Monday, January 15, 2018

APABILA DATUK WEE KA SIONG DEDAHKAN SYARIKAT FESYEN DIBERI PROJEK RM6.3 BILION, UNTUK APA?


Jika dilihat kepada kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir DAP dan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menterinya, cara mereka kendalikan projek mega terowong bawah tanah yang bernilai RM6.3 bil, sememangnya dari awal lagi penuh dengan tipu muslihat. Projek mega ini telah tutup tamat tempoh kemuka  cadangan pada Jun 2012 dan sebelum PRU13 di bulan Mei, Guan Eng menggunakan projek mega ini untuk berkempen.

Apabila Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong melemparkan persoalan mengapa Guan Eng dan Kerajaan DAP Pulau Pinang memberikan projek bernilai berbilion ringgit untuk membuat terowong ini kepada sebuah syarikat yang hanya mempunyai track record dalam industri fesyen pakaian wanita dan lelaki, kita perlu imbas kembali apa hubungan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBSB) dengan Pengerusinya yang juga adalah pemilik Voir serta mengapa ia perlu diketahui rakyat terutamanya di Pulau Pinang.

Secara rasminya, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBSB) telah diberikan projek semahal RM6.3 bil tetapi ada beberapa isu kontroversi sejak awal lagi telah dikesan. Didapati CZBSB hanya didaftar pada bulan Julai 2012 setelah diumumkan pada bulan Jun 2012 dan syarikat ini ditubuhkan dengan modal berbayar sebanyak RM2.00. Ini bermakna, Guan Eng telah berikan projek kepada syarikat yang tidak wujud ketika mengumumkannya.

Kemudian, carian dari internet mendapati Pengerusi CZBSB Zarul Ahmad Mohamad Zulkifli ialah seorang yang mempunyai rekod jenayah yang terlibat dengan penipuan memberi pinjaman. Beliau mengaku bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan dengan melampaui had mereka dan juga  meluluskan pinjaman RM126, 876,705 ketika berkhidmat di Rakyat Merchant Bankers Berhad (RMB).

Zarul sendiri telah mengaku bersalah kerana telah memindahkan wang sebanyak RM67.5 juta kepada pelanggan RMB selepas satu lagi pertuduhan ke atas beliau dan dua rakan kerjanya yang melibatkan meluluskan RM126, 876,705 pinjaman tanpa kebenaran bank. Dengan kata lain, kini Guan Eng sedang berurusan dengan seorang yang pernah mengkhianati amanah bank yang diberikan kepadanya untuk menguruskan hal ehwal kewangan projek kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kemudian beberapa lagi kontroversi melanda projek mega Pulau Pinang ini apabila didapati tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kerja Raya sedangkan Guan Eng telah gembar-gemburkan segalanya telah berjalan lancar. Lebih pelik dan menjadi persoalannya, kerajaan Pulau Pinang telah membayar sebanyak RM377 juta hanya untuk sebuah laporan yang tidak mendapat kelulusan kementerian.

Minggu lepas pula SPRM telah menyerbu 3 anak syarikat Zenith iaitu Ewein Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan pejabat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd di Pulau Pinang bersama-sama 4 agensi kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Jabatan Kerja Raya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Hasil dan Galian Negeri dan Jabatan Penilaian dan Hartanah. Difahamkan siasatan besar-besar SPRM ini melibatkan penyerahan tanah.

Di dalam kenyataan rasminya, Datuk Wee Ka Siong juga mengingatkan semula jawapan Guan Eng apabila CZBSB yang dikritik hebat kerana didapati tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengalaman, jawapannya, Guan Eng telah mengumumkan 2 syarikat gergasi dari China telah bersetuju melabur dan kini adalah salah satu dari pemegang saham. Syarikat dari negara China ini berpengalaman dalam pembinaan dan mempunyai modal berbayar sebanyak RM4.6 bilion.

Tetapi apabila dibuat siasatan dan penyelidikan, syarikat dari negara China ini tidak langsung timbul sebagai pemegang saham SPV (Special Purpose Vehicle). Paling mengejutkan 39% dari saham SPV ini adalah milik VOIR Holdings yang juga dipengerusikan Zarul Ahmad Mohamad Zulkifli yang mempunyai rekod jenayah.

Tidak salah jika sesebuah syarikat ingin mempelbagaikan perniagaannya tetapi apa yang Datuk Wee ingin ketengahkan adalah mengapa ia tidak diumumkan secara rasmi mengenai penukaran saham dari syarikat gergasi Cina kepada syarikat fesyen? Adakah ini juga merupakan alasan Guan Eng dan kerajaan DAP Penang tidak membuat tawaran terbuka? Justeru, apakah projek mega yang kononnya telah melalui proses 'Request for Proposal' dan pertukaran pemegang saham telah terbatal dengan sendirinya?

Terlalu banyak muslihat yang telah dan sedang dilakukan Guan Eng dan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam projek mega terowong ini. Maka, seharusnya SPRM membuat siasatan dan merungkai segala muslihat mereka agar rakyat Pulau Pinang khususnya tidak lagi dipermainkan dengan segala bentuk pembohongan mereka.

Telah terlalu lama Guan Eng dan DAP bermain wayang di Pulau Pinang, kini tiba masanya untuk ditamatkan.

No comments:

Post a Comment