Wednesday, February 26, 2014

KRISIS AIR DI SELANGOR : KERAJAAN PAKATAN SELANGOR MENIPU!

Hak Rakyat? Khalid.. DAP, PKR, PAS tipu rakyat Selangor

Krisis air di Selangor bukannya berlaku secara tiba-tiba dan tanpa sebarang petanda. Sejak 2010 lagi kerajaan negeri telah diberi amaran oleh pakar akan terjadinya masalah air yang meruncing dalam beberapa tahun akan datang.
 
Malah, lebih dari itu, jalan penyelesaiannya telah pun dikaji dan dirancang jauh lebih awal dan hanya menunggu perlaksanaan sahaja.
 
Namun, malang bagi rakyat Selangor kerana telah memilih kerajaan dari parti yang lebih mementingkan politik dari pengurusan negeri dan rakyat.  Ketika amaran, kajian dan perancangan dibentangkan, kerajaan negeri menuduh ia hanya sebahagian dari mainan politik UMNO.  Kononnya, projek Langat 2 yang dicadangkan oleh kerajaan pusat untuk menangani masalah bekalan air adalah berunsur kronisme dan bakal menyebabkan tariff air meningkat.
 
Sedangkan hakikatnya, Loji Langat 2 tiada kena mengena dengan tariff air kerana ia merupakan projek kerajaan pusat untuk kesejahteraan rakyat Selangor.
 
Kerajaan PR Selangor juga sebelum ini mendabik dada sebagai lebih arif tentang bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan tanpa perlu merujuk kepada rancangan awal oleh kerajaan BN terdahulu mahupun kerajaan pusat, ataupun syarikat bekalan air yang dikatakan kroni UMNO.
 
Kononnya, kerajaan PR mampu mencari kaedah lain yang lebih murah dan praktikal. Sedangkan hakikatnya, kerajaan pusat telah pun membina laluan air dari sungai Pahang ke Selangor dan kerajaan negeri hanya perlu membina Loji Langat 2 sahaja.  Tentu sahaja kaedah ini sudah cukup murah.
 
Namun, ia tetap ditolak oleh PR dengan berbagai-bagai alasan politik.  Kini, setelah semakin lama pembinaan ditangguhkan, tentulah semakin meningkat kosnya.
 
Jika diimbas kembali sejak beberapa tahun dahulu, begitu banyak sekali ‘konon-konon’ yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor bagi menepis isu air.
 
Selangor pernah mengumumkan yang kononnya kerajaan negeri akan memproses air lombong bagi menampung keperluan rakyat di mana harganya lebih murah berbanding Loji Langat 2.
 
Memetik sumber dari The Star pada 16 Februari 2012, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, “kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.  Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020."
 
Dalam satu kenyataan media dalam Selangorku.com, pada 21 Oktober 2012,  Tan Sri Khalid Ibrahim siap memberikan bukti kononnya Selangor tidak akan berhadapan dengan masalah air dalam masa terdekat berdasarkan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat sebanyak 55.43 peratus kepada 127.49 meter padu. 
 
Beliau kemudian berkata, “Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.”
 
Tahun demi tahun berlalu, peringatan demi peringatan diberikan namun kerajaan negeri Selangor terus-terusan menafi yang krisis air akan berlaku dan  kadangkala mengaku pula ia akan berlaku tetapi tiada apa perlu dirisaukan kerana ‘kononnya’ kerajaan negeri mempunyai teknologi terkini yang lebih baik dan lebih murah untuk menangani krisis itu.
 
Akhirnya, 2014 pun tiba dan masih tiada apa-apa penyelesaian yang dicapai oleh kerajaan negeri.  Akibatnya beribu-ribu rakyat Selangor kini terpaksa menanggung sengsara ketiadaan air sehingga berminggu-minggu.
 
Pun begitu, kerajaan PR Selangor masih lagi enggan mengaku kebodohan dan kesilapan sendiri tetapi terus menerus menipu dengan menyalahkan syarikat bekalan air, kalau pun tidak menuduh krisis ini sebagai sabotaj dari kerajaan UMNO.  Hatta, sehingga ke hari ini juga, kita melihat kenyataan Menteri Besar Selangor terus menerus bersifat menipu kononnya bekalan air mencukupi sehingga 5 bulan lagi dengan cuba menyalahkan pihak syarikat bekalan air.
 
Hakikatnya, syarikat bekalan air hanya menyediakan khidmat rawatan dan pengedaran, tetapi masalah ketiadaan air adalah tanggungjawab kerajaan negeri.  Dengan kedegilan kerajaan negeri menerima bekalan dari Pahang melalui Loji Langat 2, maka mereka perlu mencari alternatif lain bagi memastikan bekalan mencukupi.  Di mana proses air lombong yang dijanjikan?   Di mana proses pembenihan awan atau apa saja yang kononnya mampu difikirkan? 
 
Jelaslah bahawa semuanya tipu belaka! 
 
Mungkin parti PR telah terlalu biasa hidup dengan cara menipu.  Oleh itu, walaupun telah menjadi kerajaan, mereka masih lagi membawa sikap menipu dan enggan bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku ke atas negeri dan rakyat di bawah pemerintahan mereka.
 
Persoalannya, selama mana sebuah kerajaan negeri boleh bertahan dengan cara menipu? Apapun, terpulanglah kepada rakyat Selangor sendiri untuk menentukannya.

No comments:

Post a Comment