Matikan Pakatan Rakyat dan tubuh Pakatan Harapan pula, itulah permainan politik pembangkang. Di Selangor Pakatan Rakyat masih hidup tapi di Malaysia, sudah pupus dan timbul pula Pakatan Harapan tanpa PAS tetapi diwakili pakatan serpihan PAS.
Tidak akan siapa boleh terima permainan demi permainan yang dilakukan Pakatan Pembangkang ini. Maka Datuk Wee Ka Siong mengajak semua rakyat menilai prinsip pemimpin-pemimpin pembangkang ini.
Aneh lagi ganjil, itulah yang dikatakan Datuk Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA yang melihat permainan politik pembangkang ibarat perkahwinan yang hampir berkecai dan sebelum melafazkan talaq tetapi telah mengajak orang lain untuk duduk serumah.
Congak pembangkang ini mudah, apabila rasa tergugat dan terancam, demi gilakan kuasa, jika mereka rasakan perlu bersatu... mereka akan bersatu.
Datuk Wee ingin rakyat buka mata dan menilai seperti yang terjadi di Selangor khususnya. Ketua Pembangkang, Wan Azizah telah mengumumkan terkuburnya Pakatan Rakyat dan beliau juga mengumumkan lahirnya Pakatan Harapan. Dengan kata lain, Pakatan Harapan adalah pakatan di antara DAP, PKR dan parti serpihan PAS, Amanah.
Tetapi, jika Pakatan Harapan tidak mengiktiraf PAS di dalam kelompok mereka, apa perlunya PAS bersama-sama mentadbir kerajaan negeri Selangor? Mengapa Ketua Pembangkang tidak umumkan pembubaran Pakatan Rakyat di Selangor? Apakah Pakatan Harapan tidak akan wujud di Selangor? Apakah ada beza antara Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan di Selangor?
Lebih pelik, ada wakil rakyat PAS di Selangor yang telah keluar dari PAS dan menyertai parti Amanah walaupun masih belum disahkan pendaftarannya.
Sebenarnya, itulah pembangkang. Bila suka... bila rasa diperlukan... mereka akan bekerjasama tetapi bila rasa tidak boleh duduk semeja, prinsip dan pendirian setiakawan digadaikan. Semuanya adalah kerana ingin terus berkuasa walaupun terpaksa memperbodohkan rakyat.
Bagi MCA Selangor pula, 3 perkara yang DAP perlu lakukan jika benar-benar telah memutuskan hubungan dengan PAS;
Pertama, lepaskan kerusi DUN Selangor atau desak Menteri Besar supaya gugurkan kesemua Exco PAS dari pentadbiran negeri. Jika ini tidak mampu dilakukan, Exco DAP bolehlah letak jawatan untuk menunjukkan DAP sememangnya tidak ada apa-apa hubungan dengan PAS. Jika DAP gagal dalam tindakan kedua-duanya, PAS dengan mudah mengusulkan enakmen hudud nanti.
Kedua, DAP perlu menuntut pendirian PKR ke atas hubungannya dengan DAP, dan jika gagal, DAP seharusnya menolak kerjasama dengan PKR. Ini adalah kerana jika DAP terus menjadi rakan sekutu PKR di mana mereka sanggup bekerjasama dengan PAS, DAP juga sebenarnya secara tidak langsung masih mengekalkan kerjasama dengan PAS. Oleh itu, Pakatan Harapan sebenarnya adalah untuk sembunyikan kerjasama DAP dan PAS agar enakmen hudud dapat dilaksanakan.
Ketiga, di dalam kenyataan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau secara terbuka mempelawa PAS untuk menyertai Pakatan Harapan. Seharusnya DAP beri kata dua kepada Dr Wan Azizah, apabila PAS enggan menyertai PH, tawaran itu dengan sendirinya telah ditutup, jika tidak DAP sendiri yang perlu undur dari PH untuk menunjukkan yang pendirian mereka untuk memutuskan hubungan dengan PAS adalah tidak menipu, daripada memberi harapan yang nama baru pakatan pembangkang hanyalah wayang untuk sembunyikan hubungan dengan PAS.
Inilah yang dimaksudkan Datuk Wee Ka Siong, wujudnya Pakatan Harapan yang aneh lagi ganjil. Namun, wayang yang sedang mereka lakonkan, tidak susah untuk kita ketahui plot sebenarnya. Maka, terpulanglah kepada rakyat Selangor khasnya dan rakyat Malaysia umumnya untuk melihat, menilai dan seterusnya kita harus menolak drama kotor lagi songsang politik pembangkang yang hanya mementingkan untuk berkuasa sahaja.
Benarlah yang dipersoalkan Datuk Wee, di mana harapannya apabila dengan terang rakyat telah dihilangkan.