Wednesday, February 07, 2018

MENYEKAT BERITA PALSU NAMPAKNYA BUKAN BERITA BAIK UNTUK KIT SIANG


Mengkritik kerajaan dan parti yang memerintah adalah tugas utama pihak pembangkang tetapi jika dilihat trend mereka hari ini, standard kritikan mereka tidak langsung menggambarkan mentaliti pembangkang yang diharapkan rakyat. Jelas sekali kritikan mereka berasaskan maklumat tidak benar dan ditambah pembangkang dengan pelbagai rekaan hanya untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

Rakyat kini telah menyedari yang blok pembangkang telah berjaya mendapat kejayaan terbaik di dua pilihanraya lalu adalah semata-mata kerana propaganda mereka dan segala bentuk berita-berita palsu rekaan mereka. Ditambah pula, kini platform untuk menyebar berita palsu terbentang luas di media sosial yang tiada batasannya dan pengawasan.

Walaupun blok pembangkang telah berjaya merampas Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, mereka kekal melemparkan pelbagai tuduhan palsu kepada Barisan Nasional dan kepimpinannya. Di sebalik kejayaan mereka menguasai 4 negeri, mereka sebenarnya kekal kecewa kerana terpaksa menghampakan penyokong-penyokong yang telah diberi harapan palsu untuk menguasai Putrajaya. Justeru, pembangkang meneruskan hasutan agar rakyat menentang proses demokrasi.

Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan apabila Lim Kit Siang adalah orang pertama yang menentang usaha kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi mengekang berita palsu. Apakah beliau bimbang yang pembangkang tidak boleh lagi berbuat demikian pada PRU-14 nanti?

Tindakan Kit Siang ini seolah-olah menyokong pula penyebaran berita palsu dan tanpa disedari, beliau mengakui yang ini adalah senjata pembangkang yang terbaik untuk mengganggu proses pengundian di saat akhir. Melainkan strategi kotor ini untuk berkempen untuk PRU14 akan datang sangat berkesan untuk kemenangan mereka, maka mengapa Kit Siang sangat bimbang tentang undang-undang baru yang menyekat berita palsu?

Inilah yang telah dipersoalkan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa. Walaupun DAP dan Kit Siang tidak pernah setuju apa saja yang dilakukan kerajaan, namun menentang sebaran berita palsu seharusnya disokong jika mereka benar-benar inginkan proses demokrasi yang telus dan demi keharmonian rakyat dan lebih penting untuk selamatkan rakyat dari terjebak dengan kesilapan menentukan masa depan mereka.

Mereka dan penyebaran berita palsu yang dibuat adalah sememangnya dengan niat yang tidak baik dan tidak beretika. Malah sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa dan termasuklah Kit Siang sendiri. Apabila ada pemimpin Barisan Nasional yang menyebar berita yang tidak benar mengenai beliau dan DAP, mengapa dengan pantas beliau ugut untuk ambil tindakan mahkamah?

Apa yang perlu Kit Siang takutkan kalau segala apa yang dia katakan adalah benar?

No comments:

Post a Comment