Sunday, September 14, 2014

TRANSFORMASI PROGRAM PLKN UNTUK PERSEDIAAN GEN-Y MENGHADAPI CABARAN MAKLUMAT TANPA SEMPADAN


Komunikasi dunia hari ini semakin pantas dan lebih terbuka. Segala-galanya adalah di hujung jari kita. Senario cara hidup hari ini terutama generasi Y banyak bergantung kepada komunikasi di hujung jari di mana hampir setiap remaja di era ini memiliki alat hubungan komunikasi samada sebuah telefon bimbit, telefon pintar, tab dan jugalaptop. Dengan penyediaan infrastruktur jalur lebar, segala maklumat mudah saja diperolehi mereka.

Inilah cabaran hebat yang sedang dihadapi kerajaan apabila segala maklumat dan komunikasi yang terdedah kepada Gen Y tanpa batasan, tanpa kesahihan kebenaran, tanpa sekatan dan juga tanpa tanggungjawab.

Bagaimana pula pihak kerajaan mampu membuat persediaan menghadapi senario komunikasi dan penyebaran maklumat yang lebih pantas dan terdedah ini terutamanya kepada generasi Y di dalam tempuh 10 tahun akan datang? Di dalam tempoh 5 hingga 10 akan datang, Gen Y ini akan menentukan masadepan dan hala tuju negara apabila mereka akan layak memilih kerajaan di dalam pilihanraya nanti.

Pengguna media sosial di Malaysia adalah di antara yang tertinggi di dunia dan penglibatan Gen-Y didapati tinggi peratusannya. Di sinilah sumber maklumat tidak dapat dipastikan kesahihannya. Di sini juga Gen-Y mudah dipengaruhi kerana ada di antara maklumat berikut sekadar membeli jiwa dan ada kalanya sangat memenuhi naluri orang muda, terutama sesuatu yang berunsur memberontak.

Oleh itu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan kerajaan sejak 10 tahun lalu memainkan peranan sangat penting di mana pelatih-pelatih adalah terdiri daripada Gen-Y lepasan SPM terpilih untuk menyertainya.

Di sinilah bermulanya cabaran kerajaan. Gen-Y hari ini bukan lagi seperti 10 tahun yang lalu. Dengan kemajuan teknologi internet yang pesat dan cepat, mereka mudah terdedah dengan pelbagai jenis maklumat. Di sinilah cabaran sebenar kerajaan mempersiapkan langkah-langkah untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran maklumat tanpa sempadan dan tanpa tapisan.

PLKN merupakan platform yang terbaik untuk Gen-Y memupuk jati diri, ketahanan jiwa yang cintakan sebuah negara yang aman dan harmoni. Walaupun objektif utama PLKN 10 tahun lalu telah mampu memastikan pelatih-pelatih ini meningkatkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum dan juga melahirkan generasi yang cergas dan penuh keyakinan diri, namun oleh kerana tuntutan cabaran hari ini, MLKN akan melakukan transformasi secara berperingkat untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
dengan mengambil kira keperluan lima ke sepuluh tahun akan datang.

Selaku Pengerusi MLKN, Datuk Ehsanuddin memastikan transformasi yang akan dilakukan dengan penambahbaikan termasuk modul, penyertaan pelatih dan kemudahan  infrastuktur yang selari dengan perubahan zaman dan maklumat terbuka ini.

Adalah sangat kritikal bagi kerajaan untuk menambahbaik modul PLKN di mana nilai bertanggungjawab dan menghormati undang-undang negara di samping mengamalkan kebebasan bersuara. Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara hendaklah ditekankan di dalam modul di mana sejarah tanahair hendaklah juga diberi perhatian. Apabila seseorang pelatih memahami sejarah tanahair, maka mereka tidak akan mudah dipengaruhi gejala-gejala negatif yang cuba mempersoalkan hak Melayu, hak ugama Islam dan hak Raja-Raja Melayu.


Di dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional di masa akan datang, pemahaman asas perlu diberi kepada Gen-Y agar mereka bersiap sedia apabila perbahasan di media sosial dijadikan rujukan pula. Gen-Y perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat dan tiba masanya Gen-Y dilibatkan sama dalam isu-isu semasa terutamanya yang boleh membawa terjejasnya perpaduan dan keamanan negara.

Bersesuaian dengan salah satu modul PLKN tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, maka dilihat transformasi MLKN perlu diberi lonjakan baru bagi memastikannya kekal relevan sebagai satu instrumen utama dalam mempersiapkan Gen-Y negara menghadapi cabaran masa depan disamping membimbing pelatih kearah kehidupan yang lebih sempurna..

Oleh itu, saranan Pengerusi MLKN untuk meneliti semula bagi membolehkan semua pelajar lepasan SPM dapat mengikuti latihan itu mulai tahun depan adalah dialu-alukan.

Golongan Gen-Y yang dipilih menyertai PLKN diingatkan supaya tidak menganggapnya semata-mata untuk memenuhi kewajipan kerajaan atau ia sesuatu yang tidak penting dalam kehidupan mereka. Ia perlu dianggap sebagai hak istimewa dan ia perlu diterima dengan serius kerana program transformasi itu adalah perlu bagi menyuntik kekuatan dan hala tuju baharu untuk menghadapi perubahan semasa dan kemajuan teknologi.
 

No comments:

Post a Comment