Thursday, December 25, 2014

DARI PONDOK KE HAVARD



Untuk menghantar anak-anak ke sekolah pondok bukan satu pilihan utama ibubapa di negara kita kerana fenomena kejayaan seseorang anak terlalu bergantung kepada pencapaian akademik sahaja. Oleh itu, Sekolah Berasrama Penuh atau Sekolah Berprestasi Tinggi adalah pilihan ibubapa yang mengimpikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka untuk menghadapi nasib masa depan mereka.

Walau sejauh mana cemerlangnya akademik anak-anak mereka, namun jauh di sudut hati ibubapa menaruh satu harapan agar anak-anak ini dilengkapi dengan asas-asas agama.

Namun ada juga di kalangan ibubapa hari ini yang berhasrat melihat di antara anak-anak mereka mendalami ilmu agama, walaupun seorang. Tetapi apakah pendidikan sekolah pondok dijadikan pilihan? Apakah pengajian sekolah pondok dilengkapi dengan pendidikan selaras dengan sistem pendidikan negara?

Jika dihantar ke sekolah pondok, apakah anak-anak sekadar menerima pendidikan agama tetapi bagaimana pula dengan pendidikan kontemporari agar mereka mampu bersaing di dalam masyarakat yang kompetitif hari ini?

Inilah di antara dilema ibubapa yang mengenai pengajian pondok.

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) telah mengorak langkah yang lebih jauh bagi meningkat dan memastikan lulusan pondok juga mempunyai masa depan serta peluang yang setanding dengan lulusan universiti.

Di antara universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan yang telah memberi persetujuan bekerjasama adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pendidikan di peringkat Diploma Pengajian Islam dijangka bermula tahun 2016.

Selain UPSI, beberapa usaha kerjasama dengan universiti tempatan dan di antaranya Senat Universiti Insaniah di Kedah telah meluluskan penubuhan Pusat Kajian Pondok, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan satu projek kajian pengajian pondok oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perbincangan khusus mengenai kajian semula kurikulum pendidikan Islam di Malaysia membabitkan semua peringkat, termasuk pengajian pondok telah pun diadakan dengan Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam IPTA.

Sebenarnya institusi pengajian pondok bukan sesuatu yang asing di rantau Asia Tenggara, malahan ia telah lama diteroka di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Di Gontor,Jawa Timur, sebuah pondok yang ditubuhkan 90 tahun lalu akan menjadi sebuah IPT dipanggil Universiti Darussalam mulai 2015 dengan bilangan pelajar berjumlah lebih 20,000, termasuk sekitar 200 dari Malaysia.

Di Singapura, pengajian pondok dan sekolah agama meliputi mata pelajaran yang diambil oleh pelajar sekolah biasa dan mereka boleh memohon masuk ke universiti kerajaan, tanpa perlu menduduki ujian tambahan.

Di Thailand pula, Pondok Bantan di wilayah Nakhon Sithammarat telah wujud 75 tahun lalu dan diasaskan oleh Tok Guru Haji Yaakob Abdul Rauf, seorang ulama yang mendapat pendidikan di Patani dan Makkah. Menariknya Pondok Bantan ialah pengasasnya adalah datuk kepada Dr Abdul Halim Ismail, yang lebih dikenali sebagai Dr Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.

Dr Surin adalah hasil didikan pondok di Thailand di mana di negara tersebut, umat Islam adalah rakyat minoriti. Beliau adalah contoh yang perlu dibangga walaupun kehidupan awalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok namun telah berjaya menerima MA dan Ph.D daripada Universiti Harvard. Kini Dr Surin adalah pensyarah Universiti Oxford serta Felo Tun Abdul Razak.

Sebenarnya negara kita juga tidak kekurangan tokoh-tokoh agama dan di antaranya seperti Ustaz Kazim Elias dan Dato Mohd Noh Gadut.

Pada tahun hadapan Malaysia adalah Pengerusi ASEAN dan selaras dengan itu, YPPM telah mengusahakan satu cadangan awal hasil dari perbincangan dengan beberapa ulama pondok dan tokoh akademik untuk mengadakan satu seminar bagi membincangkan sejarah, peranan, sumbangan dan masa depan Komuniti Pondok Nusantara tahun depan.

Semoga seminar ini menjadi kenyataan. Inilah masanya ibubapa mengambil peluang mendapat pendedahan arah tuju dan masa depan pelajar-pelajar pengajian pondok.

No comments:

Post a Comment