Monday, September 21, 2015

JENAMA 'TEKS1M' SEPENUHNYA DI JALANRAYA MENJELANG 2019



Rakyat Malaysia pasti akan berbangga apabila di jalanraya terutama di bandar-bandaraya apabila tiada lagi teksi-teksi lama yang fizikalnya seperti besi buruk dan keadaan teksi yang tidak stabil untuk dipandu dan tidak selesa untuk naiki.

Adalah menjadi hasrat pihak SPAD untuk melihat menjelang 2019, kesemua teksi di negara ini membawa jenama 'TEKS1M' dengan berwajah fizikal yang menarik dan mantap serta dilengkapi dengan alat-alat teknologi canggih dan aplikasi muat-turun telefon pintar. Tetapi kesemua itu tidak memadai untuk mencapai taraf teksi setanding di negara-negara maju.

Di Semenanjung Malaysia terdapat lebih kurang 60,000 teksi dan di sekitar Lembah Kelang sahaja sebanyak 37,000 teksi berada di jalanraya. SPAD juga telah mensasarkan 10,000 teksi untuk ditukarkan ke jenama TEKS1M. Setakat ini, sebanyak 2,000 teksi lama telah ditukarkan ke model TEKS1M sejak diperkenalkan pada tahun 2013.

Namun, memandangkan had 10 tahun bagi setiap permit teksi bajet, teksi-teksi lama ini akan sepenuhnya diganti menjelang akhir tahun 2024.

TEKS1M bukan sekadar jenama dengan fizikal kereta yang lebih menarik, malahan setiap pemandu yang membawa jenama ini telah menjalani kursus latihan pemanduan berhemah dan sistem operasi teksi juga telah ditingkatkan mutunya.

Bagi Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, walaupun SPAD mensasarkan menjelang 2019, teksi-teksi yang berusia lebih dari 10 tahun tidak akan lagi dibenarkan beroperasi, namun yang lebih penting adalah sikap pemandu-pemandu teksi itu sendiri. Mereka seharusnya mementingkan displin dan mengutamakan kehendak pelanggan dan beriltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Itulah transformasi industri teksi sebenar yang dikehendaki SPAD bagi setiap pemilik jenama TEKS1M.

Setakat ini hanya Toyota Innova dan Proton Exora sahaja telah dibenarkan membawa jenama TEKS1M di mana kedua-duanya merupakan kenderaan pelbagai guna yang memenuhi kriterianya terutama keluasan fizikal yang mampu memenuhi kehendak pelancong-pelancong dari luar negara seperti negara Arab dan Eropah yang berbadan besar dengan bagasi yang banyak.

Pihak SPAD juga tidak menolak untuk menimbangkan 2 perkara bagi mencapai sasaran 2019 di mana model kereta lain juga akan digunakan untuk TEKS1M serta model kereta sedan yang lebih kecil. Ia akan mampu menarik lebih pemandu teksi membeli dengan harga yang lebih murah daripada Innova dan Exora. Di antara kereta yang disebut-sebut adalah Proton Persona dan Proton Saga.

Lebih banyak model kereta di bawah TEKS1M akan dilancarkan bagi mempercepatkan migrasi teksi lama ke teksi baru dan di dalam masa terdekat, pihak SPAD akan melancarkan beberapa model-model kereta yang pasti ia dari jenama kereta tempatan.

No comments:

Post a Comment