Gejala rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam serta warga kerja agensi-agensi kerajaan, jika tidak dibendung dan ditangani dengan berkesan, ia ibarat satu barah yang mampu merosakkan pentadbiran kerajaan dan melumpuhkan ekonomi negara. Dengan itu, untuk menangani gejala rasuah, satu inisiatif diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih mempunyai budaya kerja dengan nilai murni seperti kejujuran, disiplin, ketelusan, integriti serta amanah.
Bagi mendukung usaha SPRM memerangi rasuah dan membuktikan komitmen dalam menghindarinya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengadakan Majlis Menandatangi Perjanjian Ikrar Bebas Rasuah di ibu pejabat SPAD dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAD, En Azharuddin Mat Sah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Pn. Qamar, Ketua Pegawai Operasi SPAD dan diikuti seramai kira-kira 300 pegawai dan kakitangan SPAD sambil disaksikan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM, Dato' Junipah Wandi.
Lafaz serta tandatangan IBR ini juga menunjukkan keterbukaan dan sifat tanggungjawab yang dipamerkan oleh kepimpinan dan warga SPAD dalam usaha memerangi dan membanteras rasuah dan memastikan organisasi ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa. Ia sebagai amanah dan tugas yang perlu dikongsi bersama.
Terdahulu satu ceramah integriti SPRM telah disampaikan oleh PKPs Hossen Abdul Rahim memperjelaskan bidang tugas SPRM serta kesalahan-kesalahan rasuah yang mungkin terdedah kepada warga SPAD terutamanya mereka yang berada di barisan penguatkuasaan dan juga yang melibatkan kelulusan lesen mahupun kontrak.
Signikannya perlaksanaan IBR ini akan menjadi amaran dan peringatan kepada setiap individu warga SPAD untuk menghindari rasuah selain komitmen mereka dalam mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah jenayah rasuah.
No comments:
Post a Comment