Saturday, July 29, 2017

SPAD DIBERI KUASA MENGAWAL SELIA PEKHIDMATAN TEKSI APLIKASI E-HAILING


Setelah pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat APAD (2010) dibentangkan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri diluluskan dengan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengawal selia kesemua perkhidmatan teksi yang mengguna aplikasi e-hailing, ia bukan sekadar dapat dipantau malahan ia akan mampu menyempurnakan perkhidmatan teksi sehingga aspek keselamatan dan perundangan diambil kira.

Pindaan Akta ini juga bertepatan dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah diusahakan pihak SPAD bagi mempertingkatkan tahap industri teksi melalui pengenalan rangka kerja pengawalseliaan.

Ia bukan saja dapat memastikan pengendali dan pemandu perkhidmatan e-hailing mengguna standard keselamatan yang ditetapkan kerajaan serta memberi perkhidmatan yang paling baik, malahan pihak SPAD, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan membuat pemeriksaan latar belakang mandatori.

Pada masa yang sama, apabila pindaan akta ini diluluskan, ia juga telah memberikan SPAD kuasa untuk memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan seperti mewajibkan syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing menyerahkan kepada SPAD maklumat berkaitan data perjalanan dan kenderaan-kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan awam darat. 

Walaubagaimanapun, tambang e-hailing tidak akan dikawal selia di bawah pindaan APAD dan akan ditentukan oleh syarikat pengendali dan kuasa pasaran.

Pada masa yang sama, teksi bermeter juga akan dapat meningkatkan pendapatan mereka sekiranya mengguna aplikasi e-hailing disamping mudah untuk mendapat penumpang tanpa perlu berlegar-legar lagi. Mereka juga masih boleh mengenakan tambang mengguna meter.

Pihak SPAD menganggap kelulusan pindaan ini membuktikan kepimpinan kerajaan hari ini memahami bahawa sistem pengawalseliaan perlu berubah mengikut aliran masa unutk menggalakkan inovasi bagi meningkatkan pertumbuhan industri.

Perubahan-perubahan ini adalah wajar dan akan berupaya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, pada masa yang sama perkembangan ini dapat menyediakan satu persaingan yang adil bagi industri teksi melalui penggunaan teknologi serta pendekatan yang lebih responsif kepada kuasa pasaran. 

Di dalam masa terdekat, pihak SPAD akan menggariskan butiran lanjut mengenai pindaan APAD ini, serta aspek perundangan terhadap industri teksi dan perkhidmatan e-hailing.

No comments:

Post a Comment