Wednesday, April 27, 2016

80% KECEWA DENGAN PERKHIDMATAN TEKSI, S.P.A.D DIPERSALAHKAN?


Apabila diumumkan kajian selidik yang dilakukan oleh pihak S.P.A.D melalui talian yang menunjukkan 80 peratus respond untuk memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar berbanding teksi, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan malahan telah dijangkakan. Tetapi bagi pihak Shamsubahrin Ismail yang juga pemilik KLCC Big Blue Taxi Services dengan mudah menuding jari kepada Tan Sri Syed Hamid, Pengerusi S.P.A.D.

Malahan, beliau tidak mempercayai kajian selidik itu dan menuduh pihak SPAD menipu pula. TS Syed Hamid diselar Shamsubaharin apabila pada awalnya memberi amaran kepada kerajaan tentang bahaya mengguna perkhidmatan Uber dan GrabCar tetapi sekarang seolah-olah memberi sokongan. Pada pandangan beliau seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Apa yang tidak kena sebenarnya bukan pihak Tan Sri Syed Hamid, mahupun kerajaan ataupun SPAD mahupun perkhidmatan Uber dan GrabCar tetapi di pihak pengendali dan pemandu teksi itu sendiri. Jika benar kaji selidik yang dilakukan SPAD adalah tidak benar, mengapa persatuan-persatuan teksi atau pemilik syarikat teksi itu tidak berani melakukan kajian selidik mereka sendiri?

Jika Shamsubahrin membaca kenyataan akhbar dari Utusan Malaysia semalam, jelas yang pihak SPAD masih mencari jalan penyelesaiannya dan ini juga melibatkan SKMM kerana perkhidmatan Uber dan GrabCar melibatkan perkhidmatan aplikasi di atas talian.

Kegagalan pemain industri teksi seperti Shamsubahrin ini apabila cuba menafikan hakikat yang pengguna perkhidmatan Uber dan GrabCar telah beralih arah kerana sikap mereka yang tidak mahu berubah. Tan Sri Syed Hamid di dalam ucap utamanya di dalam program anjuran Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) telah memberi pandangan yang rasional dan agak lembut dengan alasan ia lebih mudah dan cepat.

Tetapi rata-rata respon yang diterima dari pengguna Uber dan GrabCar adalah kerana mereka sentiasa mengalami keadaan di mana mereka tidak diterima dan pemandu-pemandu teksi sentiasa menolak permintaan untuk ke destinasi mereka. Oleh kerana mereka mempunyai pilihan yang lebih baik seperti Uber dan GrabCar, maka apa perlu lagi perkhidmatan teksi.

Malahan Tan Sri Syed Hamid secara terang juga ingin memastikan industri teksi tidak akan lenyap dari sistem pengangkutan awam di negara ini. Bukankah jelas yang S.P.A.D. dan kerajaan masih ingin industri teksi terus dimajukan? Hanya segelintir saja yang terkesan dengan kaji selidik S.P.A.D. tetapi ramai lagi terutama yang telah memperbaiki sikap dan keadaan teksi mereka masih digemari penumpang mereka.

Janganlah asyik salahkan pihak lain jika diri sendiri malas untuk berusaha berubah. Yang menentukan pendapatan pemandu-pemandu teksi adalah penumpang kamu. Jika mereka tidak diberi layanan yang baik, apakah mereka akan terus mengguna perkhidmatan teksi? Dengan perangai yang gemar berkelahi dengan penumpang, memilih penumpang dan kerap melanggar undang-undang, maka 80% penumpang telah beralih ke perkhidmatan Uber dan
GrabCar!

No comments:

Post a Comment