Saturday, February 17, 2018

PIHAK SPAD TINGKATKAN KEMPEN PENGUATKUASAAN SEMPENA TAHUN BARU CINA NANTI


Kini cuti panjang untuk rakyat Malaysia sekali lagi kembali untuk Tahun Baru Cina. Maka ramai akan ambil kesempatan samada balik kampung, bercuti-cuti dan juga meraikan perayaan tahunan bangsa Tionghua ini dan jalanraya pasti akan sesak.

Oleh itu, bagi mengelakkan kemalangan, pihak SPAD mengambil langkah pro-aktif dengan meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan sebelum, ketika dan selepas cuti Tahun Baru Cina. Langkah ini akan bermula pada 9 Februari selama 17 hari dengan kerjasama pihak PDRM,  Agensi Anti-Dadah Kebangsaan serta Penguatkuasa Lebuhraya.

Di antara lain, pihak SPAD juga akan membuat langkah pemantauan di terminal utama bas dan rel dan pemeriksaan 24 jam dari 14, 15 dan 18 Februari, di mana ketika perjalanan pengangkutan awam berada pada tahap kemuncak yang tertinggi. Di antara aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran dan rondaan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi serta termasuk juga perangkap had laju dan pengawasan melalui CCTV di Pusat Lebuhraya.

Pihak penguatkuasaan SPAD sebenarnya telah memulakan pemeriksaan di kaunter tiket dan memeriksa dokumen perjalanan di terminal-terminal bas. Sebelum itu, satu pekeliling telah dikeluarkan kepada syarikat bas ekspres di seluruh negara untuk mengingatkan mereka memasti dan memberikan keutamaan aspek keselamatan.

Pihak SPAD mengingatkan mereka agar mematuhi ICOP (Industrial Code of Practice) dan tidak kompromi dengan peraturan keselamatan pada setiap masa. Justeru, tindakan dan undang-undang yang ketat akan dikenakan ke atas pesalah samada pemandunya mahupun syarikat pengendali. Tindakan termasuklah lesen pemandu dan lesen syariakt pengendali akan digantung atau dibatalkan.

Bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terganggu terutamanya pada musim cuti perayaan ini, pihak SPAD telah meluluskan permohonan LPS (Temporary Variation Licence) dari 108 syarikat untuk tambahan 313 bas.

Penumpang pula dinasihatkan membeli tiket mereka di kaunter yang sah, melalui mesin vending tiket atau melalui talian. Jangan sekali-kali termakan dengan pujuk rayu dari ulat tiket yang gemar berkeliaran mencari mangsanya.

Pada masa yang sama, penumpang juga boleh membuat aduan mereka ke atas pemandu dan syarikat pengendali yang cuai di atas talian SPAD seperti berikut; hotline SPAD-24 jam di 1-800-88-7723, email di aduan@spad.gov.my atau tweet aduan mereka ke @aduanSPAD. Kita juga dialu-alukan memuat-turun aplikasi MeterOn untuk telefon pintar untuk menjejaki perjalanan mereka melalui GPS, maklumat pengendali bas ekspress, rekod kelajuan kenderaan dan membuat laporan langsung kepada SPAD.

Yang pasti, keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan SPAD dan kini rakyat Malaysia akan lebih yakin mengguna pengangkutan awam darat kerana mengetahui mereka sentiasa diberi perhatian penuh dan ketika berada di jalanraya, kenderaan yang mereka naiki juga diawasi rapi.

No comments:

Post a Comment