saudari supaya merapatkan saf dan memperkukuhkan sayap-sayap  parti. Jangan ada walau sekelumit perasaan amarah sesama kita. Jangan  ada walau sedikit perasaan iri yang membinasakan. Jangan ada walau  setitik perasaan dendam yang memusnahkan. 
  
 44. Yakinlah, bahawa saudara  saudari berada pada landasan perjuangan yang benar. Yakinlah bahawa  orang Melayu dan Bumiputera menaruh harapan yang tinggi kepada saudara  saudari sebagai pelopor perjuangan UMNO. Yakinlah dengan sumpah setia  kita bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangan  membela agama, bangsa dan negara. InsyaAllah, jika kita terus istiqamah  berada pada landasan perjuangan ini, kita akan sentiasa diberikan  kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menjulang misi perjuangan suci  UMNO.
  
 45. Marilah kita memperkukuhkan  kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan  amal dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci UMNO.  Marilah kita memberikan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk  menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan  keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada  YAB Presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat  perjuangan UMNO. 
  
 46. Saya menyeru saudara dan saudari: 
  
 Bangkitlah pertahankan parti! 
 Bangkitlah menjulang idealisme kita yang murni! 
 Bangkitlah memerangi segala fitnah dan pembohongan keji yang dilemparkan kepada parti! 
  
  
  
 47. Maralah ke barisan hadapan  perjuangan! Julanglah panji-panji parti dengan penuh kemegahan dan  keazaman! Jangan takut, jangan gentar. Allah bersama kita. La takhaf wa la tahzan, innaLlaha ma’ana. 
  
 48. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010.
  
 Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 
Sedikit sejarah pendidikan nik ajis untuk renungan:
Nik Aziz adalah seorang pelajar dalam bidang tafsir dan usuludin di sebuah pondok di Hyderabab. Pondok tersebut letaknya di Deo Band yang mana adalah dipengaruhi fahaman Wahabi. Fahaman Wahabi ini adalah adik kepada Khawarij yang mempunyai sikap “tidak Sabar”.
Apa itu wahabi dan apakah itu kawarij..
Amalan kaum Wahabi menurut hadith Kaum Wahabi dua kali menguasai Hijaz iaitu 1803-1813 dan dari 1924. Perubahan yang mereka lakukan ialah :
kawarij:
Secara umum, ajaran utama golongan Khawarij adalah:
Amalan mengkafirkan orang Islam lain ini dipanggil takfir. Mengikut tafsiran konvensional, hukum bagi mereka yang menjadi kafir (murtad) adalah bunuh. Melalui tafsiran inilah golongan Khawarij menghalalkan darah Ali dan Muawiyah untuk dibunuh. Pada zaman moden ini, terdapat kumpulan ekstrimis Islam yang mengguna pakai hukum takfir untuk membunuh mereka yang tidak berdosa termasuk orang Islam.
“Jika melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid,” kata Nik Aziz di dalam kuliahnya di masjid Kg Pulau Melaka.
Pada 3 Julai 1999 di Pengkalan Chepa, Nik Aziz berkata,“Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri-ciri kafir.
Kenyataan nik ajis bagi persoalan no 3 (kawarij):
Perarakan itu tidak ada di dalam sunnah Nabi dan ia satu bida'ah amalan turun menurun. Isunya, kalau ia bida'ah, kenapa apabila DAP yang haramkan baru ia dikatakan bida'ah?
Sila jelaskan? ....