Saturday, January 13, 2018

UGUTAN SHAMSUBAHRIN PASTI BERTERUSAN UNTUK AMBIL KESEMPATAN PILIHANRAYA SEMATA-MATA


Mesej yang ingin disampaikan kepada Barisan Nasional oleh penasihat syarikat pengendali teksi di Suria KLCC, Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail adalah kononnya 70% pemandu teksi seluruh Malaysia tidak akan mengundi parti pemerintah ini jika kerajaan terus beri perhatian kepada Grabcar atau Uber. Kenyataan yang dilaporkan media ini, bukankah jelas ia satu ugutan untuk mengambil kesempatan pilihanraya?

Ini bukan pertama kali samada persatuan, syarikat pengendali mahupun individu dari industri teksi mengugut Barisan Nasional malahan ia akan timbul setiap kali menjelang pilihanraya umum. Malangnya, setiap kali itu juga BN tetap menang!

Jika sendiri telah gagal untuk bersaing, apakah dengan mengugut Barisan Nasional mampu memberi perubahan kepada industri teksi? Jika penumpang masih gagal diyakini, apakah Barisan Nasional perlu dijadikan umpan dan Menteri dijadikan 'punching bag'? Jika ramai pemandu teksi telah beralih kepada sistem e-hailing, apakah ini sebenarnya menjadi mimpi ngeri Shamsubahrin?

Walaubagaimanapun, kerajaan tetap teruskan memberi pelbagai bantuan untuk menghidupkan industri teks sejak sebelum PRU13. Malangnya, industri teksi tetap mendapat laporan buruk malahan sehingga dilabel teksi terburuk di dunia adalah teksi Malaysia. Teksi di Malaysia terutama di Kuala Lumpur sangat terkenal dengan pemandu teksi yang tidak sopan dan berlagak gangster, ulat teksi di kota raya, pemandu teksi haram, pemandu teksi yang sengaja enggan mengguna meter, pemandu teksi yang sengaja mengenakan caj berlebihan terutama sekali kepada pelancong dan banyak lagi rungutan penumpang termasuklah keadaan kenderaan teksi yang busuk dan hodoh.

Pada waktu itu, jika tiada pilihan langsung ke sesuatu destinasi, maka terpaksalah mengguna teksi-teksi seperti yang digariskan di atas dan di mana pembaikan yang sepatutnya diberikan kepada penumpang setelah kerajaan memberi pelbagai inisiatif dan bantuan? Mereka tetap meminta dan terus mengugut kerajaan.

Maka timbullah satu konsep teksi sapu di ibukota yang memberi perkhidmatan cekap dan tepat, tambang yang lebih murah, tidak memilih destinasi, pemandu yang berhemah dan sopan, yang dikenali sebagai Uber dan GrabCar. Namun, perkhidmatan teksi mereka tetap dianggap melanggar undang-undang negara kerana pemandunya tidak memiliki lesen PSV teksi dari SPAD yang menyebabkan penumpang berhadapan situasi bahaya tanpa perlindungan insuran.

Industri teksi bukan sekadar bergantung kepada perkhidmatannya sahaja tetapi hidup atau terkuburnya industri ini banyak bergantung kepada permintaan penumpangnya. Kita mesti faham, walaupun kerajaan cuba memberi pelbagai bantuan, insentif dan nasihat, jika syarikat pengendali sekadar mengambil kesempatan dan pemandu teksi masih ingin kekalkan sikap buruk mereka serta persatuan teksi gemar mengugut dan mendesak semata-mata, apakah ini semua salah kerajaan dan Barisan Nasional?

Terimalah hakikat, sumber pendapatan pemandu teksi dan syarikat pengendali bukan dari Barisan Nasional tetapi penumpang. Jika penumpang tidak lagi yakin dengan teksi, apakah itu kesalahan Barisan Nasional? Penumpang juga bukannya semua penyokong Barisan Nasional tetapi mereka tetap menolak teksi tetapi memilih Uber atau GrabCar. Mengapa ini tidak diketengahkan?

Hakikatnya, bukan kerajaan tidak menjaga kebajikan pemandu teksi mahupun berlaku adil kepada syarikat pengendali tetapi mereka sendiri yang kekal ingin mencurahkan pasir ke dalam periuk mereka sendiri. Zaman telah berubah dan penumpang kini lebih celik. Jika industri teksi sendiri enggan berubah, jangan pula ingin ugut Barisan Nasional.

Maka sememangnya bertepatan dengan ketegasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kerajaan juga tidak takut dengan ugutan Shamsubahrin bahawa pemandu teksi akan memberi undi mereka kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak. Layanan istimewa yang dikatakan diberi kepada Uber dan Grabcar adalah tidak benar malahan mereka dikenakan pelbagai syarat ketat dan dipantau SPAD dengan lebih serius dan menyeluruh.

Sepatutnya Shamsubahrin memberi keyakinan lebih kepada bakal penumpang mereka yang mereka lebih baik daripada Uber dan GrabCar. Seharusnya beliau membuat publisiti yang perkhidmatan teksi mereka lebih bagus dan cekap, pemandu teksi mereka lebih berhemah dan boleh diharap. Sikap yang diketengahkan Shamsubahrin ini akhirnya akan dengan sendiri mematikan syarikat kendaliannya kerana penumpang muak dengan ugutan tanpa ada apa-apa perubahan langsung.

No comments:

Post a Comment