Monday, February 12, 2018

TIRU MACAM BN TAPI BLOK PEMBANGKANG TETAP GAGAL. KENAPA?


Telah nyata lagi jelas, idaman blok pembangkang adalah menubuhkan satu pakatan yang serupa dengan Barisan Nasional kerana pakatan ini telah berjaya menguasai pemerintahan negara tanpa gagal sejak ia ditubuhkan. Namun, pakatan yang ingin ditubuhkan parti-parti pembangkang sentiasa berakhir dengan kegagalan dan perpecahan.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkongsi rahsia Barisan Nasional yang kekal bersatu dalam erti kata sebenar dari dulu sehingga kini. 13 komponen parti dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah melalui satu proses perjalanan yang sangat lama untuk menjadi sebuah barisan yang mantap sehinggakan muafakat mereka menjadi idaman blok pembangkang.

Mungkin bagi pihak pembangkang, jika 13 parti politik mampu diurusakan dalam Barisan Nasional, inikan pula jika mereka bergabung dengan hanya 4 atau 5 parti politik sahaja. Blok pembangkang boleh dikatakan sangat berjaya ketika 3 parti terkuat pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR bergabung di bawah Pakatan Rakyat. Tidak siapa mampu menafikan ini.

Pakatan Rakyat telah mampu menumpaskan Barisan Nasional di beberapa negeri di dua pilihanraya umum lalu. Walaupun mereka mampu kekal sebagai pentadbir negeri-negeri tersebut pada PRU13, namun idaman mereka mengusai negara juga kekal gagal. Di manakah letaknya kegagalan mereka?

Setelah keputusan PRU13, DAP adalah pemenang sebenar di antara ketiga-tiga ahli Pakatan Rakyat apabila memperolehi kerusi parlimen terbanyak. Justeru, DAP yang terkenal kerana kiasu, mereka sentiasa mendesak sebagai 'taiko' dalam PR dan merekalah yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PAS dan membubarkan Pakatan Rakyat.

Walaubagaimanapun, pentadbiran Selangor yang diterajui PKR, mengekalkan PAS didalam pentadbiran mereka dan di mata kasarnya Pakatan Rakyat masih wujud di negeri ini. Perbalahan cuba dielak di antara DAP, PKR dan PAS di Selangor, namun pakatan pembangkang ini menjadi lebih parah dengan adanya PAN, parti serpihan PAS yang dibiaya DAP.

Kini, wujud pula parti serpihan baru dari UMNO yang diterajui Dr Mahathir dan Muhyiddin yang akhirnya menyertai Pakatan Harapan. Dari awal lagi, PPBM menjadi isu kontroversi kerana peranan mereka dilihat sebagai sekadar ingin mengambil kesempatan kerana parti baru ini telah gagal melemahkan UMNO walaupun dengan adanya Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Kegagalan Pakatan Harapan dengan kehadiran PPBM serta perbalahan di antara PKR dan DAP telah dibuktikan ketika pilihanraya negeri Sarawak dan pilihanraya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar walaupun Dr Mahathir dan PPBM telah mula menjinakkan diri berkempen untuk mereka.

Konon bersatu di atas pentas tetapi bercelaru dan berkelahi di belakang tabir, mereka masih tidak sepakat walaupun sekadar untuk memilih logo. Segala keputusan yang diambil adalah dalam keadaan terpaksa dan terdesak sehinggalah memilih barisan tertinggi dan calon Perdana Menteri.
Maka, inilah pesanan Tan Sri Annuar Musa, "Kalau kita tadbir parti kita yang kecil dan baharu ini pun payah, jangan kita cuba gambarkan mentadbir negara ini mudah, 'it is not easy', tiada jalan pintas. Sebab itu kita mahu rakyat berfikir bukan atas asas isu dan sentimen dan kita yakin rakyat Malaysia para pengundi mempunyai kebijaksanaan (untuk memilih parti yang akan mengemudi kerajaan)."

Sekiranya masih ingin menjadi seperti Barisan Nasional, meniru bukan pilihan yang bijak bagi blok pembangkang walaupun ia adalah pilihan terbaik. DAP dengan fahaman Malaysian Malaysia yang tidak mungkin bertoleransi jika Melayu adalah ketuanya, PKR yang hanya mementingkan keluarga Anwar Ibrahim sepertimana PPBM yang dikuasai telunjuk Dr Mahathir dan PAN yang dibawah arahan DAP, apakah mereka mungkin mampu bertahan lama?

No comments:

Post a Comment