Sunday, May 08, 2016

INSAN ISTIMEWA DI MCDONALD'S PUNCAK ALAM - NABIL


Jika berpeluang, ayuh kita ke restoran McDonald's Puncak Alam dan kita akan melihat seorang insan yang sangat istimewa samada sedang melayan pelanggan dengan penuh senyuman ataupun beliau sedang sibuk membersihkan meja dan bergerak ke sana-sini dengan pantas sekali.

Namanya Muhamad Nabil Rosli atau lebih mesra dipanggil Nabil saja, seorang warga Kurang Upaya mengalami penyakit Cerebral Palsy, telah ditemubual beberapa rakan blogger untuk mengenali beliau lebih dekat. Nabil pernah dianugerah sebagai pekerja terbaik McDonald's Malaysia walaupun dengan kekurangan keupayaannya.


Menurut pengurus beliau iaitu Encik Mohamad Shahrul, Nabil adalah seorang pekerja yang paling rajin di restoran yang tidak gemar melihat meja-meja ditinggal kotor dan bersepah setelah ditinggal pelanggan. Nabillah selalunya orang pertama yang akan mengemas meja-meja ini dan juga memastikan sekitar kawasan restoran sentiasa kemas dan bersih.

Rupanya Nabil juga seoang atlet yang pernah mewakili negara dalam sukan paralimpik dalam futsal. Ketika membelek FBnya yang bernama Muhamad Nabil Jr, beliau juga adalah peminat nombor 7 pemain bolasepak tempatan Kedah Badrul Bakhtiar dan pemain luar negara, Messi dan pasukan bolasepak pula, Nabil adalah peminat setia pasukan JDT.

McDonald’s Malaysia adalah di antara syarikat gergasi yang menggaji warga OKU yang bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) – Selangor dan Kuala Lumpur di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysian Care Training Centre, Cheras, United Voice, Petaling Jaya, Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang (PKIK), PERKESO menerusi program Return to Work (RTW) dan Job Coach Network Malaysia.


Sebagai syarikat yang mementingkan kepelbagaian latarbelakang dalam pengambilan kakitangan, sehingga kini McDonald's Malaysia telah mengambil warga OKU seramai 90 hingga 100 kakitangan di seluruh rangkaian restorannya di Malaysia dan termasuklah mereka yang mengalami masalah pendengaran, masalah penglihatan, bisu dan juga autisma. Ada di antara mereka yang bekerja samada secara separuh masa atau sepenuh masa.

McDonald’s juga mempunyai tiga orang pelatih bertauliah yang bertanggungjawab menentukan kesesuaian skop tugasan untuk warga OKU yang bekerja di restoran-restoran seluruh negara.

Adalah menjadi harapan agar warga OKU seperti Nabil dijadikan sumber inspirasi kepada warga istimewa ini agar dapat menonjolkan potensi diri dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan tahniah kepada McDonald's yang membuka peluang kepada insan-insan istimewa ini dalam menyuburkan lagi sumbangan dan komitmen mereka dalam khidmat sosial koporat.

No comments:

Post a Comment