Tuesday, February 25, 2014

KENDERAAN BERAT YANG UZUR MASIH BERADA DI JALANRAYA

Kemalangan di Rawang

Bayangkan kenderaan berat seperti lori dan traler melalui jalan-jalanraya samada di jalan persekutuan, lebuhraya dan juga jalan-jalan kampung berada di dalam keadaan yang uzur. Yang pasti, kenderaan sedemikian tidak akan diselenggara dengan baik di mana keadaan enjin yang tidak diservis, mungkin 'brake' tidak berfungsi dan badan kenderaan tersebut dibiarkan rosak.

Kenderaan-kenderaan berat ini selalunya membawa bahan-bahan atau barang-barang berat seperti kayu balak, tanah dan pasir, batu dan mungkin juga besi-besi panjang.

Kita sering melihat kebanyakan kemalangan yang melibatkan lori atau traler adalah berpunca dari keuzuran kenderaan tersebut.

Baru-baru ini, Pengerusi SPAD telah membuat kenyataan bahawa 40 peratus kenderaan berat yang beroperasi di atas jalan raya di negara ini dikategorikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai kenderaan lama dan uzur.

Lebih memburukkan keadaan, 83 peratus kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan pada tahun 2012 adalah disebabkan oleh kenderaan-kenderaan berat ini, di mana sebilangannya turut melibatkan kenderaan lama yang disebutkan tadi manakala 18.7 peratus pula adalah lori.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan bahawa agak sukar untuk ‘mengarahkan’ syarikat-syarikat yang memiliki kenderaan berat termasuk lori lama dan uzur itu menukar kenderaan mereka, namun usaha-usaha ke arah itu sedang giat dijalankan.

Rakyat perlu berterimakasih kepada pihak SPAD dengan pendedahan sedemikian kerana memang benar kebanyakan kemalangan jalanraya terutama di lebuh-lebuhraya melibatkan kenderaan-kenderaan berat. Jika kemalangan tersebut berlaku, yang pasti mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesesakan lalulintas yang melampau kerana selain kenderaan itu berat, ia juga membawa bahan-bahan dalam kuantiti yang banyak.

Seandainya pihak SPAD mengambil tindakan yang lebih ketat terhadap kenderaan berat yang uzur ini, ia hanya untuk memastikan keselamatan rakyat di jalan raya diutamakan.

No comments:

Post a Comment