Thursday, June 29, 2017

4,861 KENDERAAN DIPERIKSA DALAM OPS SERKAP SPAD UNTUK AIDIL FITRI

Jalanraya adalah hubungan utama untuk rakyat berhubungan dan tiba ke destinasi masing-masing terutamanya menjelang setiap hari perayaan. Sejak 12 Jun lalu, seperti biasa pihak SPAD akan melakukan operasi pemeriksaan bersama-sama penguatkuasa yang lain.

Kali ini dalam Operasi Bersepadu Serkap (Ops Serkap) sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 154 bas, 37 teksi dan 102 lori telah melakukan pelbagai kesalahan.

Menurut Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad, kesalahan yang telah dilakukan mereka adalah;

1. Mengenakan tambang berlebihan kepada pengguna, tidak mempunyai dokumen pemandu serta menurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

2. Tidak memiliki kad pemandu serta gagal mengemukakan permit selain tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang.

3. Kesalahan bagi lori pula, dikenal pasti ada yang membawa muatan berlebihan dan gagal mengemukakan permit.

Pihak SPAD melaksanakan operasi melalui pelbagai pendekatan antaranya meletakkan anggota di lebuhraya dan juga di terminal-terminal yang telah dikenalpasti serta menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan kerjasama PLUS untuk memantau kesalahan pemandu.

Kamera-kamera statik yang dipasang di tempat-tempat strategik pula adalah untuk mengenalpasti kenderaan yang membawa secara merbahaya. Dengan cara ini, pemandu kenderaan akan merasa diperhatikan setiap masa.

Ternyata segala kesulitan dan masalah yang dihadapi penumpang berpunca dari kesempatan yang sengaja diambil pihak-pihak syarikat pengendali pengangkutan awam. Akibatnya, penumpang terpaksa membayar harga tiket yang tinggi dari biasa untuk mengaut keuntungan berlebihan di Hari Raya ini.

Pada masa yang sama, ada juga menganggap operasi berskala besar di musim perayaan ini menyusahkan mereka sedangkan pihak SPAD bersama-sama pelbagai agensi penguatkuasa yang lain hanya ingin memastikan tahap keselamatan di jalanraya berada di dalam keadaan yang baik dan terjamin.

Kita berharap agar mereka lebih bertanggungjawab untuk tidak melakukan kesalahan-kesalahan seperti membawa laju melebihi had yang telah ditetapkan kerana ia sangat merbahaya kepada pengguna dan penumpang.

Operasi bersepadu ini akan dijalankan sehingga 2 Julai 2017 dan akan melibatkan seramai 380 anggota penguatkuasa SPAD di seluruh negara.


 

No comments:

Post a Comment