Friday, December 15, 2017

KOMUNIS TIMBUL KEMBALI DALAM PERHIMPUNAN AGONG UMNO?


Setiap kali Malaysia mengadakan program hubungan rasmi samada dalam aspek politik, hubungan negara mahupun perdagangan dengan negara China, maka kita pasti akan dapat saksikan DAP dan kuncu-kuncunya akan membuat pelbagai cubaan mengaitkannya dengan fahaman komunis yang pernah mereka sanjung dan cuba serapkan kepada rakyat Malaysia.

DAP ada sejarahnya tersendiri dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan di Malaysia dan parti ini juga pernah cuba untuk membawa pulang Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng untuk kembali ke tanahair. Malangnya, DAP samada tidak dapat bezakan di antara PKM dan Communist Party of China (CPC), rakyat lebih bijak menilaikannya dan boleh menjangkakan beberapa agenda tersirat mereka.

Sejak UMNO diberi penghargaan oleh CPC untuk memberi ucapan di dalam kongres parti itu di negara China, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan dan kini apabila satu perbincangan meja bulat di antara UMNO dan CPC, sekali lagi Pakatan Harapan cuba bangkitkan isu komunis tetapi gagal untuk beri penjelasan yang terperinci lagi berfakta.

Sekiranya CPC adalah parti memerintah Republik China dan UMNO pula adalah peneraju Barisan Nasional iaitu parti pemerintah Malaysia, maka adakah salah jika diadakan perbincangan meja bulat dan CPC menjadi tetamu UMNO ketika Perhimpunan Agong demi satu menjaga hubungan baik di antara dua negara? Dan apakah kini UMNO telah dipengaruhi fahaman komunis?

Jika mengikut logik blok pembangkang, negara Islam seperti Arab Saudi juga telah dipengaruhi fahaman komunis apabila ada hubungan diplomatik dengan Republik China? Amerika Syarikat juga telah terpengaruh dengan fahaman komunis Republik China?

Mana-mana parti politik yang menguasai sesebuah negara adalah juga rakan UMNO, maka ia bukan satu isu apabila CPC dijemput untuk mengadakan perbincangan meja bulat sedangkan delegasi dari Parti Komunis Vietnam, Parti Sosialis Tunisia dan sebuah parti demokratik Indonesia juga turut bersama.

Ia bukan sesuatu yang baru yang berlaku di zaman PM Najib saja, malahan CPC telah menjadi tetamu UMNO di Perhimpunan Agong sejak zaman Tun Razak lagi dan diteruskan juga di zaman Dr Mahathir.

Jika DAP cuba ambil kesempatan situasi ini, amat malang bagi mereka kerana walaupun DAP dan PKR adalah parti pemerintah negeri Pulau Pinang dan Selangor, mereka bukanlah parti pemerintah untuk negara Malaysia tetapi kekal sebagai parti Pembangkang di Parlimen. Yang pasti, CPC sebagai parti pemerintah pasti memilih untuk bersahabat dengan UMNO dan MCA yang menguasai pemerintahan negara.

Lagipun perkara yang dibincangkan menyentuh mengenai pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Transformasi Nasional 2050 (TN50), Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) dan keunikan BN sebagai parti politik berbilang bangsa yang berjaya membangunkan Malaysia. Masing-masing menghormati perbezaan ideologi politik.

Oleh yang demikian, blok pembangkang dari Pakatan Harapan tidak perlu meletakkan kesempitan berfikir. Jika ada di antara cubaan dari PPBM atau PKR, yang sebenarnya adalah parti serpihan UMNO, kita juga rasa agak terperanjat apabila ada di antara pemimpin mereka tidak mengetahui mengenai hubungan diplomatik di antara parti-parti pemerintah.

Kita pula harus bertanya kepada mereka, mengapa CPC tidak mengiktiraf parti-parti gabungan Pakatan Harapan?
 

No comments:

Post a Comment